The Saujana Hotel Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Peranakan Baba Nyonya Kuala Lumpur & Selangor (PPBNKLS ) pada Sabtu lalu telah menganjurkan acara ‘Mari Minum Teh dan Belajar Joget’, bagi meraikan warisan budaya Peranakan Baba dan Nyonya.

Bertempat di The Rumah Peranakan Entertainment Centre, The Saujana Hotel Kuala Lumpur, acara ini menyatukan para tetamu dalam satu pengalaman imersif yang memperkenalkan keunikan budaya Peranakan melalui citarasa, tekstil, dan tradisi.
Tetamu turut dihidangkan dengan pelbagai hidangan klasik Baba dan Nyonya yang disediakan mengikut resipi turun-temurun, dengan sentuhan istimewa daripada chef berpengalaman dan mendapat latihan khas untuk memasak hidangan kegemaran ramai ini.

Tidak ketinggalan, kelas belajar berjoget serta pameran eksklusif Kebaya Nyonya bersulam halus, kasut manik, kerongsang, serta sarung dan fabrik berwarna-warni hasil tangan artisan tempatan.
"Acara ini bukan sahaja mengenai hidangan, tetapi tentang menyemarakkan semula warisan budaya yang diturunkan dari satu generasi ke generasi berikutnya.
“Setiap juadah mempunyai kisah di sebaliknya, dan setiap hasil seni yang dipertontonkan serta sulaman dalam kebaya menceritakan tentang sejarah dan identiti. Kami amat berbangga kerana dapat sama-sama meraikan warisan dan budaya indah ini dan berharap acara sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujar Pengurus Besar The Saujana Hotel, Jasmine Ong Li.

Sementara itu, penjaga budaya dan juga pengasas PPBNKLS, Baba Albert berkata, pihaknya telah menyusun pelbagai acara menarik sepanjang tahun ini bagi memastikan warisan dan budaya Baba dan Nyonya tidak lenyap ditelan zaman.
“Kami penggerak persatuan ini akan memastikan warisan dan budaya ini akan terus hidup di dapur, di halaman rumah, dan juga pada fabrik yang kita pakai. Kami berharap untuk acara-acara akan datang, ia akan menarik minat lebih ramai golongan muda untuk turut serta.
"Dari sulaman kebaya hingga ke aroma masakan, setiap satu membawa kisah cinta, ketabahan dan pengalaman. Melalui kolaborasi ini, kita menghidupkan semula kisah-kisah tersebut dengan penuh warna dan rasa,” ujar beliau.

Acara ini menandakan permulaan kerjasama berterusan antara The Saujana Hotel Kuala Lumpur dan Persatuan Peranakan Baba Nyonya KL & Selangor dalam memartabatkan budaya Peranakan sebagai sebahagian daripada tarikan pelancongan di Malaysia. - Getaran, 4 Jun 2025
Foto : Persatuan Peranakan Baba Nyonya KL & Selangor