Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Inkarnasi Joe Flizzow

Pawana menghembus kencang arena hip hop tempatan dengan nafas generasi baharu. Bersama Joe Flizzow, mengupas masa hadapan hip hop dan legasi yang ingin diturunkan.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 10 Jul 2021 8:28AM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Jarum jam tepat menunjukkan pukul 2 petang. Telefon penulis pun mula berdering, “Hai Zaidi, kami sudah berada di lobi,” ucap si Popo, pembantu peribadi kepada Joe Flizzow.

“Wow, pantas. Baiklah, saya turun jemput awak dengan Joe, naik ke atas ofis,” balas penulis bersahaja. Penggambaran TARA edisi kali ini dilakukan hanya di bangunan pejabat kami sahaja.

Penulis sempat berasa kagum dengan ketepatan masa yang diambil oleh mereka. Siapa sangka, rapper senior seperti Joe Flizzow sangat menepati janji dan masa.

Pasalnya, sebelum ini penulis berkali-kali sudah masak dengan perangai sesetengah artis - lagi-lagi genre hip hop - perihal masa dan janji.

Membuatkan penulis panasaran sekali ingin bertanya soalan cepumas, “Abang Joe, boleh saya tanya? Selalunya, artis-artis hip hop ini kan, lagi-lagi yang baru, selalu datang lambat. Ada yang langsung no show. Sebagai artis senior, apa pendapat Mr President tentang ini?” pancing penulis.

Seraya Joe menjawab, “Saya boleh beritahu dengan terperinci kenapa permasalahan ini berlaku. Ramai saya lihat mahu menjadi independent. Bebas sebebas-bebasnya. Mahu lakukan ini, mahu lakukan itu. Mahu mulakan label sendiri, tubuhkan jenama fesyen sendiri. Semuanya sendiri.”

“Namun, jika kamu tidak ada disiplin gerila, kamu perlukan pasukan bantuan. Jangan kononnya aku mahu, tetapi tidak mampu. Bila kita sudah terlalu ‘alpha’ atau perkasa, tiada orang yang kamu rasa boleh memarahi dan menyuruh-nyuruh kamu. Tiada siapa boleh marah kamu.”

“Saya sendiri punya pengurus sama hampir 15 tahun lamanya dan jika saya terlambat walau lima minit, saya tetap ditegur. Tiadalah sampai dimaki (ketawa). Selama saya bergelar selebriti, jarang sekali saya terlambat atau tidak hadir langsung kerana saya menghargai masa dan janji.”

Nah, bernas sekali jawapan yang diberi. Benarlah, pengurusan itu bukan sekadar menguruskan masa dan jadual semata-mata. Pengurusan itu termasuklah menguruskan ego dan nilai individu.

“Saya sebagai pemilik syarikat rakaman sudah masak dengan perangai-perangai sebegini. Kamu baru rap setahun? Kamu ada satu hit? Kamu sudah jadi begini?”

“Ya, keyakinan itu penting. Ia perlu disemai. Jika semaiannya elok, maka hasilnya pun elok. Jika tersalah jaga, keyakinan kamu akan berubah menjadi sombong. Menjadi bodoh dan angkuh. Mereka yang baharu, tidak faham kepentingan menjaga perhubungan sesama manusia.”

“Apa yang paling penting dalam karier muzik sebenarnya adalah rangkaian hubungan. Tiada lagi penting, selain hubungan dengan manusia. Katakan dalam masa 20 tahun, 10 tahun di dalam industri ini, kamu tidak akan tahu siapa yang akan menghulurkan tangan membantu kamu.”

“Namun, tetap sahaja saya akan mempertahankan artis-artis hip-hop dengan berkata artis lain pun sama juga. Saya boleh berikan senarai artis-artis balada, pop atau rocker yang selalu datang lambat atau yang memungkiri janji tidak datang terus,” tawanya bercanda.

Pengasas Def Jam South East Asia (DefJam SEA) ini kelihatan selesa dan tenang bersahaja. Ada aura di sebalik perwatakannya. Sepanjang sesi temu bual, Joe sangat ramah. Joe berkata dia memulakan DefJam SEA pada penghujung 2019 dengan hanya lapan artis dari empat negara.

Kini, DefJam SEA sudah berkembang dan mempunyai enam cawangan di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina. Buat masa sekarang, terdapat 30 artis hip hop baharu di bawah naungan DefJam SEA.

 

Hip Hop: Yang Baru Vs Yang Lama

Kalau bicara soal hip hop, Joe Flizzow pastinya antara nama-nama utama yang bakal dikomat mulut-mulut peminat hip hop tempatan. Joe sudahpun selesa bertapak sejak 23 tahun yang lalu bersama rakan hip hop, Malique pada 1998 dengan penubuhan Too Phat.

Muzik hip hop mereka menjadi fenomena dan membawa revolusi kepada industri hiburan tanah air. Perjuangan hip hop mereka antara yang paling dikenali dan berpengaruh di Malaysia pada era 2000-an dan berjaya menempa nama di persada antarabangsa, khususnya di rantau Asia.

Pada 2002, Too Phat bersama-sama dengan ramai artis hip hop lain termasuk Phlowtron, Muchachaz. M.O.B. dan Teh Tarik Crew membentuk satu kesatuan hip hop yang dikenali sebagai Phat Family sebelum pembubaran Too Phat pada 2008. 

Pada tahun yang sama, Joe Flizzow melancarkan album solo pertamanya, ‘President’ pada 31 Disember 2008 di bawah labelnya sendiri, Kartel Records (sebelum DefJam SEA) yang ditubuhkan pada 2005, diikuti dengan album kedua, ‘Havoc’ pada 7 November 2013. 

Terlalu banyak onak duri dan pancaroba yang dilalui seorang insan seni yang bernama Johan Ishak ini. Membuatkan penulis ingin melihat pandangan dan perspektifnya tentang gelombang ombak hip hop generasi baharu yang sedang melanda industri sekarang. Apa kata, Joe?

“Sama. Semangat hip hip itu tetap sama. Kamu harus mengerti, hip hop akan senantiasa menjadi genre untuk anak muda. Suara orang muda. Yang berbeza, mungkin dari stail muzik. Lain dari segi lirik dan fraksi.”

“Sama juga dengan genre lain, pop misalnya. Stail muzik Madonna tidak sama dengan Lady Gaga. Kamu dapat apa yang saya maksudkan? Nuansa itu yang berbeza”

Yang lama dan baharu tidaklah jauh berbeza. Dari dahulu, hip hop memang bersatu dalam satu kancah arena yang sama. Penulis melihat nilai persaudaraan dalam hip hip sangat erat berbanding genre-genre muzik yang lain. 

Dalam hip hop, jika artis hip hop itu berkolaborasi dengan artis hip hop ini, itu perkara biasa. Jika Joe rap dengan Altimet, itu normal. Altimet pula bikin lagu dengan si polan, ya biasa. Jika satu album hip hop ada sepuluh lagu, lapan daripadanya semua kolaborasi dengan artis lain.

“Jika ada pun perbezaan yang ketara, mungkin rapper sekarang ada platform dan medium mereka sendiri seperti media sosial. Mereka tidak perlu lagi tunggu lagu dimainkan di radio seperti zaman saya. Dari segi itu, tidak sama. Dan mungkin suara rapper sekarang lebih lantang.”

“Jika sepuluh tahun lalu, saya ada masalah dengan seseorang? Saya mahu utarakan di mana? Hari ini di Twitter, beribu-ribu orang boleh baca apa yang saya laungkan. Suara yang lantang ini kita boleh gunakan untuk kebaikan atau kemudaratan. Terserah kebijaksanaan,” katanya.

 

Penghidupan Ideologi Masa Kini

Tidak dinafikan, hip hop era 2000 atau 90-an lebih berunsur ilmiah atau lebih kepada isu-isu sosial dan politik. Dan hari ini pula, kita melihat kurang artis-artis hip hop generasi muda membawa topik-topik berat yang cakna sedemikian. 

Namun, sebenarnya jika kita menyelami hip hop hari ini, masih ada ramai artis-artis hip hop generasi kini yang membawa rap mereka secara bijak dan waspada. 

Penyataan ini disambut baik oleh Joe, “Kamu harus faham, perbezaan ini bukanlah suatu masalah pada hip hop. Fahami dan pandanglah dari sudut hiburan secara keseluruhan. Bila saya berkata soal hiburan, ia mencakupi semua seperti filem, drama dan juga muzik.”

“Hiburan adalah hiburan. Ada kalanya, hiburan boleh dijadikan sebagai medium yang sangat berkuasa. Kamu boleh menggunakan hip hop untuk ‘mensenjatai’ minda masyarakat atau boleh juga ‘merencatkan’ mereka. Kata kuncinya, ‘penundukan’.”

“Hip hop ini salah satu genre muzik yang paling berpengaruh di dunia, saya agak terkilan jika melihat isi yang dibawa kurang memuaskan.”

“Dahulu hip hop berbicara soal pemerkasaan wanita, misalnya. Namun hari ini, saya melihat ada sahaja artis wanita hip hop yang mempersendakan jantina mereka sendiri. Memanggil nama-nama dengan panggilan negatif yang kurang enak didengari. ‘Jalang’ atau ‘pelacur’, contohnya.”

“Dari segi itu, saya rasa, ya. Namun kita tidak boleh memukul rata seluruh generasi mereka sebegitu. Sesetengah aspek, mereka lebih mengetahui budaya hip hop. Ada yang mengkaji lirik dengan lebih mendalam, meneruskan kesinambungan dalam dunia fesyen dan sebagainya.”

“Jadi bila bercakap soal hip hop - genre muzik paling berpengaruh di dunia ini - kita perlu melihat dari pelbagai aspek. Ada sahaja syarikat-syarikat korporat yang mula menggunakan pengaruh ini untuk mempromosi barangan, produk dan gaya hidup mereka,” terang Joe tak berhenti kalimah. 

 

Hip Hop is Fluid

Menurut Joe Flizzow, definisi hip hop itu tidak statik. Ia bersifat bendalir. Mengikuti perkembangan dan peredaran zaman.

“Saya masih ingat, semasa saya mula-mula berjinak dalam arena hip hop bersama Malique untuk Too Phat dahulu, bukan semua orang datang kepada kami untuk menghulurkan tangan.”

“Ramai yang tak mahu melihat kami berjaya. Generasi hip hop sebelum saya tiada ikatan persaudaraan kerana banyak konflik. Dan dari situ saya melihat, saya berjanji pada diri sendiri, kendatipun saya bertapak lebih terkenal nanti, saya tidak akan menindas generasi mendatang.”

“Malah membuka pintu dan memberi mereka lebih peluang. Saya tidak mahu mereka lalui apa yang saya dan Malique lalui sebelum ini. Ia tanggungjawab sebagai seorang pemuzik. For me, it was bigger than music. You need to put the mic in the next guy’s hand. You can’t hold it forever.

“Kita lihat seniman seperti M. Nasir. Sudah berapa ramai seniman yang dia lahirkan? Dia kekal sebagai legenda. He created other legends. Misalnya, saya mengagumi Amy Search, Amy Search mengagumi M Nasir. Ada sesuatu yang istimewa tentang itu. Kami membentuk ‘raja -raja’ masa hadapan.”

Tambahnya, “Oleh kerana itu saya mencipta rancangan bakat baharu seperti 16 Baris. Sepanjang dua musim, kami sudah bekerjasama dengan hampir 90 rappers. Sekarang, ada antara mereka yang sudah menjadi superstar. Saya tak kan berkata mereka menjadi terkenal kerana budi saya.”

“Percayalah, selalunya rumah rakaman akan selalu ‘mengikat’ kamu dengan kontrak untuk mendapat keuntungan sekiranya mereka melabur ke atas bakat kamu. Tetapi, saya tidak berbuat begitu. Biarlah anak-anak muda ini bebas terbang berkarya.”

“Jika karier muzik kamu berkembang, itu rezeki. I let them free. Money is important but not everything is about money. Why are we here? Berdiri kita di sini kerana hip hop,” tutup Joe berbicara. - Getaran, 10 Jul 2021. 

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Joe Flizzow

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri  

Teks : Zaidi Che

Suntingan Teks: Shah Shamshiri

Penata Gaya : Arie Sampornak

Arahan Seni : Zaidi Che

Jaket : Coach

Solekan & Dandanan : Ayang Kamell

Jurugambar : Azim Rahman

Suntingan gambar : Sadiq Asyraf

Juruvideo  : Alif Omar

Pembantu Juruvideo : Syeda Imran

Suntingan Video : Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi :  Petra News, Bangsar.

Isu Pada

Inkarnasi Joe Flizzow

10 Jul 2021

Berita Berkaitan

1

Muzik 2 bulan yang lalu

Hip Hop Jadi Pilihan Ketua Pemuda Umno Untuk Dekati Anak Muda

2

Luar Negara 6 bulan yang lalu

Hantaran Instagram Taylor Swift Bantu Pecah Rekod Pendaftaran Undi

3

Selebriti 9 bulan yang lalu

Penyanyi Legenda Bossa Nova, Astrud Gilberto Meninggal Dunia

4

Muzik 10 bulan yang lalu

Pertama Kali Jayakan Konsert Sulung, Joe Flizzow Janjikan Sebuah Persembahan Yang Penuh Kejutan Dan Havoc! 

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok