KUALA LUMPUR - Dilahirkan tanpa nikmat melihat, bukan halangan buat seorang wanita Mualaf Siti Aishah Ho Abdullah untuk membaca Al-Quran.
Disahkan menghidapi barah mata ketika beliau baru berusia dua tahun, Aishah kini menjalani kehidupan sehariannya dalam kegelapan, namun bertekad untuk mencari sinar cahaya selepas memeluk Islam.
Dilahirkan di Taiping, Perak, dari keluarga Cina yang beragama Buddha, Aishah tekad memeluk Islam seawal usia 19 tahun.
Selepas memeluk Islam lebih daripada tiga tahun, Aishah telah berjaya menguasai dan menghafal Al-Quran, walaupun tanpa deria penglihatan.
Ibu kepada dua anak itu, kini berusia 39 tahun, berasa sangat gembira apabila dapat membaca kitab suci setiap hari, dalam masa yang sama, meluangkan masa mengajar anak-anak di kawasan kejiranan mengaji, di kediamannya seluas kira-kira 60 meter persegi yang terletak di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Permulaan hidup yang sukar
Berkongsi perjalanannya dengan The Vibes, Aishah menceritakan pengalaman bagaimana dia menempuh detik sukar ketika berada di sekolah rendah pendidikan khas, cacat penglihatan.
“Buat pertama kalinya saya memahami cabaran menjadi insan buta cacat penglihatan, tanpa sokongan keluarga,” katanya dalam satu wawancara menerusi panggilan telefon kepada The Vibes.
“Semasa di Taiping, Perak, jiran di bandar saya juga tidak membantu. Mereka tidak menyokong saya ... mereka melihat saya sebagai beban dan membawa nasib buruk.
“Ketika di sekolah menengah biasa pula, saya juga berdepan detik yang sukar kerana perlu menyesuaikan diri dengan pelajar lain yang mempunyai daya penglihatan. Pada ketika itu, niat saya hanya satu, belajar.”
Jelas Aishah lagi, ketika dia masuk ke sekolah asrama, minatnya untuk mendalami agama Islam semakin bertambah, dan ketika itulah dia jatuh cinta pada agama Islam.
Menurutnya, dia banyak mempelajari dan mengenali Islam dari rakan-rakannya yang beragama Islam di sekolah asrama tersebut, termasuk melalui tazkirah yang di dengar semasa perhimpunan pagi setiap hari serta mata pelajaran berkaitan Islam yang diambilnya.
“Pada tahun 2001, ketika usia saya 19 tahun, saya memutuskan untuk memeluk agama Islam.
“Melalui proses tersebut, dia banyak mendapat bimbingan daripada ustazah di sekolahnya,” ujar Aishah lagi.

Dalam mengejar kebahagiaan melalui Al-Quran
Penghijrahan Aishah mendapat halangan daripada ibu bapanya sehingga ke hari ini. Sementara yang lain masih mempersoalkan niatnya untuk mempelajari agama Islam.
Tetapi ia tidak melemahkan semangatnya.
Ketika dia ditempatkan di rumah transit Pulau Pinang, dia mula belajar membaca Al-Quran.
“Saya baru mula belajar ‘Alif, Ba, Ta’ ketika itu. Tetapi dalam masa yang sama, saya bertekad untuk menghafaz Al-Quran sebelum saya meneruskan apa-apa dalam kehidupan harian saya.”
Kira-kira setahun kemudian, selepas dia mempelajari asas Al-Quran, Aishah mengambil keputusan untuk mendalami kitab suci itu di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam di Kuala Kubu Baru, Selangor, di mana, dalam masa tiga tahun, Aishah berjaya menghafal kitab suci itu.
Ia bukanlah sesuatu yang mudah - Aishah perlu berusaha keras, tanpa memandang kecacatan yang ada pada dirinya.
“Saya harus belajar Al-Quran dalam bahasa Braille. Itu agak sukar bagi saya, jadi saya membeli kaset bacaan Al-Quran, dan saya akan mendengarnya sambil menyaring tulisan Braille.”
Menurut Aishah lagi, semasa dia berada di Darul Quran, dia juga telah mengumpulkan terjemahan sendiri dari kitab suci itu dalam bahasa Melayu ke Braille dan masih menyimpan terjemahannya sehingga kini.
Mencari kegembiraan dalam berkongsi ilmu
Lebih mesra dikenali sebagai ustazah Aishah, anak sulung dari tiga beradik itu, ketika ini memenuhi keperluan dengan mengajar anak-anak muridnya mengaji.
Bayaran yang dikenakan hanya RM30 sebulan untuk pelajaran harian.
Dia juga disokong oleh suaminya, seorang pengusaha khidmat refleksologi, yang sudah mendirikan perkahwinan dengannya selama 13 tahun.
“Saya rasa sangat tenang sekarang, kerana niat saya murni, saya hanya ingin mengajar sebanyak mungkin orang untuk membaca Al-Quran.”
Perjalanan dan perjuangannya turut mendapat sokongan orang ramai, sehingga pada tahun 2010, dia dianugerahkan Anugerah Tokoh Khas Al-Hafiz oleh kerajaan Pulau Pinang.
Turut menarik perhatian, dia berharap kisahnya dapat memberi inspirasi umat Islam di negara ini untuk mempelajari kitab suci itu, tanpa mengira rupa paras atau kekurangan yang ada.
“Tidak ada alasan bagi seseorang untuk tidak mempelajari Al-Quran. Terdapat banyak pusat pembelajaran di sekeliling kita.
“Jadi, seharusnya tidak ada masalah untuk mempelajarinya. Bagi saya, ini harus diwajibkan untuk semua umat Islam.” - Getaran, 14 Mei 2021