Sempena minggu Aidilfitri ini, macam-macam perkongsian berkenaan hari raya yang telah kami kongsikan. Ini termasuklah topik lagu raya yang sudah kami paparkan dalam beberapa kisah yang menarik dari sudut mata mereka yang pakar dalam bidang muzik dan hiburan.
Sungguhpun begitu, kami sendiri tidak mahu ketinggalan berkongsi tentang beberapa lagu raya yang kami rasa ada kelebihan. Di sini kami kongsikan beberapa lagu raya malar segar yang pernah terhasil sejak tahun 80-an dan juga beberapa lagu raya yang dibikin selepas tahun 2000 namun mampu menghidupkan semangat hari raya!
Selamat Hari Raya dan semoga anda terhibur dengan pilihan kami ini.
Hari Mulia – Dato Sheila Majid
Antara lagu raya tahun 80-an terawal yang boleh dianggap moden berkat sentuhan irama pop dan R&B. Masih diminati hingga kini dan relevan dengan semua pencinta muzik, khasnya peminat Sheila Majid sendiri.
Pulang Di Hari Raya – Noor Kumalasari
Ada sesuatu yang menyenangkan tentang lagu nyanyian primadona kesayangan ramai, Noor Kumalasari ini. Biarpun rentaknya dianggap moden ketika itu, ia mengajak kita semua untuk bergembira di hari raya. Malah korusnya susah untuk dilupakan..
Kepulangan Yang Dinanti – Aman Shah
Sebuah balada hiba namun penuh dengan perasa hari raya yang diperlukan. Cukup dengan irama sayu dan suara Aman Shah yang merdu memanggil anda untuk pulang beraya.
Kurniaan di Hari Raya - Feminin
Tersenarai sebagai salah satu kumpulan nyanyian wanita paling berjaya dalam sejarah muzik tempatan, lagu raya Feminin ini juga ada keunikannya sendiri. Selain rentaknya moden dan menghiburkan ia juga membuat anda ingin bergembira bersama keluarga.
Raya Oh Yeah - Yuna
Biarpun kemunculannya sekitar sedekad dalam industri muzik tanah air dan antarabangsa, penyanyi dan pencipta lagu berbakat besar ini juga berjaya menonjolkan sesuatu yang berbeza dalam lagu rayanya yang tersendiri. Sesuai dengan imejnya yang ringkas, lagu raya ini wajar masuk senarai anda.
Bergema Takbir di Pagi Raya – 4u2c
Mana mungkin kami lupakan lagu raya berunsur rap nyanyian kumpulan 4u2c ini. Dengan gerakan tarian unik mereka dan lagunya yang bersahaja ia juga termasuk dalam senarai pilihan kami.
Pulang – Maya Karin
Ada yang tahu dan ada yang tidak tahu tentang kewujudan lagu ini, tapi ia sebenarnya sebuah lagu yang sangat menyenangkan dan menghiburkan. Dalam diam Maya Karin berjaya menghasilkan sesuatu yang boleh diingati jika ia diberi lebih banyak putaran di radio.
Syawal Ini – Ning Baizura
Lagu raya Ning Baizura ini dihasilkan sekitar tiga tahun lalu dan menampilkan keunikan suara Ning Baizura mengingatkan semua yang mendengar untuk mendoakan semua orang jauh atau dekat semasa hari raya. Dengan irama yang agak rancak ia juga ada harapan menjadi lagu raya kesukaan.
Suasana Hari Raya – Anuar dan Elina
Anuar Zain dan pasangan duetnya Elina telah lama menjadi game changer dalam penghasilan lagu raya melalui karya ini. Lagu ini menjadi anthem wajib setiap kali raya tanpa gagal. Sedikit moden sedikit tradisional namun sama sekali tidak akan dilupakan.
Sesuci Lebaran- Siti Nurhaliza
Tidak lengkaplah senarai kami jika lagu nyanyian vokalis nombor satu negara Siti Nurhaliza tidak kami masukkan kerana lagu ini cukup menggamit suasana dan memori. – Getaran, 16 Mei 2021.