Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Memori Bakar Kuih Bahulu Guna ‘Oven’ Tin Minyak Tanah

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 21 Apr 2022 3:51PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

RAMADAN sudah merangkak memasuki minggu ketiga, Syawal kian hampir. Sudah enam dekad berlalu, namun masih terpahat dalam memori penulis betapa waktu inilah emak mula sibuk membuat persediaan hari raya untuk keluarga dan anak-anak.

Di samping membersih dan memperindah rumah serta kawasan sekeliling, masa inilah juga sibuk memuat persediaan membuat sedikit kuih muih untuk tetamu bakal berkunjung. Walau pun rumah penulis jauh di kampung pedalaman Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak, ramai juga saudara mara datang berkunjung.

Pakaian baharu bukan setiap tahun dibeli. Tidak perlu pun kerana pakaian tahun-tahun lepas masih elok. Cuma emak kadang kala belikan juga anak-anak sehelai dua baju. Kami pun tidak meminta-minta kerana faham kemampuan ayah yang hanya bekerja sebagai buruh di kebun kelapa. Kasut, boleh sahaja guna kasut sekolah.

Namun yang seronok ialah melihat emak membuat persiapan untuk membuat kuih. Setiap tahun, rutinnya sama, membuat kuih tradisional seperti bahulu, kuih bakar (bangkit), bahulu lapis dan dodol. Tiada istilah beli kuih ‘tunjuk’, semua buat sendiri.

Proses pembuatan kuih juga secara ‘manual’, bermula daripada penyediaan bahan. Sekarang mudah, hendak gula halus, tepung pulut, tepung beras pergi sahaja ke kedai. Dahulu di kampung tiada bahan siap ini.

Misalnya untuk mendapatkan gula halus. Emak akan menjemur gula kasar beberapa hari sehingga betul-betul kering. Gula yang sudah cukup kering akan ditumbuk dalam lesung menggunakan antan.

Lesung hanya ada di rumah abang emak, iaitu pakcik Borham, beberapa meter dari rumah penulis. Di sinilah emak tumpang menumbuk, dilakukan pada waktu malam untuk elak penat. Menumbuk perlukan banyak tenaga. Tetapi emak mampu lakukan. Kakak dan abang juga membantu.

Gula perlu ditumbuk sehingga halus. Selepas itu diayak untuk memastikan memperoleh serbuk gula yang benar-benar halus.

Untuk mendapat tepung halus pual, tepung dikeringkan dan ditumbuk serta diayak, sama seperti proses memperoleh gula halus. Jika hendak membuat putu kacang, kacang hijau melalui proses sama. Untuk membuat dodol, tepung pulut diperlukan. Maka pulut ditumbuk halus dan diayak.  

Biasanya emak akan menyediakan gula dan tepung halus dalam kuantiti yang agak banyak kerana kedua bahan ini diperlukan dalam membuat banyak kuih seperti bahulu, kuih bakar (bangkit), kuih lapis, yang merupakan kuih tradisi masyarakat desa.

Untuk membuat bahulu, emak pecahkan telur dalam pasu sederhana besar. Kemudian masukkan gula. Selepas itu telur dipukul sehingga mesra dengan gula. Penulis biasa tolong memukul. Namun semakin lama kerja memukul semakin berat kerana campuran gula dan telur kian menebal.

Emak kemudian menceduk campuran sebati ini ke dalam mangkuk besar dan memasukkan tepung halus yang sebelumnya dipanaskan dalam kuali. Campuran ini diadun sehingga cukup sebati dan agak kental. Campuran inilah yang diisi ke dalam acuan bahulu dan dimasuk dalam ‘oven’. Acuan perlu disapu minyak agar tidak melekat.

Membakar bahulu secara tradisional menggunakan 'oven' zink dan api sabut. Kredit Media Permata.
Membakar bahulu secara tradisional menggunakan 'oven' zink dan api sabut. Kredit Media Permata.

Oven yang digunakan bukan yang dibeli di kedai. Sebaliknya diperbuat daripada tin minyak tanah atau tin biskut besar dibelah dua. Bahagian belakang adalah bontot tin, jadi ada pendinding siap di belakang, kiri dan kanan. Bahagian bawah tin yang dipotong ialah lantai oven.

Sebelah depannya ruang terbuka. Melalui ruang ini acuan dimasukkan dalam oven. Penutup atas pula daripada potongan zink. Bahan bakar ialah sabut kelapa di atas penutup oven dan di bawah untuk memberi pembakaran seimbang.

Apabila bahulu sudah masak, emak menarik keluar acuan, telangkupkannya dan hentak perlahan-lahan biar semua bahulu tanggal dari acuan. Acuan pula ada macam-macam design, ada belimbing pecah, ikan dan udang. Selalunya penulis berperanan sebagai ‘perasa’ bahulu ini kerana tidak puasa.

Membuat kuih bakar pula memerlukan tepung diuli bercampur telur dan air serta santan kelapa dan serbuk penaik sehingga menjadi seperti dough. Emak ambil ketulan dough ini dan dileperkan di atas belakang talam menggunakan botol besar.  

Selepas itu diambil acuan dan ditekankan di atas dough. Dough yang sudah terbentuk menurut acuan  diletak atas bekas, kadang-kadang penutup periuk sahaja, dan dimasuk dalam oven. Hasilnya kuih bakar atau dikenali juga kuih bangkit cantik dan enak. Lebihan dough diuli semula dicampur dengan dough tambahan.

Membuat dodol sangat mencabar. Ramuan seperti cengkih, kayu manis dan bunga lawang dimasukkan ke dalam kawah sederhana besar berisi sedikit minyak masak. Selepas itu santan   dimasukkan. Kawah diletakkan atas tungku batang kelapa potong. Ketika ini mudah sahaja mengacaunya. Masalah bermula apabila tepung pulut, bahan utama dodol, dimasukkan dalam kuali.

Mula-mula ringan. Apabila tepung mulai pekat dan liat, proses mengacau juga semakin berat. Semakin lama dan semakin hampir masak semakin liat. Emak silih berganti mengacau dengan ayah, abang dan kakak.

Mengacau tidak boleh leka atau berhenti bagi mengelak berkerak. Api tempurung kelapa atau sabut perlu sentiasa dijaga agar tidak terlalu marak.

Daripada proses awal memasak, dianggarkan mengambil masa hingga enam jam atau lebih untuk dodol masak. Jika mula dalam pukul 10 pagi, hampir maghrib baru siap. Tanda dodol cukup masak ialah apabila diangkat sedikit dengan kayu pengacau ia akan putus. Dodol yang tidak cukup masak akan mudah rosak dan berkulat.

Biasanya emak meletakkan dodol di atas talam berlapik daun pisang. Ada juga yang dibungkus dengan upih. Dodol yang lama disimpan akan mengeras dan gebu, enak dimakan. Jika disimpan elok boleh sampai raya tahun depan.

Membuat kuih lapis pula lebih kurang seperti membuat bahulu. Cuma emak akan membakar satu demi satu lapisan dalam dua tiga warna berlainan. Sudah masak diangkat. Kemudian di atas lapisan diletak jem, dan seterusnya sehingga menjadi tiga atau empat lapis. Jadilah bahulu lapis.

Semua kini tinggal kenangan. Emak dan ayah sudah lama pergi. Namun ingatan ini pasti kembali menjelma mengusik jiwa setiap kali menjelang Aidilfitri mulia. - Getaran, 21 April 2022

Bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan akhbar keramat Melayu, Utusan Malaysia. Masih sarat dengan jiwa dan naluri kewartawanan, menulis tanpa jemu, berkarya tanpa ragu. Graduan Sarjana Sains (Kewartawanan) Universiti Boston, lewat 1984.

Berita Berkaitan

1

Kolum 2 tahun yang lalu

Ramadan Penuh Bermakna di Fasa Endemik, Berjimat Jangan Membazir

2

Kolum 2 tahun yang lalu

Membelah Malam Tonton ‘Midnight Show’ Hindustan

3

Kolum 2 tahun yang lalu

Suntikan Vaksin COVID-19 Perlindungan Diri Walau Dijangkiti

4

Kolum 2 tahun yang lalu

5 Dekad Bandar Raya Kuala Lumpur Dan Tahun Harimau

Sorotan

1

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

2

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

3

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

4

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

5

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

6

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

7

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

Disyorkan untuk anda

Kolum 20 jam yang lalu

Tun M, Bertenanglah, Tak Perlu Takut Dengan Siasatan