web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Konsert Legacy 30, 1 Legasi Abadi Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza tidak sekadar menyampaikan lagu, beliau membawa penonton mengembara merentas kenangan, menyulam rasa dengan keindahan teknik dan emosi yang halus tetapi mendalam

Muzik Dikemaskini 6 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 12 Jan 2026 4:48PM

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu bukan sekadar sebuah persembahan berskala besar, malah sebuah perayaan seni yang merangkum perjalanan tiga dekad seorang legenda muzik negara.

Menghimpunkan 65,000 penonton daripada pelbagai lapisan umur, malam itu menyaksikan bagaimana seorang penyanyi mampu menyatukan generasi melalui suara, karya dan emosi. Kesemua yang hadir dikenali sebagai Siti Zoners berkongsi satu rasa yang sama, penghargaan terhadap legasi yang dibina dengan disiplin dan ketulusan.

Konsert berdurasi hampir tiga jam itu dibahagikan kepada tiga segmen utama, masing-masing mewakili fasa penting dalam perjalanan seni Datuk Seri Siti Nurhaliza: Dekad 1, Dekad 2 dan Dekad 3. Pembahagian ini bukan sahaja membantu penceritaan konsert, malah memberikan ruang kepada penonton untuk menyusuri evolusi vokal dan kematangan seorang penyanyi sejati.

Tiada persembahan pembukaan, tiada sketsa menjadi ‘penyendal’ untuk menonton menghilangkan rasa bosan kerana pada malam itu, setiap yang hadir hanya ingin melihat ‘Mak Iti’. Tiada yang lain. 

Segmen Dekad 1: Akar Permulaan Sebuah Fenomena

Segmen pembukaan membawa penonton kembali ke era awal kemunculan Siti Nurhaliza, ketika suara jernih dan teknik vokal yang kukuh mula mencuri perhatian seluruh negara. Persembahan pada fasa ini sarat dengan elemen nostalgia, disokong susunan muzik yang mantap.

Siti membuka tirai dengan gemersik lagu ‘Purnama Merindu’ yang seolah-olah membawa suara hatinya yang sudah lama ingin bertentang mata dengan lautan peminat. 

Lain- lain lagu untuk segmen ini antaranya ialah ‘Dialah Di Hati’, ‘Satu Cinta Dua Jiwa’, ‘Jerat Percintaan’ dan ‘Aku Cinta Padamu’.

Setiap lagu seakan membuka helaian memori lama dalam kalangan peminat yang membesar bersama karya-karya awal beliau. Stadium bergema dengan nyanyian bersama, membuktikan bahawa lagu-lagu daripada dekad pertama ini masih hidup dan relevan hingga ke hari ini. Buktinya, generasi muda turut berlagu penuh penghayatan. 

Segmen Dekad 2: Kematangan, Keunggulan dan Keyakinan

Memasuki segmen Dekad 2, konsert mula memperlihatkan sisi Siti Nurhaliza yang lebih matang dan berani. Di sinilah beliau benar-benar menguasai pentas sebagai seorang penghibur lengkap. Tata cahaya yang lebih dramatik, visual pentas yang memukau serta susunan muzik yang lebih kompleks memperkukuhkan pengalaman konsert secara keseluruhan.

Dalam segmen ini, keupayaan vokal Siti diuji pada pelbagai lapisan emosi dan teknikal. Daripada nyanyian lembut yang halus menyelinap ke perasaan, hinggalah kepada lontaran nada tinggi yang bergema merentasi ruang stadium, semuanya dilaksanakan dengan kawalan yang luar biasa. 

Segmen ini juga menyaksikan anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini tampil berduet dengan nama-nama hebat dalam industri seni. Duet bersama Noh Salleh menerusi lagu ‘Kau Mawarku’ dan ‘Bagaikan Sakti’ antara persembahan yang paling menawan. Begitu juga dengan duet bersama Cakra Khan untuk lagu ‘Dirgahayu’. Paduan suara ini membuatkan stadium ini gegak-gempita dengan sorakan peminat.

Tidak ketinggalan kemunculan Hafiz Suip berduet untuk lagu ‘Pandang-Pandang, Jeling-Jeling’ dan ‘Muara Hati’. Sesuai dengan judul konsert ini, Siti turut menampilkan anak saudaranya, Umairah sebagai rakan duet. Remaja berusia 15 tahun itu membuktikan dia mampu menjadi pelapis kepada legasi yang telah dibina oleh ibu saudaranya itu. Siti dan Umairah menyampaikn lagu ‘Kaca & Permata’ dan ‘Hati Kama’.

Segmen Dekad 3: Legasi Yang Terus Bernyawa

Segmen terakhir, Dekad 3, menampilkan Siti Nurhaliza sebagai seorang legenda yang masih segar, relevan dan berdaya saing. 

Persembahan dalam fasa ini memancarkan keyakinan seorang seniwati yang telah melalui pelbagai era, namun tetap terbuka kepada pembaharuan.

Kehadiran penonton muda yang sama-sama larut dalam persembahan membuktikan bahawa legasi Siti bukan terhenti pada satu generasi sahaja. Sorakan gemuruh, lautan cahaya telefon bimbit dan reaksi spontan penonton mencipta suasana emosional yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Disulami dengan lagu-lagu berentak etnik kreatif seperti ‘Ya Maulai’, ‘Cindai’, ‘Balqis’ dan lagu baharu ciptaan Aisha Retno, ‘Rencong’, Siti tetap bertenaga menghibur, malah dia berjaya mengejutkan peminat dengan aksi lompatan ke atas pentas! Usia 47 tahun bukan penghalang untuk beliau beraksi cemerlang. 

Secara keseluruhan, Legacy 30 adalah manifestasi kekuatan sebenar seorang penyanyi, vokal, disiplin dan jiwa. Konsert ini membuktikan bahawa kehebatan Siti Nurhaliza tidak bergantung pada gimik atau sensasi, sebaliknya berakar pada suara yang terpelihara, teknik yang mantap dan kejujuran dalam penyampaian. 

Pada malam itu, Siti Nurhaliza tidak sekadar menyampaikan lagu, beliau membawa penonton mengembara merentas kenangan, menyulam rasa dengan keindahan teknik dan emosi yang halus tetapi mendalam.

Kehadiran 65,000 Siti Zoners dari pelbagai latar usia menjadikan malam tersebut satu detik bersejarah yang akan terus dikenang dalam lipatan sejarah muzik Malaysia.

Legacy 30 bukan sekadar konsert ulang tahun, ia adalah pengakuan kolektif bahawa Siti Nurhaliza ialah sebuah legasi yang terus bernyawa, dan akan kekal diraikan merentas zaman. - Getaran, 12 Januari 2026

Berita Berkaitan

1

Muzik 2 hari yang lalu

SOUNDSTAGE Satukan NIDJI, Hujan Dan 3 Band Tempatan Dalam Konsert Rentas Sempadan

2

Muzik 1 minggu yang lalu

AJL40 Bawa Peminat Selami Dunia Muzik Menerusi Muzik Lab

3

Muzik 2 minggu yang lalu

Tiket AJL40 Tinggal 20 Peratus, Bahang Malam Muzik Paling Berprestij Negara Kian Memuncak

4

Muzik 4 minggu yang lalu

Demi Peminat, Ella Rela Ubah Perancangan Besar Homecoming Edisi 60 Permata Biru

Sorotan

1

Tok Mat Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Rantau, Zahid Jadi Pengiring

2

PRN Negeri Sembilan: 4 Calon PH, 3 Calon BN Tiba Di Pusat Penamaan Calon

3

Mayat Kanak-Kanak Perempuan Hilang Ditemukan, 2 Lelaki Ditahan

4

Dituduh Rogol Remaja Bawah Umur, Pempengaruh Media Sosial Mengaku Tidak Bersalah

5

Diperdaya ‘Love Scam’ Di Telegram, Pelajar Universiti Rugi Lebih RM56,000

6

Tarik Diri Daripada Kerajaan Negeri, DAP Melaka Beralih ke Blok Pembangkang