Berita Terkini

21 jam yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Syarat Menjadi Penulis - Menulis, Menulis, Menulis

Pengarang tersohor industri majalah Bahasa Melayu, Wirda Adnan berkongsi bagaimana cintanya kepada bidang penulisan telah membentuk perjalanan hidupnya sehingga kini.

Kolum Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Jan 2021 11:02AM

Gambar: Nick Morrison, Unsplash

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

‘Anda tidak akan berjaya menjadi penulis sekiranya anda tidak menjadi pembaca terlebih dahulu.’

“Salam Kak Wirda. Hope you’re well. I nak tanya kalau I nak have you as one of my fortnightly columnists for my new website, kak Wirda sudi tak? You can write about anything you feel lah. By the way I am now with Petra News, under the Petra Group which launched thevibes.com an English News Portal and we will be launching a Malay equivalent…” - Shah Shamshiri.

Inilah berita yang paling menyeronokkan bagi saya. Mengapa saya berkata demikian? Kerana jiwa seorang penulis ini gembira bila mana ada jemputan sedemikian. Yang bererti ada insan di luar sana yang senang membaca penulisannya. Yang bererti ada yang mungkin kerinduan membaca warkah-warkah daripada penulis bernama Wirda Adnan. Lantas cepat saya jawab, “Boleh”. Tetapi kemudian...“Shah, I am okay to contribute, tapi pastikan sekali lagi dari pihak you, I have my own online magazine.”  

“Menulis. Memangnya itu pekerjaan saya yang pertama dan insya-Allah yang terakhir. Kerana saya tidak mungkin membuat kerja lain selain menulis. Saya seorang yang begitu pasti apa yang saya mahu lakukan sebaik tamat persekolahan, mahu menjadi penulis. Emak, ayah mahu saya menjadi guru, bukankah itu kerja yang paling mulia? Saya menjawab ya, pak, bila apak (panggilan untuk bapa) yang sendiri bersusah payah menaiki bas untuk ke ibu negeri, mengambil borang guru dan menyerahkan kepada saya untuk diisi. Saya mengisinya. “Insya-Allah pak, doakan.”  

Namun apa alasan kalau nanti diterima masuk ke maktab perguruan? Sebenarnya saya mengisi dengan alamat surat menyurat menggunakan alamat rumah bapa saudara di Kuala Lumpur, kerana saya tahu saya mesti merantau ke ibu kota demi mengotakan impian sebagai penulis. Dipendekkan cerita, jawapan kepada apak, “Permohonan Gagal’ walhal sebenarnya saya diterima masuk maktab.” Betul menjadi guru satu tanggungjawab yang mulia, tetapi bagaimana kalau saya gagal menjadi guru yang baik? Saya tidak mahu menanggung dosa-dosa kerana tidak berjaya membimbing anak-anak murid menjadi insan yang berguna. Terbukti pun kegagalan saya sebagai guru, kerana kedua anak saya sendiri, saya tidak mampu mengajar mereka, lalu ketika di sekolah rendah lagi saya sudah menghantar mereka ke pusat tuisyen.

Sebenarnya saya sudah didedahkan dengan dunia kewartawanan sejak kecil lagi. Bapa saudara, Subky Latif, seorang insan yang terkenal kerana penulisannya. Beliau (arwah) banyak menghadiahkan buku-buku dan majalah. Yang lebih menarik perhatian saya ialah Acek (panggilan untuknya) kerap ke luar negara membuat liputan dan pernah tinggal lama di luar negara berkursus dan menyambung pengajian). Di kejauhannya, kami kerap menerima poskad-poskad yang membina minat di dalam jiwa ini, “Satu hari aku mesti ke destinasi sini, situ.” Ada juga saya dalam diam mohon untuk menjadi pramugari kerana hanya tugas ini membawa ke merata dunia. Saya jalani beberapa sesi temu ramah malah sempat menghadiri beberapa kursus, tetapi akhirnya saya bertekad untuk tidak menyambung kursus itu, kerana itu cuma alasan sempit, yang saya mahu ialah menjadi penulis dan mengembara kemudiannya, dan mencatatkan sebanyak mungkin. ‘When you have a dream, you’ve got to grab it and never let go.’ Carol Burnett.

‘Jadilah dirimu sendiri dan katakan apa yang kau rasakan, kerana mereka yang peduli tidak penting, dan mereka yang peduli tidak keberatan.’ -- Dr Seuss. 

Mudah bagi saya mendapatkan kerja kerana mungkin punya bakat yang terpendam, waktu sama tidak mudah kerana saya perlu menyambung pengajian, maka siangnya bekerja dan malam belajar, cukup untuk mendapatkan satu sijil bagi membolehkan saya pergi jauh.

‘Menulis seperti seks. Pertama kamu melakukannya demi cinta, lalu kamu melakukan untuk temannya dan kemudian kamu melakukannya untuk wang.’-- Virginia Woolf. 

Bukankah semua orang boleh menulis? Betul selagi kita tidak buta huruf kita mesti boleh menulis, tetapi menjadi penulis sebagai kerjaya untuk cari makan, tidak ramai yang sebenarnya layak. Satu pekerjaan? Pasti emak ayah dan orang kampung khasnya memandang sebelah mata, kerana pada mereka kalau Mercedes dan BMW yang menjalar masuk ke kampung itu tentu orangnya punya pangkat besar, tapi penulis seperti saya hanya layak dan mampu memandu Daihatsu (kereta pertama saya). Memang menjadi penulis di Malaysia khasnya anda tidak mungkin akan menjadi kaya-raya kecualilah anda punya buku yang best seller. Kecualilah anda penulis atau blogger yang dibayar berjuta-juta oleh sang politikus khasnya, sebagai habuan menyanjung dan mencipta pelbagai fitnah untuk melingkupkan atau menjatuhkan pihak lawan. Namun sebagai penulis biasa, yang bekerja makan gaji di sesebuah syarikat amnya, dengan gaji sederhana tetapi tidak pula hidup miskin, terutama miskin hati dan perasaan, kerana hidup sebagai penulis, jiwa kami besar dan fikiran kreatif. Menulis, kata Stephen King, adalah mencipta, dalam satu penciptaan seseorang mengarah tidak hanya semua pengetahuan, daya dan kemampuannya sahaja, tetapi ia disertakan seluruh jiwa dan nafas hidupnya. Ia merangsang pemikiran, perasaan seronok lagi puas’.

A word after word after word is power.’ Dan ini yang saya rasakan. Setiap yang terukir dalam jiwa dapat dihidupkan dengan patah-patah perkataan, dan kemudian membuat si pembaca kalam ini berasa terkesan dengan ilmu yang diberikan, dengan kisah yang mungkin menjadi teladan atau sekadar hiburan. Malah bila kita berjaya menggembirakan seseorang itu satu pengorbanan. Bila kita mampu membantu seorang dalam ilmu yang disampaikan, itu satu sedekah yang tiada nilai bandingannya. Hanya Allah yang dapat membalasnya. Dengan tulisan kita dan dapat dinikmati oleh seseorang individu itu, dan dia berasa ilmu dapat digunakan untuk kelangsungan hidupnya, ya benar, pahalanya cukup besar.

Betul kalau setakat makan gaji sebagai penulis anda tidak mungkin mampu miliki banglo mewah berlamankan taman indah dan kolam renang membiru kecuali bersuami atau beristeri hartawan, tetapi menjadi penulis, anda merasai pelbagai kemewahan dan keseronokan. Saya tidak tahu penulis lain, tetapi seperti yang saya ilham dan bayangkan untuk melihat dunia, ternyata segalanya bukan setakat bayangan dan angan-angan. Dalam tugasan, hampir lebih separuh dunia saya berpergian, melihat keindahan negara orang, mengenali budaya dan adat, merasai pelbagai pengalaman yang mengasyikkan. Berpergian pula atas tiket serba mewah, tinggal di hotel lima mahupun enam bintang. Berapa ramai yang pernah ke Paris, Hong Kong dan Bangkok misalnya dibawa makan angin menaiki helikopter dan melihat kotanya dari udara? Dan makan di restoran mewah di rooftop bangunan paling tinggi, dan melihat keindahan kota dari kayangan? Berapa orang yang merasa makan malam bersama-sama selebriti A list di dalam bangunan yang dikawal rapat, yang tidak dibenarkan sesiapa pun masuk ke dalamnya seperti di Forbiden City, di China misalnya? Pada majlis yang cukup eksklusif itu, (Makan malam tertutup Versace untuk 200 tetamu sahaja bersempena pelancaran Versace One Foundation, November 2008) tetamu kehormat adalah Donatella Versace sendiri dan selebriti Jet Li. Saya berkesempatan berbual dan bergambar dengan Donatella dan Jet Li (pengasas One Foundation). 

Berapa orang yang berpengalaman hadir ke pertunjukan fesyen dunia (Fendi Fashion Show showcasing designer Karl Lagerfend’s Fall Winter 2007)  bukan di venue-venue biasa tetapi di antara tujuh keajaiban dunia, yakni di Tembok Besar China? Seramai 500 tetamu seluruh dunia hadir,  kos pertunjukan dikatakan melebihi $US10 juta! Ya saya juga antara tetamu bagi meraikan pembukaan stor jenama terbesar dunia, dan di majlis itu hampir semua aktor dan aktres terkenal dunia hadir. Saya juga merasa tinggal di Burj Al Arab Hotel, Dubai. Terlalu banyak pengalaman indah yang tidak mungkin pun dapat dihidangkan di sini. Begitu juga pernah saya menghadapi situasi gempa bumi di Jepun; badan saya melambung dari katil hampir ke siling dan dari luar tingkap saya nampak bangunan-bangunan seolah melayang di udara. Di Hong Kong pada satu event Gucci kami terpaksa dua hari berkuarantin di bilik kerana ribut petir yang sungguh dahsyat. Walau bagaimanapun dihadiahi dengan dua urutan percuma. Itu antara pengalaman-pengalaman dalam diari hidup saya sebagai penulis dan pengarang. Yang bisa saya abadikan selama-lamanya.

Bagaimana pun semuanya tidak datang terlalu senang tanpa banyak pengorbanan. Saya banyak mengorbankan masa untuk semua itu. Pulang kerja jam satu mahupun dua pagi memang selalu. Malah tidak tidur menyiapkan kerja itu terlalu biasa. Berkerja pada hari minggu. Bercuti bersama keluarga pun amat jarang dapat dilakukan. Mengejar deadline satu hal yang paling meletihkan, kerana kerja penulis terutama bekerja di dalam sebuah syarikat penerbitan wajib mematuhi had waktu tertentu, atau kalau tidak pihak lain yang terbabit akan turut pincang. Mujur pengalaman saya sendiri, saya tidak mendapat surat-surat layang, atau marah dan dimaki hamun. Kerana saya amat teliti, membuat banyak homework, banyak rujukan dan berulang kali membaca tulisan agar bahasanya betul, jelas dan tidak berbau unsur-unsur negatif. Menulis juga tidak boleh mengikut nafsu. 

Syukur atas semua usaha ini saya pernah menjawat jawatan Ketua Pengarang Majalah Bahasa Malaysia dengan mengetuai empat lagi judul majalah di syarikat saya bekerja. Dan setelah cukup yakin dengan pengalaman saya sendiri bersama rakan, kami menerbitkan sebuah majalah dengan 15 orang kaki tangan sebelum menerbitkan majalah online sesuai dengan peredaran semasa.

Saya pernah ditanya, “Apa syarat menjadi penulis?” Jawapan saya, kamu tidak mungkin menjadi penulis kalau kamu tidak membaca. Penulis yang baik adalah pembaca yang baik. Dan satu lagi untuk menjadi penulis, kamu wajib terus menulis, dan menulis. ‘Syarat menjadi penulis ada tiga, yaitu menulis, menulis, menulis – kata seorang penulis dan pengarang serta ahli sastera terkenal di Indonesia, Prof. Dr. Kuntowijoyo. - Getaran, 29 Januari 2021  

Wirda Adnan adalah Pengasas dan Ketua Pengarang majalah atas talian majalahwm.com Beliau juga merupakan bekas pengarang majalah Wanita selain pernah menjadi Pengarang Urusan untuk majalah-majalah urban terulung Bahasa Melayu seperti EH!, GLAM, dan GLAM LELAKI.

Isu Pada

Kaka Azraff

29 Jan 2021

Berita Berkaitan

1

Filem & TV 1 tahun yang lalu

3 Treler Filem Termahal Indonesia, 'Buya Hamka' Dilancarkan Pada 1 Ramadan

2

Filem & TV 1 tahun yang lalu

Zabidi Diminta Mohon Maaf Secara Terbuka Atas Kenyataan Fitnah Terhadap Pasukan Mentega Terbang – Pengarah 

3

Politik 1 tahun yang lalu

Kalah PRU-15, PEJUANG Gugurkan Semua Perancangan, Tun M Tumpu Pada Menulis

4

Kolum 1 tahun yang lalu

September Bulan Fesyen - Artis Bukanlah Model! 

Sorotan

1

Tun Musa Teguh Dengan Prinsip, Integriti – PM

2

200 Ulama Nusantara Dijangka Hadiri Persidangan Ulama Sedunia Mei Ini

3

Stoking Tertera Kalimah Allah: Mahkamah Tinggi Batal Hukuman, Sabitan Terhadap Juruteknik 

4

Penumpang Terkandas Di Lapangan Terbang Selepas Letusan Gunung Berapi Menyebabkan Pembatalan Penerbangan

5

Kerajaan Setuju Salur Peruntukan Kepada Pembangkang - Fadillah

6

Belanjawan Pertahanan Beri Impak Penganjuran DSA, NATSEC Asia Untuk Kekal Relevan