Rainforest World Music Festival (RWMF) adalah acara muzik yang dinantikan setiap tahun sejak tahun. Orang ramai akan berkumpul di kaki Gunung Santubong, Sarawak untuk sama-sama menikmati muzik warisan dan budaya kita.

Namun, pandemik ternyata telah merubah suasana dan cara festival ini berlangsung. Walaupun tidak lagi boleh bergembira secara bersemuka dengan aktiviti seperti kraftangan dan jualan makanan, ia masih boleh diraikan dengan meriah di atas talian.
Cepat beradaptasi dengan perubahan global, RWMF tetap disambut selama tiga hari tahun ini bermula dari 18 hingga 20 Jun. Ia berlangsung secara maya di Shopee Live bermula jam 6 petang.

Apa yang lebih menggembirakan ialah, konsert atas talian ini diadakan secara percuma. Ia boleh diakses oleh semua di seluruh negara di rumah masing-masing. Bolehlah anda menonton konsert ini sambil golek-golek di atas katil atau sambil menikmati kek lapis.
Rainforest World Music Festival 2021 Virtual Experience akan menampilkan barisan artis yang menarik.
Antaranya, Alena Murang - artis kelahiran Borneo yang berbangsa Dayak-Eropah yang baru-baru ini telah mengeluarkan album berjudul Sky Songs, KEMADA, Sang Rawi, Mathew Ngau, At Adau, Suk Binie’, Nading Rhapsody dan juara Kejohanan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) Tuku‘ Kame’.


Selain daripada RWMF, Borneo Jazz Festival (BJF) tahun ini yang akan berlangsung pada hujung minggu berikutnya turut akan disiarkan melalui Shopee Live.
Para penonton akan dihiburkan oleh barisan pemuzik jazz termasuk Clinton Jerome Chua, O-Ha Soul Band, Nisa Addina, Ta'Dan dan 'Prince of Borneo'- Pete Kallang, dari 25 hingga 27 Jun pada jam 6 petang.
Walaupun tiada acara jual beli barang secara fizikal, namun Lembaga Pelancongan Sarawak telah membuka kedai rasminya di Shopee untuk menampilkan produk-produk dari kedua-dua acara RWMF dan BJF.
Ini termasuk baju-T Edisi Terhad RWMF dan BJF, Pelitup Muka Batik Linut Edisi Terhad, Pelitup Muka Bercorak Batik Edisi Terhad dan produk-produk istimewa lain dari Bumi Kenyalang.

Bukan itu sahaja, jika anda membeli barangan di kedai tersebut, anda berpeluang menikmati diskaun sehingga RM8 dan subsidi penghantaran sehingga RM13. Jadi, jangan lupa tandakan kalendar anda untuk Rainforest World Music Festival tahun ini! - Getaran, 17 Jun 2021