Berita gembira buat si jejaka yang mementingkan gaya dalam setiap penampilan. Jenama pakaian lelaki perniagaan terkemuka China, LILANZ kini memulakan lembaran baharu yang berani menerusi pelancaran butik global pertamanya di SkyAvenue, Resorts World Genting.
Ruang runcit tercanggih ini menandakan satu pencapaian penting kala jenama itu melangkah yakin ke arena global, dengan Malaysia memainkan peranan utama dalam memperkenalkan LILANZ dan DNA jenamanya kepada dunia.
Meliputi kawasan seluas 2,885 kaki persegi, butik LILANZ pertama di luar China ini bakal menjadi destinasi utama bagi pengalaman membeli-belah yang tiada tandingan.

Berpegang pada falsafah rekaannya ‘Ketelitian Minimalis’ (Minimalist Precision), LILANZ menggabungkan kreativiti dan ketukangan halus untuk menzahirkan semangat dinamik gaya hidup bandar sambil menyerlahkan keyakinan lelaki moden.
Berteraskan tiga tunjang utama iaitu Smart, Urban Casual dan Performance Wear, jenama ini menawarkan siluet kemas dan penuh versatil.
Dipertingkatkan dengan teknologi terkini dan inovatif, setiap helaian ideal untuk digayakan untuk setiap hari dengan penggayaan kontemporari, ringan, selesa dan sofistikated.
Koleksi Musim Bunga Dan Panas LILANZ 2025
Koleksi Musim Bunga dan Panas LILANZ 2025 mengambil inspirasi daripada personaliti seorang jejaka yang banyak mengembara. Ia menangkap intipati kerinduan untuk merantau.
Ia juga dianggap satu penghormatan kepada lelaki yang merentasi benua, yang mengumpul kisah menarik, pengalaman dan detik-detik yang mengagumkan.
Setiap helaian mencerminkan keanggunan potongan klasik yang tak lapuk dek zaman, disuntik dengan sentuhan halus budaya global, direka khas untuk lelaki moden yang menghargai keselesaan dan gaya sofistikated.
Dari pesisir pantai yang disinari mentari hinggalah ke hiruk-pikuk kota metropolitan, koleksi ini menggambarkan kehidupan yang penuh makna - di mana setiap pakaian membawa kisah penemuan, pengembaraan dan keajaiban yang diterokai di tempat-tempat terpencil.

Tema ‘Wandering In London’ (Mengembara di London) diilhamkan daripada penampilan elegan yang tenang di tengah-tengah landskap kota yang penuh warna dan kehidupan. Koleksi ini membayangkan seorang lelaki budiman yang merenung kehidupannya ketika menyusuri jalan-jalan bersejarah di London.
Direka untuk keselesaan dalam perjalanan harian dan kesesuaian pemakaian ke pejabat, rangkaian ini menggabungkan fungsi dan gaya dengan sentuhan fabrik ringan dan boleh bernafas serta berteraskan rona sejuk.
Palet warnanya menyerlahkan mood sofistikated, menggabungkan daya tarikan klasik British dengan budaya bandar moden. Antara helaian utama dalam koleksi ini termasuklah kemeja berkualiti tinggi yang tidak mudah berkedut, jaket Harrington yang versatil dan kemeja polo daripada campuran sutera dan kapas.

Tema ‘Sand Dunes’ menggambarkan keindahan bukit serta padang pasir yang terhakis dek cuaca, tema ini merupakan satu penghormatan kepada alam semula jadi dalam bentuknya yang paling asli.
Teksturnya mengingatkan kepada pasir yang ditiup angin dan batuan yang diselar mentari lalu diterjemahkan ke dalam helaian yang diperbuat daripada gentian semula jadi yang boleh bernafas seperti kapas dan linen.
Koleksi berasaskan unsur bumi ini menampilkan TENCEL™, sut kapas-linen yang santai, jaket ringan (windbreaker), kemeja kasual dan seluar pendek sakhlat lembut - semuanya direka untuk membangkitkan rasa tenang dan rasa saling berhubung dengan alam semula jadi.
Palet warna bumi seperti rona kopi lembut, putih berpasir, khaki dan jingga tanah nyata menyerlahkan kehangatan suria dalam koleksi ini, lalu menyuntik setiap penampilan dengan gaya santai dalam pesona organik.

Untuk jiwa muda yang lebih santai, tema ‘Colourful Holiday’ adalah untukmu! Tema ini meraikan kegembiraan percutian di pantai sambil membangkitkan semangat bebas percutian yang ceria di bawah sinaran mentari.
Direka untuk hari-hari santai di bawah cahaya matahari, koleksi ini menampilkan gaya kasual yang mementingkan keselesaan, diperbuat daripada fabrik rintangan UV yang bukan sahaja melindungi si pemakai malah menambah keseronokan dalam pengalaman kembaranya.
Dengan sentuhan estetik gaya santai moden dan tenaga remaja yang segar, setiap helaian amat sesuai untuk sesi berjalan di tepi laut atau meneroka bandar pesisiran pantai yang meriah.
Palet warna yang ceria seperti biru laut, hijau tasik, jingga hangat dan kuning lembut menyemarakkan lagi koleksi ini, menyuntik setiap penampilan dengan keindahan warna-warni serta suasana percutian yang sempurna.
LILANZ x PRONOUNCE
PRONOUNCE ialah jenama pereka terkemuka dari China yang dikenali dengan impak estetik berani yang menggabungkan warisan Timur dan ketelitian Barat.

PRONOUNCE telah meraih beberapa pengiktirafan antarabangsa termasuk menjadi jenama pereka China pertama yang membuat penampilan di Pitti Uomo.
Kolaborasi dua jenama ini menghasilkan helaian fesyen yang menarik perhatian secara visual, yang diinspirasikan oleh geometri ceria papan luncur air serta ukiran berirama seni bina batu purba.
Koleksi ini mencerminkan semangat kebebasan, penerokaan dan pemikiran ke hadapan, dengan elemen seperti sirip dan lengkungan papan luncur air yang disepadukan secara bijak pada siluet yang diperkemaskan.
Antara helaian tumpuan koleksi ini termasuk jaket ringan pelbagai fungsi yang kalis matahari, denim utiliti dalam fabrik jacquard kait, rayon twil sejuk, gaya kait seni 3D dan fabrik bernafas lain.
Koleksi LILANZ Musim Bunga dan Panas 2025 kini boleh didapati di butik global pertamanya di SkyAvenue, Resorts World Genting.

Ditubuhkan pada tahun 1987 oleh adik-beradik Wang yang berwawasan tinggi, LILANZ telah berkembang daripada sebuah bengkel sederhana kepada sebuah kuasa besar, dengan menggabungkan penyelidikan, pengeluaran, rekaan dan pemasaran secara menyeluruh.
“Apa yang bermula sebagai satu barisan produk kini berkembang menjadi pelbagai portfolio merangkumi pakaian luar, helaian dalam, seluar, kasut dan aksesori.
“Sejak tahun ‘90-an, jenama kami telah mendefinisikan semula konsep 'kasual korporat' di China dengan memperjuangkan fesyen lelaki minimalis dengan gaya lebih santai, namun kini kami sudah bersedia untuk membawa identiti kami ke pasaran antarabangsa!” ujar Pengarah Eksekutif dan Naib Presiden Lilang (China) Co., Ltd., Wang Jun Hong.
LILANZ terus berkembang menerusi beberapa siri transformasi, setiap satunya memperkukuhkan lagi identiti serta meningkatkan penampilannya.
Pada 2009, LILANZ mencipta sejarah sebagai jenama pakaian lelaki pertama China yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong, yang membawa kepada era baharu inovasi modal dalam industri.
LILANZ juga telah membuat penampilan memukau di pentas tempatan serta antarabangsa, termasuk Minggu Fesyen Milan (2007), Minggu Fesyen Tokyo (2008) dan Minggu Fesyen Shanghai (2021). - Getaran, 29 Mei 2025
Foto : LILANZ