Berita Terkini

3 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Loloq - Ikon Budaya Dan Khazanah Bangsa

Loloq, satu-satunya dan tidak terganti. Bacalah tulisan kolumnis kami tentang penulis lirik hebat ini.

Kolum Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Apr 2021 8:37AM

Gambar: Blog Dari Kutub Khanah

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pencuri Buku

Alkisah seorang budak lelaki berumur lapan tahun, berjubah dan serban berlari keluar dari masjid sambil buku buku yang disoroknya, dikendong di dalam jubahnya jatuh berciciran satu persatu, dikejar Pak Siak.

 “Mana kau nak lari, Rosli?” jerit Pak Siak, “Nanti aku bagitau bapak kau.”

Begitulah antara kisahnya seorang yang bernama Rosli Khamis. 

Sejak kecil lagi Rosli punyai kedahagaan, malah kelaparan yang tidak terbendung terhadap buku dan pembacaan.

Sememangnya sejak kecil, cermin matanya yang telah tebal, malah seperti teropong dan di belakang kanta tersebut adalah mata yang buntal, membonjol keluar. Kerana sifat matanyalah beliau mendapat jolokan Loloq.

Jika tujuh warna membentuk pelangi, seribu pelangi pula mewarnainya.

Loloq, insan seni luar biasa. 

Penulis lirik, skrip dan pelakon. 

Epitome seorang seniman.

Bait-bait kata yang diukir, enak diluah dari bibir puluhan penyanyi lalu melantun dan meresap ke jiwa rakyat melata.

Bahasa dan aliran fikirannya menjadi sinaran yang menyeri dan menghibur halwa jiwa.

Bait-bait katanya adakalanya indah dan memukau, adakalanya kasar dan menyentap, adakalanya celopar namun beradab, adakalanya ringan namun padat, adakalanya dalam namun tidak menenggelam.

Keunikan dan kepelbagian yang terpancar dari hasil seninya adalah roh dari rakaman pemikiran dan perjalanan hidupnya.

Bukan sahaja arif mengenai bahasa, namun arif dalam kepelbagaian selok-belok kehidupan; terhasil dari pelajaran dan pengalaman kehidupan. Kerana itulah hasil penulisan beliau menunjukkan aneka ragam gaya bahasa, tema dan ciri ciri kesenian. Sesungguhnya, beliau adalah seorang yang tidak takut untuk bereksperimentasi.

Berada bersamanya adalah seperti bersama sebuah perpustakaan bergerak kerana pembacaannya yang luas. Berada bersamanya adalah menghiburkan kerana celotehnya. Berada bersamanya menyenangkan kerana keperibadiannya yang peramah.

 

Zaman Gelap

Di usia mudanya, Loloq telah melalui zaman gelap. 

Beberapa tahun dari usia mudanya adalah di dalam penjara, kerana kesalahan dadah. Beliau beberapa kali keluar masuk penjara. Di penjaralah beliau mendapat pendidikan mengenai kehidupan. 

Akhirnya, kerana berkelakuan baik, Loloq telah mendapat parol. Kali terakhir beliau melangkah keluar dari penjara, langkahnya adalah tanpa hala tuju. 

Kerana malu, beliau tidak pulang ke rumah ibu bapanya. 

Beberapa hari beliau berkelana di Singapura, tanpa tempat tinggal—hanya berseluar jeans, kemeja-T dan 'bandana' sebagai pengelap peluh dan tuala selepas mandi. 

Sekali sekala, ada insan prihatin yang akan menawarnya tempat tinggal. Adakalanya, ada juga wanita yang akan menawarnya tempat bermalam. Mungkin para wanita itu terpikat dengan sifatnya yang pelik. 

Namun, Loloq tidak pernah mengambil kesempatan. Loloq adalah seorang yang pemalu terhadap para wanita. Sungguh ironi untuk difikirkan, apabila penulis lagu-lagu cinta sepertinya tidak mempunyai seorang teman wanita sehinggalah beliau bertemu dengan bakal isterinya beberapa tahun kemudian.

 

Hijrah Ke Kuala Lumpur

Salah satu syarat parolnya adalah larangan keluar dari Singapura. 

Namun, melalui seorang kawan yang merupakan seorang penyanyi dan pencipta lagu yang sangat masyhur di Singapura dan Malaysia, dengan berbekalkan sepucuk surat dari syarikatnya yang menawar "Kerja Menulis Lirik Di Kuala Lumpur" yang ditujukan kepada Jabatan Penjara Dan Koreksi Singapura, pemerintah Singapura telah membenarkan Loloq untuk merentasi sempadan Singapura ke Malaysia, untuk satu tempoh hari tertentu sahaja.

Namun, Loloq melanggari syarat-syarat yang ditetapkan. 

Beliau tidak pernah pulang ke Singapura sehinggalah dua puluh tahun kemudian.

Setelah di Kuala Lumpur, sebagai membalas jasa baik kawannya, serta minatnya yang mendalam di dalam bidang penulisan, beliau bertungkus lumus menulis lirik untuk kawannya itu. 

Namun, kerana ‘tinggal melebihi tempoh’ dan melanggari syarat-syarat yang ditetapkan oleh pemerintah Singapura dan permit lawatan Malaysia, Loloq telah menjadi 'pendatang haram' untuk beberapa tahun. 

Untuk terus tinggal di Malaysia sebagai seorang yang ‘separuh halal’, beliau telah melaporkan kehilangan pasportnya setiap tiga bulan di balai balai polis dan di negeri yang berbeza-beza.  Ketika itu, balai-balai polis belum lagi disambung menerusi sistem rantaian informasi canggih seperti hari ini. 

Apabila beliau ditahan oleh pihak polis atau lain-lain pihak berkuasa, beliau akan menunjukkan Surat Laporan Polis dan beliau akan dilepaskan tanpa penahanan.

Cara ini berterusan buat beberapa tahun sehinggalah beliau berjaya mendapat kerakyatan Malaysia dengan memohon menerusi kerakyatan ayahnya, yang merupakan rakyat Malaysia yang berasal dari Melaka.

Sebagai rakyat Malaysia yang memegang pasport Malaysia, Loloq akhirnya dapat kembali ke tanah kelahirannya setelah dua puluh tahun kemudian, untuk menziarahi semula ibundanya yang tercinta, bersama isteri dan anak anaknya.

Kurang setahun daripada itulah, Loloq kembali ke rahmatullah.
 

Zaman Permulaan Kerjaya

Pada permulaan kerjaya penulisannya, beliau terpaksa bersaing dengan nama nama besar, yang sering diberi peluang menulis lirik bagi lagu-lagu yang dijangka hit. Sementara Loloq akan hanya peroleh lagu-lagu kategori lagu-lagu 'filler’atau ‘pengisi album’ sahaja.

Namun Loloq bijak mengguna kesempatan yang ada. Beliau menulis sebanyak mungkin lagu-lagu 'filler’ yang tidak dipandang oleh penulis-penulis tersohor yang lain ketika itu. 

Natijahnya, sekurang kurangnya lima dari sepuluh lagu-lagu dalam sesebuah album adalah hasil ciptaannya. Dan sering kali pula, lagu-lagu 'filler' itu pula yang menjadi lagu-lagu hit, sebagai contoh lagu 'Nuri' dan 'Layar Impian' dendangan Ella. 

Kerana keunikan penulisannya, beliau terus mendapat perhatian penerbit dan pencipta lagu.

Loloq adalah antara penulis lirik terawal yang tidak mahu menerima bayaran ‘flat rate’, iaitu bayaran sekali bayar tanpa ada lagi sebarang bayaran lain selanjutnya bagi sesebuah karya, sebaliknya menumpu kepada bayaran royalti— yang buat jangka panjang akan memberi pulangan yang lebih besar, sekiranya hit.

Bayaran royaltinya yang terawal adalah dari album Ella — USA, yang dikatakan lebih dari RM40,000.00 dan dihabiskannya dalam tempoh dua hari, kerana membayar hutang dan membelanja kawan kawan.

 

Zaman Kemahsyuran

Sejak kecil lagi, Loloq telah tahu yang beliau akan menjadi terkenal satu hari nanti.

Memang benar sekali ramalannya. Berbekal bakat yang hebat, Loloq menjadi seorang yang terkenal. 

Pengaruhnya dalam muzik dan bahasa telah mendapat perhatian bukan sahaja rakyat jelata malah penyair, pemuisi dan pakar bahasa. 

Persengketaan beliau dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sekali sekala tercetus. Beliau menggelar DBP sebagai sebuah badan yang lesu, kerana tidak mampu menaikkan bahasa melayu sebaliknya membuat Bahasa Melayu menjadi kaku.

Tidak ragu-ragu, Loloq adalah penulis lirik terunggul di Malaysia. Beliau merupakan penulis lirik yang mendapat bayaran royalti tertinggi beberapa tahun berturut-turut. Perkara ini disahkan apabila beliau meraih gelaran tersebut daripada Malaysian Author’s Copyright Protection atau MACP. 

Dari seorang yang selekeh, Loloq telah berubah kepada seorang fashionista. Beliau adalah istilah sebenar 'Dari Kamdar ke Prada'. 

Beliau sentiasa memastikan fesyen pakaiannya menepati fesyen terkini. Beliau tidak akan sekali-kali dilihat memakai baju batik kerana menurutnya, baju batik adalah baju untuk orang tua. 

Sekiranya beliau dijemput menghadiri majlis bahasa dan puisi, beliau mahu dilihat sebagai seseorangnya yang tidak berpakaian batik, sebaliknya lebih rela berpakai baju-T bergambar Mickey Mouse.

 

Malam-malam Terakhir

Pada 26 Januari 2008, Loloq telah ke malam raptai Anugerah Juara Lagu ke-22 untuk menonton lirik ciptaannya tercalon sebagai lagu terbaik. Kerana tidak mempunyai ‘tag’, Loloq tidak dibenarkan masuk oleh para pengawal keselamatan. Beliau sangat kecewa dengan layanan mereka terhadapnya.

“Aku belum mati lagi, mereka dah lupa aku,” antara kata-katanya kepada Aidit Alfian, yang merupakan antara komposer yang terakhir bertemunya di dalam keadaan hidup. 

Sepulangnya ke rumah, Loloq telah di serang strok sehingga mengalami pendarahan otak dan tidak lagi sedarkan diri. Beliau telah dikejarkan ke Damansara Specialist Hospital.

Tiga hari beliau bersabung nyawa, berbekal alat sokongan hidup.

Pada 30 Januari 2008 lebih kurang jam 10:30 pagi, Loloq menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Pengebumiannya dihadiri ribuan manusia. Begitulah kasih sayang yang diterimanya dari rakan taulan dan para peminat.

 

Sebuah Peninggalan

Memilih Hariah Yaakop sebagai pasangan hidup, mereka telah dikurniakan tiga orang cahaya mata. Keluarganya didirikan atas saraan yang datang dari hasil penulisannya semata-mata. 

Kini, setelah tiga belas tahun pemergiannya, balunya masih dapat terus hidup berbekalkan royalti yang ditinggalkan. Agihan royalti ini akan terus diterima selama tiga pulah enam tahun mendatang, bersesuaian dengan akta hak cipta yang diamalkan di Malaysia.

Inilah serba sedikit mengenai seorang insan yang bergelar Loloq. Penulisan ini tiada mempunyai hasrat membuka aibnya dengan menceritakan zaman gelapnya. 

Sebaliknya, penulisan ini bertujuan berkongsi mengenai cerita seorang lagi individu ikonik yang seharusnya menjadi bagaikan sebuah institusi yang telah memperkayakan bahasa dan budaya bangsa kita. 

Legenda beliau janganlah dilupakan, sebaliknya harus menjadi peringatan dan tauladan, yang membawa pengharapan kepada setiap insan bahawa setiap daripada kita boleh sahaja berubah nasibnya, apabila bakat yang kita miliki digosok dan digilap.

Dari zaman liar ke era terarah.

Dari lorong lorong gelap ke persada gemilang.

Beliau adalah seorang rebel — reformistfashionista — penyajak — pemikir — sufi — mistik — budayawan.

Apa yang ditinggalnya adalah harta. Dan harta ini adalah khazanah bangsa.

Bukan sahaja suara kontemporari sebuah generasi, namun akan terus bergema dari generasi ke generasi—dari dekad ke dekad—langsung merentas abad.

“Satu—Dua—Tiga

Do—Re—Mi

Apa Nak Jadi

Alif—Ba—Ta

A—B—C”

- Getaran, 13 April 2021


 

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Muzik 1 minggu yang lalu

'Cinta Tak Mungkin' Hadiah Raya Siti Nurhaliza

3

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

4

Semasa 3 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

Sorotan

1

Jenazah Tun Hanif Omar Selamat Dikebumikan Di Bukit Kiara, Sebelah Pusara Anaknya

2

Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Joseph Kurup

3

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

4

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

5

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

6

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart