Keinginan untuk memiliki mata yang kelihatan lebih segar dan simetri mendorong semakin ramai individu mendapatkan rawatan estetik pada bahagian mata. Namun, pakar mengingatkan bahawa tidak semua kelopak mata yang kelihatan jatuh memerlukan prosedur kosmetik.
Dalam sesetengah kes, keadaan itu sebenarnya dikenali sebagai ptosis, iaitu masalah perubatan yang bukan sahaja menjejaskan penampilan, malah boleh mengganggu penglihatan dan menjadi petanda kepada penyakit yang lebih serius.
Menurut Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Okuloplastik, Dr. Nazila Ahmad Azli, ptosis merupakan antara masalah kelopak mata yang kerap ditemui dalam amalan klinikalnya, melibatkan kira-kira lapan hingga 12 peratus daripada keseluruhan kes kelopak mata yang dirawat.
"Walaupun pada mulanya ia mungkin kelihatan seperti sekadar isu estetik, penilaian yang betul amat penting kerana masalah kelopak mata jatuh ini boleh menjejaskan fungsi otot kelopak mata, fungsi saraf, mahupun menjadi petanda kepada penyakit yang lain," katanya.

Ptosis berlaku apabila kelopak mata atas berada pada kedudukan lebih rendah daripada biasa akibat kelemahan otot atau gangguan pada saraf yang mengawal pergerakan kelopak mata. Keadaan itu boleh menyebabkan medan penglihatan menjadi terhad, mata cepat letih, selain menimbulkan ketidakselesaan ketika membaca, memandu atau melakukan rutin harian.
Malah, Tinjauan Mata Kebangsaan III menunjukkan kira-kira 13.5 peratus orang dewasa di Malaysia, khususnya mereka yang berusia lebih 60 tahun, berkemungkinan mengalami ptosis. Statistik itu membuktikan masalah ini bukan sesuatu yang jarang berlaku, terutama dalam kalangan warga emas.
Ptosis Bukan Sekadar Mata Kuyu
Dr. Nazila menjelaskan ramai masih gagal membezakan ptosis dengan keadaan lain seperti hooded eyes atau lebihan kulit pada kelopak mata yang lazim dikaitkan dengan faktor penuaan.
"Secara ringkasnya, ptosis bermaksud keadaan kelopak mata atas yang layu atau jatuh. Kelopak mata atas berfungsi melalui otot yang mengawal pergerakan buka dan tutup mata, dan ptosis berlaku apabila sama ada otot atau saraf tersebut yang menghubungkannya gagal berfungsi dengan baik,” katanya.
Menurut beliau, ada individu dilahirkan dengan ptosis kerana perkembangan otot pengangkat kelopak mata yang tidak sempurna.
Bagi mereka yang mengalaminya pada usia dewasa pula, keadaan itu sering dikaitkan dengan proses penuaan, kecederaan, sejarah pembedahan mata, penggunaan kanta lekap dalam tempoh yang lama, tabiat menggosok mata secara berlebihan atau penyakit yang menjejaskan fungsi saraf dan otot.
Pada masa sama, terdapat juga keadaan yang dikenali sebagai pseudoptosis, iaitu apabila lebihan kulit atau lemak pada kelopak mata menyebabkan mata kelihatan seolah-olah jatuh, sedangkan kedudukan sebenar kelopak mata masih normal.

Kekeliruan inilah yang menyebabkan ramai menganggap semua kelopak mata jatuh boleh diselesaikan melalui prosedur kosmetik.
Rawatan Kosmetik Dan Perubatan Tidak Sama
Trend prosedur estetik pada bahagian mata yang semakin popular turut menyebabkan ramai tidak menyedari bahawa pembedahan pembetulan ptosis mempunyai tujuan berbeza daripada pembedahan kosmetik kelopak mata atau blepharoplasty.
Jika pembedahan kosmetik dilakukan untuk membuang lebihan kulit atau lemak bagi memperbaiki penampilan, pembedahan pembetulan ptosis pula bertujuan mengembalikan kedudukan kelopak mata dengan membaiki otot atau struktur sokongan yang terlibat supaya fungsi penglihatan dapat dipulihkan.
"Ramai yang mungkin menganggap pembedahan pembetulan ptosis sama seperti pembedahan kosmetik kelopak mata kerana kedua-duanya boleh memperbaiki penampilan seseorang.
“Namun, kedua-dua prosedur ini membetulkan struktur kelopak mata yang berbeza. Dalam sesetengah keadaan, kedua-dua pembedahan ini boleh saling melengkapi dan perlu dilakukan secara serentak bagi mencapai hasil yang optimum," jelas Dr. Nazila.
Beliau menegaskan setiap pesakit perlu menjalani pemeriksaan menyeluruh sebelum memilih sebarang rawatan. Tanpa diagnosis yang tepat, pembedahan mungkin tidak menyelesaikan masalah sebenar atau menyebabkan keadaan berulang.
Jangan Abaikan Jika Berlaku Secara Tiba-Tiba
Walaupun ptosis sering berkembang secara perlahan akibat faktor usia, perubahan yang berlaku secara mengejut tidak boleh dipandang ringan.
Menurut Dr. Nazila, ptosis yang muncul secara tiba-tiba memerlukan pemeriksaan perubatan segera kerana ia boleh menjadi petanda kepada penyakit yang mengancam nyawa.
"Ptosis yang berlaku secara tiba-tiba memerlukan perhatian perubatan segera. Keadaan ini boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti aneurisma otak, strok atau diseksi arteri karotid,” katanya.
Bagi mengenal pasti puncanya, doktor akan melakukan beberapa pemeriksaan termasuk mengukur kedudukan kelopak mata, menilai fungsi otot pengangkat, memeriksa pergerakan mata, keadaan anak mata dan, jika perlu, menjalankan ujian medan penglihatan.
Hasil pemeriksaan itu membantu menentukan sama ada pesakit hanya memerlukan pemantauan berkala atau rawatan lanjut seperti pembedahan.
Menurut Dr. Nazila, matlamat rawatan bukan semata-mata untuk memperbaiki penampilan, sebaliknya memulihkan fungsi mata supaya pesakit dapat melihat dengan lebih baik dan menjalani kehidupan harian tanpa gangguan.
Selain mendapatkan pemeriksaan awal, orang ramai juga disaran mengamalkan penjagaan mata yang baik dengan mengelakkan tabiat menggosok mata secara berlebihan, menjaga kebersihan kanta lekap, berehat daripada penggunaan skrin digital untuk tempoh yang lama serta mendapatkan rawatan jika mengalami masalah mata kering.
Mengakhiri perkongsiannya, Dr. Nazila berharap masyarakat tidak lagi menganggap kelopak mata jatuh sebagai isu kosmetik semata-mata.
"Jangan ambil mudah tentang ptosis kerana membiarkannya tanpa rawatan boleh menyebabkan gangguan penglihatan, ketidakselesaan yang lebih kronik, serta boleh menyembunyikan masalah kesihatan yang serius.”
Contohya seperti kerosakan saraf, strok, aneurisma otak atau penyakit neuromuskular. Jika ragu-ragu, segeralah dapatkan bantuan perubatan di hospital terdekat."
Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk sebarang pertanyaan umum, sila hubungi talian +603 9772 9191 atau e-mel ke [email protected].
Untuk maklumat lanjut mengenai Pusat Perubatan Sunway Velocity, sila layari laman web www.sunwaymedicalvelocity.com.my. - Getaran, 12 Julai 2026
Foto : Pusat Perubatan Sunway Velocity