Sebagai inisiatif untuk menggalakkan penyertaan komuniti, belia dan pembangunan sukan, Kejohanan AmBank Malaysia Pickleball 2025 telah pun melabuhkan tirainya pada Ahad, 1 Jun lalu bertempat di Pickle Nation.
Acara ini menjadi detik penting bagi komuniti pickleball di Malaysia dan membawa nafas baharu kepada makna sebuah kejohanan.
Kejohanan tiga hari ini dianjurkan oleh AmBank Group bersama Score Sports Management dan diiktiraf secara rasmi oleh DUPR (Dynamic Universal Pickleball Rating).
Seramai 547 pemain dari pelbagai latar belakang menyertai acara ini, termasuk peserta dari Indonesia, China dan Amerika Syarikat.
Kejohanan Dengan Misi
AmBank Malaysia Pickleball Championship 2025 bukanlah sekadar pertandingan biasa. Bertemakan ‘Malaysia Kita’, acara ini turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu yang memberi sokongan kuat kepada inisiatif pembangunan sukan dan memperkasakan golongan belia di Malaysia.

Pada kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu, terdapat juga sesi latihan khas untuk kanak-kanak yang dikendalikan oleh jurulatih profesional.
Seramai 75 kanak-menyertai sesi ini, dan 35 daripada mereka ditaja oleh AmBank Group dan Score Sports Management.
Dalam sesi ini, mereka diperkenalkan dengan asas sukan pickleball melalui latihan yang menyeronokkan, perlawanan mini dan aktiviti interaktif.
Tujuannya adalah untuk membantu mereka membina keyakinan, memupuk semangat kesukanan dan mengeratkan hubungan di kalangan generasi muda Malaysia.
Dalam usaha mencapai impak kolektif, semua peralatan acara,daripada rekaan trofi hinggalah panduan digital telah disusun dengan pemikiran berteraskan ESG (Environmental, Social, and Governance).
Selain komitmen untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna melalui stesen air boleh isi semula dan penggunaan bahan lestari, sebanyak 60 kilogram kasut lama telah dikumpulkan untuk membantu mengurangkan sisa di tapak pelupusan.

Kasut-kasut lama ini akan dikitar semula dan diubah menjadi kemudahan komuniti seperti trek larian, taman permainan dan permukaan gelanggang yang memberi manfaat kepada taman dan komuniti seluruh Malaysia.
Kejohanan ini juga diperkasa dengan kempen media sosial di seluruh negara yang dinamakan ‘AmBank 50th Pickleball Relay Challenge’, di mana rakyat Malaysia ‘menyerahkan’ bola pickleball secara maya sebagai tanda sokongan dan kasih sayang terhadap sukan ini.
“Saya sangat gembira dengan kejayaan AmBank Malaysia Pickleball Championship 2025. Penyertaan bukan sahaja daripada rakyat Malaysia, malah turut menarik minat pemain dari China, Indonesia, Vietnam dan Amerika Syarikat.
“Sambutan yang diterima, tenaga dan semangat kesukanan yang ditunjukkan amat mengagumkan. Kami bangga dapat menambah kejohanan ini ke dalam acara utama kami, dan dengan sokongan berterusan daripada komuniti, kami berharap ia boleh diadakan pada skala yang lebih besar pada masa akan datang,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Score Sports Management, Patricia Tan.
“Kejohanan ni membuktikan apa yang kita percaya, kesihatan, keterbukaan, perpaduan, dan matlamat yang jelas. Kami bangga dapat sama-sama anjurkan pertandingan yang bukan saja mengeratkan komuniti, tapi juga mendorong pilihan positif di dalam dan luar gelanggang.
“Tahniah kepada semua pemenang dan peserta, semoga anda terus mengasah bakat dalam sukan pickleball. Jumpa lagi tahun depan!” ujar Ketua Komunikasi Korporat & Pemasaran Kumpulan, AmBank Group, Shazman Shahid pula.

Untuk melihat keputusan penuh perlawanan dan sorotan acara selepas kejohanan, sila layari laman web rasmi kejohanan di www.mypickleballchampionship.com. - Getaran, 9 Jun 2025
Foto : Score Sports Management