Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Elvis Sebuah Impian (Sebuah Rencana Kemerdekaan)

Minggu ini, kolumnis kami Ad Samad membicarakan tentang hal-hal kemerdekaan dan kebebasan 'ber-elvis'. Sesiapa saja boleh menjadi Elvis katanya. Adakah anda seorang elvis yang mahu menjadi Elvis?

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 Sep 2021 9:25AM

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

"I may be criticized. I may be ridiculed. I may be despised. I will be stronger. I will laugh. I will love. I will live." 

~ John Cena

***

Dengan tekad dan usaha gigih, sesiapa sahaja boleh menjadi Elvis.

Kejayaan hadir apabila adanya kesungguhan dan kecekalan, meskipun dicemuh, dicerca, malah dicabar dan ditentang pelbagai pihak.

Setiap elvis mempunyai sebab yang tersendiri untuk menjadi Elvis.

Bagi Elvis Tan (bukan nama sebenar), 52 tahun, beliau terlibat menjadi elvis kerana mengikuti jejak langkah mendiang ayahnya yang juga merupakan seorang elvis, iaitu Elvis Tan Senior (juga bukan nama sebenar) yang merupakan seorang pemuzik dan penghibur professional.

Bagi Elvis Kassim (bukan orang sebenar) 64 tahun, kekecewaan di dalam alam bercinta ketika di bangku sekolah membuat beliau tekad untuk menjadi Elvis.

Beliau percaya sekiranya  beliau adalah Elvis, sudah pasti kekasihnya tidak akan dirampas orang, kerana tiada siapa akan berjaya merampas kekasih Elvis.

Bagi Elvis Kumar (bukan kisah sebenar), 45 tahun, beliau mula menjadi Elvis setelah hampir mati lemas ketika sedang mandi manda di sebuah pantai.

Ketika di dalam keadaan separuh sedar, beliau percaya bahawa beliau telah diselamatkan oleh seorang manusia yang kelihatan seperti Elvis, bercakap seperti Elvis, dan mengenyit sebelah mata seperti Elvis.

Elvis bukan sekadar memberi sebuah identiti yang unik tetapi juga memberi makna yang besar kepada maksud hidup seorang elvis.

(Huruf 'e' kecil digunakan pada 'elvis' iaitu sebagai kata nama am hidup manusia, contohnya petani, nelayan, pendakwah, impersonator, dan lain lain. Huruf 'E' besar  digunakan untuk merujuk kepada Elvis Presley.)

Bagi para elvis, menjadi Elvis yang sempurna adalah sebuah impian murni. 

Setiap perbuatan dan amalan berkisar sekitar menjadi Elvis sejati agar menyerlahnya ketokohan Elvis dari dalam diri para insan biasa seperti kita.

Dari bangun pagi selepas mandi, seorang elvis akan memastikan keterampilannya mengikuti piawaian seorang elvis sejati, dengan jambul Elvis yang sempurna, sama ada jambul betul atau jambul palsu dan sideburn yang kemas dan tidak berserabai.

Kerana sesungguhnya bagi setiap elvis, sideburn yang berserabai adalah lambang kepalsuan, poser atau wannabe.

Setiap helai pakaian mestilah mirip pakaian Elvis. Setiap aksesori seperti tie-pin, cufflink, kasut platform, malah buckle pada tali pinggang mestilah mempunyai unsur-unsur Elvis.

Para isteri, anak anak dan sanak saudara telah dididik untuk menerima hakikat bahawa mereka adalah elvis.

Jiran tetangga, malah ahli jemaah surau, gereja, gurdwara, kuil dan tokong yang sering dihadiri seorang elvis turut menerima hakikat itu.

Mesyuarat PIBG yang dihadiri mereka selalunya mendapat reaksi yang pelbagai daripada para guru, ibu bapa, dan murid-murid.

Semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan mereka adalah padu. Mereka saling bantu-membantu untuk mencapai keselesaan dan kejayaan hidup. 

Begitu pun, seperti mana jua golongan yang lain, mereka tidak akan alah dan lali daripada melakukan kesilapan. Cemburu dan hasad dengki—siapa lagi elvis daripada siapa—akan sentiasa melingkari pemikiran, sehingga mengakibatkan pergesaran di kalangan mereka. 

Namun, bagi para elvis, tiada pertikaian dan pergeseran yang tidak dapat diselesaikan dengan nyanyian dan tarian.

*

"I want to be free, like the bird in the tree..." 

— I Want To Be Free ~ Elvis Presley

*

Perkara terpenting yang dapat kita pelajari daripada seorang elvis adalah kebebasan.

Setiap insan di bumi ini berhak menjadi apa sahaja, asalkan mereka tidak secara fizikal menyakiti, mencederakan, menganiaya, atau mencuri hak orang lain.

Setiap elvis berhak dan bebas mengamalkan cara hidup dan fesyen Elvis. Mereka berhak bercakap, menyanyi dan menari seperti Elvis.

Malah mereka berhak meyakini bahawa Elvis masih hidup dan sedang disembunyikan makhluk angkasa dari planet Zaltron dan akan kembali pada tahun 2057 untuk menyelamatkan bumi.

Begitupun, untuk mengamal kebebasan bersuara dan ekspresi diri di dalam menjalani hidup sebagai seorang yang merdeka, kita sentiasa menanggung risiko menyinggung perasaan orang lain dan membahayakan diri sendiri. 

Kemerdekaan dan kebebasan adalah sesuatu yang mahal harganya dan untuk mengekalkannya memerlukan kesiapsiagaan dan perjuangan yang berterusan. Kemerdekaan dan kebebasan dengan sekelip mata sahaja boleh dirampas oleh orang lain.

Para elvis sentiasa berisiko dicemuh atau dikutuk secara belakang belakang atau depan depan, "Hei, lihat itu! Elvis Ketot makan budu dengan belacan! Gelakkan dia, hahahaha."

Bukan sekadar usikan mesra atau gurauan kasar, tetapi para elvis juga menanggung risiko didiskriminasi, malah diugut atas perbuatan, amalan, cita rasa, kepercayaan dan idiosinkrasi mereka.

Justeru, setiap bakal elvis mestilah menyedari dan menerima hakikat yang bakal mereka hadapi sebelum melangkah menjadi Elvis.

Namun, seorang yang tulus hatinya untuk menjadi elvis akan istiqamah dan meneruskan perjuangan untuk menjadi seorang elvis come what may, dan menyedari bahawa haters will hate.

*

"Ridicule is the weapon, which can be used against unintelligible propositions."

~ Thomas Jefferson

*

Walaupun para elvis tidak boleh dan tidak berhak dihukum, didiskriminasi dan dianiaya oleh sebarang institusi, organisasi dan terutamanya oleh undang undang oleh kerana ke-elvisan-nya, tetapi para elvis tidak boleh bebas daripada sendaan atau ridicule.

Kerana sesuatu yang tidak boleh dipersenda akan di suatu hari nanti menjadi satu ancaman dan berbahaya.

Bagaimana sekiranya Elvis-isma mempunyai seorang pemimpin berkarisma yang membawa sebuah ideologi dan menjadi satu anutan atau cult dan kemudiannya menjadi seumpama sebuah agama seperti Peoples Temple, Aum Shinrikyo, Mason Family, malah Guru Yahya di dalam siri 'Drama Minggu Ini'?

Persendaan adalah satu mekanisme semula jadi untuk umat manusia mengekang sesuatu kepengarutan (perkara-perkara karut) sama ada yang berbentuk ideologi atau institusi, sebelum ianya menjadi sesuatu yang menakutkan.

*

"Your rights matter, because you never know when you're going to need them." 

~ Edward Snowden

*

Pada lewat tahun 1956, sebagai seorang selebriti, Elvis Presley telah menggunakan kepopularitiannya untuk membantu membasmi polio di Amerika Syarikat.

Beliau secara terbuka menerusi rancangan 'The Ed Sullivan Show' telah mengambil suntikan vaksin bagi polio dan perbuatannya itu ditonton oleh jutaan orang.

Hasilnya, jumlah pengambilan vaksin telah meningkat kepada 80 peratus di kalangan para remaja di dalam tempoh enam bulan.

Ketika dunia sedang dilanda wabak COVID-19, sekali lagi gamaknya Elvis Presley menerusi penjelmaan semula cuba membantu umat manusia melawan wabak durjana tersebut.

Terdapat beberapa laporan dari seluruh dunia bahawa para elvis telah dilihat di pusat pusat pemberian vaksin dengan gelagat pelbagai ragam.

Belum pasti keberkesanan para elvis jadian berbanding dengan Elvis yang sebenar.

Pada masa yang sama, ada berita yang belum sahih malah mungkin tidak benar yang menyatakan bahawa seorang elvis telah dilucutkan jawatannya  sebagai Bendahari dan dibuang dari keahlian Persatuan Para Elvis Nasional kerana menolak pengambilan vaksin bagi COVID-19.

Isu tersebut menimbulkan polemik mengenai hak kebebasan. Ia membuat para elvis bercakaran dan golongan bukan elvis pula berperang di media media sosial.

Hak kebebasan dan kemerdekaan adalah perkara yang akan terus diperbahas dan diperjuangkan oleh umat manusia sehingga ke akhir waktu, kerana ia adalah perkara yang amat penting di dalam memastikan kebahagiaan hidup manusia.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64, bagi pihak Elvis Tan, Elvis Kassim, Elvis Kumar dan warga elvis di seluruh pelosok tanah air mengucapkan;

"Merdeka! Merdeka! Merdeka!" - Getaran, 1 September 2021


 

Disclaimer:

Tiada elvis yang tercedera, dicedera, atau mencederakan ketika proses penulisan karangan ini, terutamanya elvis-elvis yang menghuni halaman imaginasi penulis.

Gambar: Wikipedia dan Deezer

Berita Berkaitan

1

Refleksi 3 minggu yang lalu

Wanita Hari Ini, Mydin Bergabung Salur Bantuan Kepada Anggota Barisan Hadapan

2

Refleksi 1 bulan yang lalu

Self Healing’ Pada Bulan Ramadan, Bikin Ibadah Makin Khusyuk

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Laungan Keramat 'Merdeka' Kembali Bergema Di Banda Hilir Selepas 68 Tahun

4

Refleksi 2 bulan yang lalu

Menangani Krisis Kejantanan

Sorotan

1

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

2

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

3

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

4

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

5

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

6

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

7

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA