Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Kisah Anak Gen-X: Dulunya Aku Dipanggil ‘Tuan Majistret’

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Sep 2021 3:48PM

Penulis ketika menjadi majistret di Miri.

oleh

M.Zulkifli

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“Siapa dia Kassim Selamat? Lawyer? Majistret?” Aku pasti semua pernah terdengar, dan menggunakan, dialog ikonik dari filem ‘Ibu Mertua Ku’, arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee ini.

Walaupun tidak berapa faham akan apa sebenarnya tugas seorang majistret ketika aku pertama kali menonton filem tahun 1962 ini, yang aku tahu, bunyinya canggih dan sangat berprestij.   

Namun, seperti yang pernah aku sebut dalam kolum lalu, minat aku sendiri dalam bidang undang-undang lebih dicetuskan oleh beberapa siri televisyen yang pernah aku ikuti seperti “The Paper Chase” dan “LA Law”.

Dan selepas enam tahun belajar di Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya, aku memohon dan telah terpilih untuk melalui proses temuduga yang agak panjang dan mencabar, sebelum diterima masuk ke dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan sebagai pegawai undang-undang bergred L3 pada tahun 1996.  

Tawaran diterima, aku terus terbang ke Bumi Kenyalang untuk memulakan karier dan kehidupan baharu. Selama tiga minggu, aku dan dua orang pegawai lain menjalankan “latihan” dengan seorang majistret senior di Mahkamah Kuching, termasuklah duduk bersama-sama dengan beliau di bangku majistret untuk memerhatikan tugasan dan keadaan di dalam bilik bicara.

Walaupun tidak dibenarkan berinteraksi ketika prosiding berlangsung, dadaku tetap berdegup kencang apabila ditenung tajam oleh semua yang hadir.

Aku kemudian menerima arahan pertukaran ke Mahkamah Miri untuk memulakan tugas sebagai seorang majistret. (Dua lagi rakan seperjuangan aku pula diberikan jawatan penolong kanan pendaftar).

Di Miri, aku menggantikan majistret yang bakal pulang ke semenanjung. Banyak juga nasihat yang beliau kongsikan, tetapi kebanyakannya tentang kehidupan di Miri dan Sarawak, secara amnya. Ada yang bernas, ada pula yang ke laut. Mungkin akan aku kongsikan di kesempatan akan datang.

Walaupun telah melalui sedikit latihan di Kuching, pengalaman hari pertama mengendalikan sendiri kes jenayah yang dibentangkan tidak mungkin aku lupakan.

Tepat jam 9 pagi, pintu kamar aku diketuk. Selepas menarik nafas panjang, aku membuka pintu untuk terus masuk ke bilik bicara. “Banguuun,” para hadirin diberi arahan. Ketika itu aku sudah pun mula merasa gemuruh.

Kami tunduk hormat ke arah masing-masing. Aku kemudian menarik kerusi majistret yang agak berat dan gah untuk aku duduk. Ekspresi muka aku kekal serius. Bahasa pasarnya, buat “muka kerek”.

Cik jurubahasa mahkamah memberikan aku doket kes pertama sambil mengumumkan nama kes. Pegawai pendakwa yang merupakan polis berpangkat Cif Inspektor seterusnya mengambil alih prosiding. Sepanjang ini berlaku, aku hanya menulis butiran kes tanpa berkata apa-apa.

Kemudian, tertuduh yang telah berada di kandang tertuduh dibacakan pertuduhan dan diambil pengakuannya. Ketika ini, barulah aku perlu bersuara untuk memberikan tarikh perbicaraan dan jumlah ikat jamin yang dikenakan.

Jujur aku katakan yang itulah momen paling mendebarkan dalam hidupku sehingga ke hari ini. Sudahlah tanggungjawab jawatan ini amat besar, setiap perlakuan dan perkataan yang aku luahkan diperhati dan dinantikan oleh semua di dalam bilik bicara itu. Tamat hari pertama, aku terasa lega dan sedikit bangga dengan diri sendiri.  

Namun, aku tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan tugasan harian. Bilik bicara Mahkamah Majistret II Miri itu cepat menjadi zon selesa aku.

Kes-kes jenayah, sivil, trafik, juvana dan dadah, semuanya menjadi sebahagian daripada tugas hakiki. Ini termasuk juga mengeluarkan perintah tahanan reman.

Terus-terang, kes di bawah Akta Mahkamah Juvana antara yang paling aku kurang gemar. Biasanya kes sebegini, ibu dan ayah pesalah juvana akan turut dipanggil ke kamar. Dan apabila mereka diberitahu tentang penglibatan anak mereka dalam sesuatu kesalahan jenayah, ibubapa yang selalunya datang dari kampung yang jauh akan luahkan rasa terperanjat dan kecewa.

Air mata si ibu juga akan mula berjurai sambil memohon kepada mahkamah untuk tidak menghukum anak mereka. “Dia anak yang baik, tolonglah lepaskan anak saya, Tuan Majistret,” merupakan rayuan yang biasa aku dengar.

Walaupun keputusan yang aku buat perlu berdasarkan kepada fakta sesuatu kes, hati siapa yang tidak tersentuh apabila dirayu sebegitu, lebih-lebih lagi juvana yang terlibat itu merupakan anak “harapan keluarga”.

Pada masa yang lain pula, cabarannya adalah untuk tidak terkucil ketawa apabila terjadi adegan lucu di dalam bilik bicara. Contohnya, ketika mengendalikan sebuah kes kesalahan sabung ayam, beberapa ekor ayam yang dibawa masuk ke dalam bilik bicara sebagai eksibit, mula berkokok. Perlahan pada mulanya, hinggalah kokokan itu menjadi semakin kuat dan bingit.

Hadirin semua mula tersenyum dan tergelak kecik, termasuk Tuan Cif Inspektor! Tetapi menjadi tanggungjawab aku untuk mengekalkan dekorum mahkamah dengan mengarahkan pihak polis membawa keluar ayam-ayam itu.

Pada hari kesalahan trafik pula, aku terpaksa bersedia mendengar seribu satu alasan pesalah-pesalah yang “copy paste”. “Kenapa anda memandu tanpa lesen?” Seorang pesalah akan memberikan alasan, “Nenek saya sakit, saya terpaksa pergi ke kedai beli ubat”, dan sejurus itu, 20 pesalah lain pun akan berikan sebab yang sama dalam rayuan untuk meringankan hukuman mereka. 

Di Sarawak juga ketika itu, Bahasa Inggeris masih digunakan dalam mahkamah. Jadi pada hari-hari kes sivil terutamanya, kebanyakan peguam akan bertutur dalam Bahasa Inggeris, dan akan memanggil majistret dengan panggilan “Your Honour”. Terasa seperti dalam rancangan “Ally McBeal”!

Untuk menjawab beberapa soalan lazim yang kerap aku terima sehingga ke hari ini, yang pertama, majistret di Malaysia tidak memakai wig putih dan mengetuk tukul setiap kali kes selesai. Majistret serta hakim-hakim mahkamah rendah lain hanya mengenakan suit berwarna hitam dan dandanan rambut mengikut cita rasa sendiri. Malah, amalan pemakaian wig di mahkamah tinggi sendiri telah dimansuhkan sejak tahun 90an lagi.

Soalan seterusnya; benarkah seorang majistret itu tidak boleh bersosial? Inilah antara “pengorbanan” yang perlu dilakukan bagi setiap pegawai dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan bagi mengelakkan sebarang syak wasangka dan tuduhan tak berasas ke atas keperibadiannya yang mungkin mencemarkan nama baik perkhidmatan itu sendiri.

Selepas berkhidmat lebih kurang dua tahun di Miri, aku mendapat arahan perpindahan untuk pulang ke Kuala Lumpur dengan jawatan yang berbeza di Mahkamah Persekutuan, Bangunan Sultan Abdul Samad.

Selepas itu, tiada lagi pengalaman menangani kokokan ayam sabung di dalam bilik bicara! - Getaran, 18 September 2021

M.Zulkifli merupakan teraju utama getaran.my. Beliau kini hanya memberi nasihat undang-undang kepada teman-teman rapat sahaja.

Berita Berkaitan

1

Kolum 5 bulan yang lalu

Kisah Anak Gen-X: Membesar Di Johor Bahru – Ini 8 Perkara Paling Aku Rindu

2

Semasa 1 tahun yang lalu

Wanita Dan Adik Ipar Direman Bantu Siasatan Salah Guna Kuasa

3

Semasa 1 tahun yang lalu

1MDB: Kerajaan Tidak Campur Tangan Dalam Keputusan Mahkamah

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Anjing Terbiar: JPV Keluar Notis Penambahbaikan Kepada MPKL

Sorotan

1

JS-SEZ, SFZ Mampu Pacu Ekonomi Johor Atasi Negeri Lain – PM

2

Peluang PN Menang Di KKB Lebih Besar Kalau Calon Melayu - Sanusi

3

MCMC Ambil Keterangan Chegubard, Salim Iskandar Dan Papagomo

4

Tun Musa Teguh Dengan Prinsip, Integriti – PM

5

200 Ulama Nusantara Dijangka Hadiri Persidangan Ulama Sedunia Mei Ini

6

Penumpang Terkandas Di Lapangan Terbang Selepas Letusan Gunung Berapi Menyebabkan Pembatalan Penerbangan