Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Lagu Raya Masih Relevan Di Jiwa

Lagu-lagu bertema hari raya bukan sekadar penghibur dan pengisi ruang udara, tapi ada relevannya dalam kehidupan masyarakat Malaysia, khasnya yang menyambut Aidilfitri. Roslen Fadzil berkongsi pendapat.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 15 May 2021 11:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tidak lengkap beraya tanpa lagu raya. Budaya ini telah wujud di Tanah Melayu sejak abad lalu atau mungkin lebih lama lagi. Seloroh teman saya dari keluarga Mami Penang dulu, kalau sambut raya tanpa lagu Sharifah Aini, ibaratnya hari raya itu kurang meriah. Tersenyum sekejap saya mendengarnya kata-katanya itu.

Pentingnya lagu raya ini antara lain adalah bagi menyemarakkan kedatangan Syawal. Sebulan kita berpuasa maka tibalah hari yang disambut dengan penuh kegembiraan bernama Aidilfitri. Tua muda, miskin kaya semua meraikannya dalam kemampuan masing-masing.

Diperhatikan, telah menjadi budaya di Malaysia, orang kita beraya sampai sebulan sekalipun puasanya belum tentu cukup 30 hari.

Pelik juga, namanya ‘Hari Raya’ dan bukan ‘Bulan Raya’ tetapi pada sesetengah orang, raya itu adalah sebulan kerana ramai yang berpuasa enam. Puasa sunat itu boleh dibuat selama enam hari berturut-turut atau berselang-seli sepanjang Syawal dan kemudian berayalah lagi. 

Apapun, Ramadan dan Syawal menjadi bulan yang lebih afdal untuk kita membuat amalan baik kerana pahalanya dijanjikan berganda. Membuat pelbagai juadah lazat bagi menjamu tetamu serta saudara mara yang datang bertandang adalah antara kebaikan bagi mengeratkan silaturrahim. Paling penting, semua perlu memohon kemaafan.

Dan elemen inilah yang menjadi jus kepada sesebuah lagu raya. Ia tidak boleh lari jauh daripada kemaafan, keampunan, kunjung-mengunjung, juadah tradisi, perjalanan balik kampung, amalan sedekah duit raya serta semua yang melambai kerinduan kepada ahli keluarga tersayang.

Mengimbas lagu raya terawal yang pernah dirakamkan, salah satunya adalah ‘Selamat Hari Raya’ dendangan Aminah Hani atau nama komersialnya, Miss Aminah. Ia dirakamkan sekitar 1936 dan masih ada peminat lagu klasik yang menyimpan rakamannya dalam khazanah peribadi.

Dulu-dulu penyanyi Melayu wanita gemar mengguna pakai nama Miss, contohnya Miss Rubiah dan Miss Lina.

Antara senikata lagu Miss Aminah itu (karya Tengku Alibasha) menyebut, 

“Selamat Hari Raya sayalah ucapkan,

Kepada ibu bapa, saudara sekalian,

Kaumlah kerabat, hai handai dan taulan

Tualah dan muda, laki-laki perempuan.” 

Pun begitu saya tidak pernah pula mendengar mana-mana artis selepas itu yang membuat cover atau memberi nafas baru kepada lagu berkenaan. Mungkin ada tetapi tidak sepopular lagu Nona Asiah iaitu ‘Selamat Hari Raya’ yang kemudian diberi nafas baru oleh Saloma. Ia ciptaan Ahmad Jaafar.

Nona Asiah juga memiliki sebuah lagi raya berjudul ‘Aidilfitri’ ciptaan Zubir Said yang dinyanyikan secara berduet dengan Kamsani. Lagu itu kemudiannya dirakamkan semula oleh Sanisah Huri dengan susunan muzik dan lirik karya Kamali Hudi yang berbeza mengikut zaman.

Lirik asal lagu Nona Asiah dan Kamsani itu antaranya berbunyi: 

“Wahai Pak Long dan Mak Long orang budiman,

Serta pakcik dan makcik orang dermawan

Salah silap jangan jadi dendaman,

Sejak pada ini hari mohon dilupakan.”

Nona Asiah juga ada sebuah lagi lagu raya iaitu ‘Manusia Miskin Kaya’ ciptaan P. Ramlee dan Jamil Sulong. Ia turut menghiasi filem Siapa Salah arahan BN Rao lakonan P. Ramlee, Neng Yatimah dan Normadiah pada 1953.

P. Ramlee sendiri punya lagu raya yang sangat evergreen dan ia tidak lain daripada ‘Suara Takbir’ serta ‘Dendang Perantau’. Kemerduan serta kesayuannya begitu memanggil-manggil.

Menariknya, ‘Suara Takbir’ pernah dirakamkan semula oleh A. Ramlie dan DJ Dave – satu-satunya penyanyi bukan Melayu pertama yang mendapat perhatian peminat pada era 1970-an. Berikutnya pada 1980-an, barulah muncul duo bukan Melayu yang mendendangkan lagu raya iaitu Cenderawasih dan band Sweet September.

Boleh dikatakan lebaran kita tidak lengkap kalau tidak ada lagu Ahmad Jais, ‘Selamat Hari Raya.’ Dengar intro lagu itu sahaja, mood raya sudah meresap ke saluran darah kita. Genre sixties dalam lagu itu begitu terserlah baik dari susunan muzik hinggalah ke suara latar.

Jangan tidak tahu, lagu Ahmad Jais itu adalah ilham rasa P. Ramlee bersama Jamil Sulong. Patutlah aura evergreen lagu itu lain macam.

Saya juga amat menggemari sebuah lagi lagu - ‘Selamat Hari Raya’ ciptaan Kassim Masdor untuk Fazidah Joned pada 1966. Lebih menarik, itulah satu-satunya lagu bertemakan Aidilfitri ciptaan aktor legenda Jins Shamsuddin. Bayangkan dengan satu hit wonder lagu raya, orang terus mengenali Fazidah sampailah ke hari ini.

Lalu pernah saya pesan kepada artis generasi baru hari ini, kalau boleh rakamlah sekurang-kurangnya satu lagu hari raya yang benar-benar menarik, merdu dan catchy kerana kalau lagu itu sedap, ia akan diputarkan setiap tahun apabila tiba Ramadan dan Syawal. 

Bagi saya, kegemilangan lagu raya lebih terlihat pada era 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Melodi dan lirik lagu zaman itu lebih melekat.

Sampai hari ini saya masih menyimpan dan memutarkan album ‘Bergembira Di Hari Raya’ terbitan EMI pada 1977 yang menggabungkan, Hail Amir, Uji Rashid, Sharifah Aini dan DJ Dave.

Ia turut menyelitkan lagu Saloma, P. Ramlee, Rafeah Buang dan Ahmad Jais dan dialog lakonan mereka. Kalau dipasang LPnya pada turntable, memang saya akan layan habis.

Lagu-lagu dalam album itu termasuklah ‘Seloka Hari Raya’, ‘Doa Di Hari Mulia’, ‘Bila Takbir Bergema’, ‘Suasana Hari Raya’, ‘Menjelang Hari Raya’ dan ‘Hari Yang Mulia’. Album itu diterbitkan oleh maestro handalan Ahmad Nawab.

Pada era 1980-an, muncul lagu-lagu lebaran yang hit dendangan M Nasir iaitu ‘Satu Hari Di Hari Raya’, Ideal Sisters (‘Hari Raya Hari Bahagia’), Sudirman Haji Arshad (‘Dari Jauh Ku Pohon Maaf’), Anuar & Elina (‘Suasana Hari Raya’), Khadijah Ibrahim (‘Bingkisan Untuk Perwira’), Al Jawaher (‘Ku Pohon Restu Ayah Bonda’), Rahimah Rahim (‘Selamat Berhari Raya’), Azlina Aziz (‘Indahnya Beraya Di Desa’), Dayangku Intan (‘Senandung Hari Raya Untukmu’) dan banyak lagi.

Dekad seterusnya, 1990-an menyaksikan pula kemaraan Amy Mastura dengan (‘Setahun Sekali’), Siti Nurhaliza (‘Sesuci Lebaran’), Aishah (‘Pulanglah’), Jamal Abdillah (‘Salam Aidilfitri’) dan Ziana Zain & Awie (‘Halaman Asmara’). 

Di celah kemunculan bakat baru, ternyata kehebatan penyanyi senior seperti Sharifah Aini terus bertahan lagi pada dekad 1990-an.

Ini kerana beliau terserlah dengan sebuah lagu raya yang menjadi malar segar iaitu ‘Nostalgia Aidilfitri’ karya Pak Ngah. Lagu itu juga mula-mula menaikkan nama Pak Ngah sebagai  komposer lagu etnik handalan pada 1993.

Kini kita telah pun berada di zaman siber, zaman platform digital. Antara lagu raya terbaru mencuri perhatian saya adalah ‘Hari Raya’ oleh Najwa Latif, IamNeeta, Deanna Hussin & Mimie Haris, ‘Bersyukur Seadanya’ (Hael Husaini) serta ‘Pejam Celik Hari Raya’ (Iman Troye). 

Tertarik juga saya dengan MV band New Village Music Lab yang mengiringi dua penyanyi, A Rozaine yang seriras A Ramlie dan Ahmad Yassin (Ahmad Jais).

Semuanya masih baharu untuk digelar evergreen namun tidak mustahil sekiranya terus diputarkan saban tahun, lama-kelamaan lagu generasi baru juga akan menjadi malar hijau.

Seperti yang saya katakan tadi, lagu raya yang bagus adalah lagu yang mempunyai melodi yang menangkap dan ceritanya tidak lari daripada maksud perayaan itu sendiri. Elemen puasa, kemaafan, kemeriahan serta kerinduan terhadap orang yang telah lama berpisah pasti akan lebih pantas memikat pendengar.

Ia juga seharusnya menjadi lagu yang berkonsep sing-a-long atau mudah ‘dinyanyi’ kerana kalau sesebuah karya itu tidak mesra pendengar, mereka akan mudah memandang karya-karya lain.

Saya sedar sekalipun kita terpaksa menyambut Aidilfitri sekali lagi dalam keadaan berSOP dan dilarang keras untuk balik kampung, lagu-lagu raya yang dihafal selama ini tentang budaya bersalaman, ziarah berziarah masih lagi relevan untuk menyemarakkan kenangan lama dalam jiwa kita.

Tentu semua berharap agar wabak durjana ini hanyalah sementara dan pada tahun-tahun mendatang kita akan dapat merampas semula kebebasan kita sekali gus benar-benar menikmati lagu ‘Balik Kampung’ dan ‘Kepulangan Yang Dinanti’ menjelang Syawal.

Maaf Zahir Batin dari lubuk hati saya andai ada terguris rasa melalui tulisan dan susunan aksara di halaman ini. - Getaran, 14 Mei 2021.

Isu Pada

Kemilau Bintang Wany Hasrita

15 May 2021

Berita Berkaitan

1

Selebriti 5 hari yang lalu

Muatnaik Foto Raya Bersama, Netizen 'Approved' Syed Saddiq Dan Bella Astillah

2

Sukan 6 hari yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

3

Semasa 1 minggu yang lalu

Malaysia Kutuk Serangan Rejim Israel Ke Atas Gaza Ketika Aidilfitri 

4

Video & Galeri 1 minggu yang lalu

Sambut Raya Gaya Kampung Sungai Tiram

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah