Sejujurnya, sebaik sahaja melihat poster filem ini, saya kagum kerana ternampak wajah barisan pelakon hebat yang menerajui karya ini. Malah ia digahkan lagi dengan nama sutradaranya Ryan Coogler yang pernah mengarah filem Black Panther Dan Creed.
Sememangnya, kedua-dua filem yang disebutkan tadi tersenarai antara filem terhebat Hollywood yang pernah ditayangkan buat hiburan penduduk dunia beberapa tahun lalu.
Walau bagaimanapun, saya sama sekali tidak menyelidik atau mencari tahu tentang filem Sinners ini sebelum menontonnya. Ini kerana saya ingin pergi tanpa sebarang jangkaan besar.
Satu-satunya ramalan yang ada di kepala saya adalah berdasarkan fakta bahawa ia diarahkan oleh pengarah filem yang hebat, jadi ini pasti sebuah karya yang tidak jauh kehebatannya.
Di mukadimah filem ini, ada suara latar yang menceritakan tentang kuasa muzik yang kadangkala mampu menyeru kuasa syaitan dan roh-roh jahat dari alam paranormal mengikut beberapa kebudayaan kuno Ireland, puak asli Red Indian Amerika dan juga warga Afrika Barat.
Penjelasan ini dilakukan dengan mainan visual animasi semasa pembukaan cerita dan ia sedikit sebanyak memberi secebis gambaran tentang premis filem tersebut.
Sungguhpun begitu, sebahagian besar filem ini (dari mula hingga setengah perjalanan cerita) tidak banyak memberi gambaran tentang unsur seram tersebut. Malah, alur cerita lebih fokus kepada cabaran-cabaran yang perlu dilalui dua watak utama iaitu Smoke dan Stack, pasangan kembar yang kedua-duanya dilakonkan oleh Micheal B Jordan, pelakon kesukaan pengarah filem ini iaitu Ryan Googler.

Berlatarbelakangkan Amerika Syarikat pada awal tahun 1930-an, ia mengisahkan dua adik-beradik kembar berdarah Afrika-Amerika, Elijah dan Elias yang mendapat nama samaran Smoke dan Stack. Mereka pulang ke kampung halaman mereka untuk menghidupkan cita-cita lama iaitu membangunkan sebuah kelab malam.
Mereka pernah meninggalkan kampung mereka itu untuk menjadi askar dan seterusnya mencari kekayaan di bandar besar Chicago yang tika itu terkenal dengan pelbagai jenayah dan maksiat.
Pembabitan mereka dalam dunia gelap itulah yang menghasilkan wang haram serta keuntungan besar mereka untuk mewujudkan impian tersebut.
Namun untuk menjadikan mimpi mereka suatu kenyataan, mereka meminta bantuan sepupu mereka yang lebih muda bernama Sammy. Sammy seorang anak pengkhutbah gereja yang bijak bermain gitar dan menyanyi muzik Blues (era tersebut merupakan kemuncak kemunculan genre muzik itu).
Walau bagaimanapun, sebagai seorang paderi dan pengkhutbah gereja, ayahnya sering mengingatkan Sammy bahawa bermain muzik di kelab-kelab malam menjadi punca maksiat dan dosa. Dan semua yang menjadi punca dosa biasanya mengundang kejahatan yang tidak manusia jangkakan.
Sammy yang tidak menghiraukan nasihat ayahnya itu tetap teguh dengan minatnya dalam muzik dan bersetuju untuk mengikuti serta membantu kedua-dua abang sepupunya itu.
Dari babak inilah, proses penubuhan kelab malam tersebut mula dipaparkan sedikit demi sedikit. Diawali dengan pembabitan Sammy sebagai pemuzik pertama yang dipilih oleh Smoke dan Stack, ia kemudian dimeriahkan lagi dengan watak-watak lain yang dipilih pasangan kembar itu untuk menjayakan malam pembukaan kelab mereka.
Ini termasuk pencarian tukang masak, juruhias, pemuzik, penjaga pintu masuk dan beberapa lagi orang penting yang kebanyakannya merupakan kenalan lama Smoke dan Stacksemasa mereka membesar dahulu.
Semua ini mereka lakukan dalam satu hari untuk membuktikan kepada penduduk kampung bahawa warga kulit hitam Afrika juga mampu berjaya dengan perniagaan mereka sendiri.
Namun, di sini jugalah unsur seram (yang pada saya agak lambat diselitkan dalam filem) mula didedahkan.
Oleh kerana senario filem berpaksikan zaman Amerika 1930-an yang masih bergelut dengan kancah perkauman, pembabitan kumpulan pengganas Ku Klux Klan disuntikkan dalam filem ini untuk mencerminkan kejahatan beberapa komuniti kulit putih ketika itu yang ingin melenyapkan komuniti Afrika-Amerika dan kulit hitam secara umum.
Pada saya, itu yang membuatkan penonton (seperti saya) sedikit keliru kerana menjangkakan naratif keganasan perkauman itu yang akan menjadi klimaks pencetus filem ini.
Ternyata sangkaan saya salah apabila salah satu ahli kumpulan pengganas Ku Klux Klan dalam filem ini rupa-rupanya terdiri daripada sekumpulan pontianak atau ‘vampire’ yang cuba menyatukan masyarakat dengan menjadikan semua orang penghisap darah abadi sebaik sahaja ‘hidup semula’ selepas digigit.

Separuh bahagian akhir filem ini tiba-tiba dipenuhi aksi berbunuhan penuh darah saat ada di antara penghuni kelab malam yang dibina Smoke dan Stack digigit pontianak dan menjadi penghisap darah abadi.
Tidak dinafikan aksi yang dipaparkan semasa pergelutan antara manusia dan pontianak ini memang sengit, tetapi pada saya ia kelihatan agak aneh dan kadangkala lucu kerana tiba-tiba filem ini berubah dari sebuah filem tentang perkauman menjadi filem seram secara mendadak.
Walau bagaimanapun, lakonan yang ditonjolkan dalam filem ini memang luar biasa dan barangkali itu yang membantu menyelamatkan filem ini.
Sungguhpun begitu, perubahan plot ini mungkin sesuatu yang berbeza bagi sesetengah penonton dan mungkin disukai oleh beberapa orang.
Semua terserah kepada yang bakal menyaksikan filem ini dan memberi interpretasi masing-masing.
Sinners sudah mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini (17 April). - Getaran, 17 April 2025