Wau adalah permainan tradisi pada zaman dahulu yang tidak ramai generasi sekarang tahu. Wau merupakan khazanah masyarakat Melayu yang tinggi nilainya dan merupakan seni budaya turun-temurun.
Permainan wau selalunya bertujuan untuk mengisi masa lapang, menyambut perayaan tertentu yang semestinya memberikan kegembiraan.
Bagi menyelami keindahan salah satu simbol kebangsaan Malaysia, Intermark Mall Kuala Lumpur kini mengadakan pameran ‘Wau Raya’ sempena meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Sebati dengan tradisi Malaysia yang kaya dengan warisan budaya yang mengagumkan, anda pasti akan berkata ‘wau’ jika berkunjung ke pameran ini.
Intermark Mall telah berkolaborasi dengan pembuat wau tradisional terkenal dan juga pemenang pelbagai anugerah berkaitan wau tempatan, Razi Said untuk mempamerkan karya seninya.
Terdapat 40 ekor wau yang dipamerkan di sini dan ia mengambil lebih daripada 3200 jam untuk dihasilkan. Ya, menurut Razi, penjodoh bilangan paling sesuai untuk wau adalah ekor.

“Sejak kecil lagi saya suka melakar dan melukis jadi, minat terhadap seni tradisi ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Saya telah berkecimpung dalam seni pembuatan wau ini sejak 14 tahun yang lalu.
“Permulaan minat saya adalah ketika saya pergi ke Taman Layang-Layang Metropolitan di Kepong untuk berjumpa dengan seorang kawan. Di situ, saya memupuk minat terhadap seni unik ini.
“Kawan saya kemudian mengenalkan saya kepada orang-orang yang lebih lama dalam seni pembuatan wau. Saya berguru dengan empat orang guru selama enam tahun dan sanggup ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kelantan untuk mempelajari dan mengulang kaji dengan teliti tentang seni ini,” kata Razi.
Kepada orang yang tidak tahu tentang wau, keunikan corak ada pada wau ini bukan tampalan kain batik yang kita sangkakan. Wau adalah wau paling cantik di dunia dari segi layang-layang pembuatan tangan.

Bagi menghasilkan wau, ia memerlukan barang-barang asas seperti kertas, buluh, benang dan gam.
Terdapat empat jenis motif yang digunakan dalam menghasilkan reka corak wau. Antaranya, motif bunga, abstrak, haiwan dan geometri.
Motif bunga mempunyai daya tarikan yang tinggi dari segi kecantikan dan keindahannya sangat sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu.
“Saya lebih gemar dengan motif yang berinspirasikan flora dan fauna dan pokok yang menjalar seperti pokok kangkung, labu, peria dan tembikai. Jadi apa yang saya bayangkan saya akan lakarkannya.
“Seni yang ada pada wau ni mengambil masa yang sangat lama. Wau Bulan yang mempunyai kepanjangan dua kaki akan mengambil dua bulan untuk disiapkan.
“Ini kerana kita tidak mengecat wau tetapi menebuk dan menampal kertas warna-warni untuk mewarnainya,” jelasnya.

Kepada yang tidak tahu, wau dan layang-layang adalah dua permainan yang berbeza. Penghasilan layang-layang lebih mudah, tidak rumit dan tidak perlukan banyak barang seperti wau.
Terdapat banyak jenis wau di Malaysia yang mempunyai saiz dan corak yang tersendiri.
Razi berkata, “Terdapat empat belas buah negeri di Malaysia dan setiap satunya mempunyai wau tersendiri.
“Wau Bulan asalnya dari Kelantan dan telah diiktirafkan sebagai wau kebangsaan. Setelah pengiktirafan tersebut, Kelantan kemudian mengeluarkan wau puyuh sebagai wau negerinya.
“Selain itu, Negeri Selangor mempunyai wau kapal yang mempunyai motif kapal yang menjadi lambang kesejahteraan, pembangunan, perkapalan dan tanaman padi.
“Namun terdapat tiga jenis wau yang paling saya minati. Wau Bulan yang ada pada mata wang Ringgit Malaysia simbolik dan termasyhur sekali. Kita tunjuk duit syiling kepada sesiapa sahaja, mereka mesti tahu itu milik Malaysia.”

Reka bentuk Wau Bulan yang dikatakan berasal dari zaman kerajaan Srivijaya dan merupakan lambang penyatuan.
Wau Bulan merupakan wau yang bahagian ekornya menyerupai bulan sabit atau tanduk dan mengandungi bulan penuh di bahagian labu (antara bulan sabit dengan sayapnya).
“Kedua, Wau Kucing yang menjadi sumber inspirasi logo Penerbangan Malaysia Berhad (MAS).
“Ketiga, Wau Jala Budi, dalam Bahasa Inggeris namanya Ladies’ Kite disebabkan berbentuk pinggul perempuan. Antara ketiga wau ini, Wau Bulan yang paling terbaik bila diterbangkan sebab ia senang ‘berlenggang’,” ujarnya.

Kecantikan wau akan terserlah dengan adanya kilauan cahaya matahari yang memancar. Bagi mengelakkan tali wau putus, ia perlu dikawal dengan baik agar ianya terbang rendah.
Busar yang terdapat di wau akan mengeluarkan bunyi ketika diterbangkan dan mampu menarik perhatian sesiapa yang mendengarnya.
Selalunya, permainan wau dimainkan di kawasan yang lapang seperti padang atau kawasan sawah padi. Kawasan ini kebiasaanya tidak ada halangan seperti pokok supaya ia tidak menyebabkan wau tersangkut jika diterbangkan.
“Saya rasa membuat wau ni dapat memberikan kepuasan yang tiada bandingan. Kesenian wau ini sangat unik untuk dipelajari dari segi melukis, melakar dan meraut buluh.

“Anak muda perlu pelajari seni budaya kita sebab apresiasi dan kemahiran semakin berkurangan dan mungkin akan hilang pada masa akan datang.
“Seni ini memerlukan semangat yang kuat dan kesabaran yang mendalam kerana kerumitan untuk menghasilkannya,” katanya.
Generasi muda, terutamanya kanak-kanak kini kurang terdedah dengan kebudayaan permainan tradisional kerana lebih terdedah dengan permainan berasaskan komputer dan digital. Warisan permainan tradisional perlu dipelihara agar ia tidak pupus dan lesap begitu sahaja.
Anda boleh datang ke pameran ‘Wau Raya’ untuk menyaksikan pameran dan demonstrasi membuat wau di Intermark Mall Kuala Lumpur yang sedang berlangsung sehingga 23 Mei 2021. - Getaran, 29 April 2021