KUALA LUMPUR - Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara sehari, didenda RM8,000 dan lesen memandunya digantung lima tahun oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membuat isyarat lucah dan memandu secara berbahaya Khamis lalu.
Majistret Chia Huey Ting menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Tan Chee Gang, 37, dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang menghina dengan membuat isyarat lucah kepada seorang pemandu kereta dengan niat untuk mendatangkan ketakutan.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memandu kenderaan dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain dan didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 1999.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih lima tahun, denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau memperoleh lesen memandu selama maksimum lima tahun.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tun Dr Awang, Balik Pulau pada jam 11.27 pagi, 28 Mei lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affandi Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chester.
Huey Ting menetapkan denda RM3,000 bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua pula, tertuduh dipenjara sehari, didenda RM5,000, dan lesen memandunya digantung selama lima tahun, selain mengarahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar kedua-dua denda tersebut.
Pada 30 Mei, polis menahan lelaki tersebut bagi membantu siasatan berhubung insiden ugutan jenayah dan melakukan isyarat lucah yang videonya tular di media sosial.
Video kejadian boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/reel/864069659511044/?fs=e&s=TIeQ9V&fs=e&mibextid=wwXIfr – Getaran, 4 Jun 2026