Berpegang teguh kepada falsafah warisan untuk mencipta pengalaman perjalanan yang berkekalan serta tidak dapat dilupakan, Temple Tree Resort melalui restorannya, Paloh Restaurant & Bar mempersembahkan seleksi masakan asli tempatan untuk mereka yang datang bertamu ke resort ini.
Bertempat di pulau legenda Langkawi, resort yang menjadi buruan ramai ini menjemput pengembara atau pencinta makanan yang arif untuk mengikuti pengembaraan masakan yang unik. Senangkan diri dalam persekitaran kampung Malaysia di mana suasananya tidak tergesa-gesa, dan nikmati satu demi satu hidangan tempatan yang mewah dengan perisa dan aroma yang memikat selera.

Restoran yang dahulunya dikenali sebagai Temple Tree Bar & Restaurant ini masih meneruskan legasi menyajikan nostalgia di atas pinggan biarpun namanya telah ditukar kepada Paloh, sempena nama ibu negeri Perak yang dahulunya dikenali sebagai Pa-Lo dan terletak di dalam kawasan Rumah Ipoh yang berusia 100 tahun.
Menurut beberapa penduduk tempatan, asal usul nama ini dipercayai merujuk kepada empangan yang dibina di sepanjang Sungai Kinta di Perak untuk memancing, dikenali sebagai Pa-Lo dalam dialek Kantonis. Berdiri megah dengan ciri-ciri klasik di pintu masuk kawasan resort, setiap gigitan di Paloh Restaurant & Bar menerbitkan rasa yang menggambarkan kepelbagaian budaya Malaysia.

Dibuka sepanjang hari dari sarapan pagi hinggalah ke makan malam, seleksi menu baharu ini pasti tidak menghampakan biarpun anda seorang yang cukup cerewet. Bayangkan diri anda berada di sebuah desa tanpa sebarang gangguan, disajikan dengan hidangan lazat dalam suasana desa yang mengasyikkan.
Biarpun begitu, rekaan restoran ini masih menonjolkan sentuhan kontemporari di mana terdapat alang siling kayu yang indah dan kehadiran tingkap putih yang menarik diiringi oleh dinding rona hijau yang hangat.
Makanan Popular Jalanan Turut Tersedia
Sesuai dengan status Malaysia yang digelar sebagai syurga makanan, Paloh Restaurant & Bar dilimpahi dengan seleksi makanan popular di kalangan rakyat Malaysia, termasuklah makanan jalanan. Antara yang menanti ialah Asam Pedas Johor, Laksa Nyonya Melaka, Daging Salai Cili Api Negeri Sembilan, Char Kuey Teow Pulau Pinang, Ipoh Hor Fun dan Ipoh Kari Kepala Ikan.
.jpg)
Sebagai simbol kepelbagaian dan meraikan selera tetamu yang pelbagai, ia juga menawarkan pilihan menu yang segar dan berkhasiat untuk memenuhi citarasa semua. Selain hidangan popular Malaysia, Paloh Restaurant & Bar turut menyajikan makanan bercirikan Mediterranean yang diilhamkan oleh suasana pulau dan resort, menggunakan bahan-bahan yang ditanam dan diperolehi dari sumber segar termasuklah makanan laut, herba dan rempah ratus buatan sendiri.

Untuk makan malam cubalah manjakan lidah anda dengan sup ekor lembu klasik kegemaran rakyat Malaysia yang mewah dengan herba campuran dan rempah ratus. Selain itu ada juga cajun chicken caesar salad, grain-fed Brazilian rib eye steak, udang harimau bakar dengan salad campuran, pelbagai pilihan pasta dan pencuci mulut unik yang menampilkan pisang goreng bersama aiskrim vanila dan sos coklat.

Untuk penggemar snek dan makanan ringan, restoran ini telah memperkenalkan piza buatan sendiri yang dibakar dengan sempurna dalam masa dua minit. Piza bersaiz 12 inci ini dibuat segar menggunakan gabungan keju import dan bahan-bahan tempatan.
Tidak ketinggalan, set Floating Breakfast yang disajikan di kolam renang, Dining Under the Stars yang sesuai untuk majlis istimewa dan juga set hi-tea yang boleh dinikmati di mana-mana lokasi pilihan di sekitar resort.

Untuk tempahan meja atau untuk maklumat lanjut, sila hubungi +6017 599 5935 atau emelkan pertanyaan anda ke [email protected]. - Getaran, 15 Oktober 2023