Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Bibit-Bibit ‘Belagu’ Dayang Nurfaizah

Untuk keluaran kedua TARA, kami tampilkan Ratu R&B Melayu, Dayang Nurfaizah yang berkongsi tentang perjalanan seninya melangkau dua dekad. Istimewa lagi, Dayang juga bercerita mengenai buah tangan terbarunya iaitu album penuh 'Belagu' yang memaparkan lagu-lagu Melayu klasik

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 Feb 2021 8:50AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Nama Dayang Nurfaizah tidak perlu diperkenalkan lagi. Mendapat gelaran Ratu R&B Negara, kehebatan vokal dan identiti suara pemilik nama penuh Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini telah mengurniakannya pelbagai anugerah dan berjaya meletakkan dirinya sebaris dengan penyanyi-penyanyi papan atas negara sejak memulakan kerjaya nyanyiannya pada 1999.

Malah berkat pengalaman lebih dua dekad di industri muzik, penyanyi yang mesra dengan sapaan Dayang ini termasuk sekelompok kecil penyanyi wanita Malaysia yang masih mampu bertahan dan kekal relevan dalam arena seni suara tempatan sehingga berada di kemuncak kerjaya. Walau tidak ramai yang mampu melakukannya namun kata Dayang dia bersyukur atas rezeki tersebut.

“Dayang sangat bersyukur atas semua pemberian ini. Saya rasa minat serta cinta pada dunia nyanyian inilah yang membantu saya untuk terus berada di sini. Selain itu saya juga memberanikan diri untuk selalu mencuba sesuatu yang baru demi memenuhi kehendak peminat, sesuai dengan peredaran zaman. Sokongan peminat jugalah menjadi motivasi untuk saya terus berikan yang terbaik dalam berkarya,” jelas Dayang.

Selain itu, penyanyi jelita berkulit hitam manis ini juga tersenarai sebagai salah seorang selebriti Malaysia yang bersih daripada palitan kontroversi. Namun dirinya menegaskan bahawa beliau tiada rahsia atau formula untuk mengekalkan status bebas-kontroversi tersebut.

“Mungkin kerana Dayang benar-benar fokus kepada kerjaya Dayang. Lagipun Dayang hanya berkongsi tentang kerja Dayang sahaja dan peminat boleh menerima semua itu,” tambahnya lagi.

15 tahun berlalu sejak album kontemporari klasiknya, Kasih (2005), tahun ini Dayang sekali lagi membuktikan cintanya terhadap lagu-lagu klasik menerusi album kesembilan, Belagu. Bagi Dayang, dia menganggap album ini sebagai satu projek khas untuk berkongsi interpretasinya dalam mengidungkan lagu klasik Melayu. Sungguhpun begitu jarang sekali penyanyi masa kini yang tampil dengan album penuh, namun Dayang punya alasan tersendiri.

Katanya, “Saya datang dari era penyanyi yang tampil dengan album penuh, dan sampai sekarang saya rasa tidak lengkap kalau tiada buah tangan baru dalam bentuk full album.” 

Dengan terbitnya Belagu, Dayang menganggap ia antara mimpi-mimpinya yang menjadi kenyataan, “Setiap orang ada impian dan menghasilkan album klasik seperti ini antara hasrat yang sudah lama terpendam dan berada dalam senarai angan-angan Dayang,” terangnya.

Dayang turut menganggap album ini sebagai satu cara baginya memperkenalkan kembali lagu klasik Melayu kepada generasi muda. Pada masa sama untuk semua rakyat Malaysia supaya mendengar kembali dan menghayati keindahan seni lagu-lagu klasik Melayu ini.

“Apa yang saya suka tentang lagu-lagu Melayu klasik adalah melodi dan juga bait liriknya nan cukup indah. Lirik-lirik lagu lama sangat cantik. Ia juga adalah gambaran bagaimana orang kita dulu berbahasa, penuh dengan santun dan kiasannya. Sarat dengan kelembutan. Kisah dalam lagu klasik juga, biar sudah berdekad-dekad usianya namun mesejnya kekal relevan hingga ke hari ini,” jelas Dayang lagi. 

“Apa yang saya suka tentang lagu-lagu Melayu klasik ialah melodi dan juga bait liriknya nan cukup indah” – Dayang Nurfaizah

Album yang terkandung lapan buah lagu Melayu lama yang dihembus nafas baru ini, bolehlah dinobatkan sebagai naskhah yang cukup peribadi buat penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang ini, malah judul Belagu itu sendiri adalah ilham daripada Dayang sendiri.

“Pihak produksi bertanya dan meminta pendapat saya tentang nama untuk album ini. Saya terus terfikirkan, Belagu. Ia adalah perkataan yang diambil dari dialek Melayu Sarawak yang membawa maksud ‘menyanyi’. Belagu adalah menyanyi,” jelasnya.

Belagu itu ringkas namun cukup sempurna menterjemah dan menceritakan tentang alunan suara Dayang dalam melengkapkan album ini. Belagu adalah satu penghormatan juga penghargaan kepada lagu-lagu klasik Melayu.

“Belagu adalah menyanyi” – Dayang Nurfaizah

Dalam merealisasikan visinya untuk album ini pula, Dayang mendapatkan sentuhan magis Aubrey Suwito. Kolaborasi Dayang bersama Aubrey sudah berputik semenjak album keduanya menerusi lagu ‘Sedingin Mana Cintamu’. Kerjasama itu disambung pada 2017 menerusi ‘Layarlah Kembali’ dan keserasian itu diteruskan menerusi Belagu.

Tambah Dayang, “Pada 2017 semasa di majlis penutup Sukan SEA, saya mempersembahkan lagu ‘Tudung Periuk’ dan ketika itu Aubrey Suwito adalah pengarah muziknya. Dari situlah, tercetusnya idea untuk memilih Aubrey untuk menyusun dan menerbitkan album ini,” ujar Dayang yang percaya dia telah membuat pilihan tepat. 

Berbanding dengan album Kasih yang lebih dianggap sebagai eksperimentasi pada susunan muzik dan juga lontaran vokal, Belagu pula sebaliknya. Untuk Belagu, Dayang dan Aubrey tak mahu membuat gubahan muzik keterlaluan yang mungkin merubah keaslian lagu asal. 

Belagu pula dilihat sebagai interpretasi saya dalam menyuntik kesegaran pada lagu-lagu malar segar. Saya hanya mahu ‘memercikkan’ perisa kepada lagu yang sudah serba cukup rasanya,” senyum Dayang. 

Hajat Dayang Nufaizah dan Aubrey Suwito hanya mahu menambah jiwa pada lagu-lagu klasik Melayu ini menggunakan teknologi hari ini. Ditambah pula dengan tajuknya yang ringkas-- Belagu. Begitulah tercetusnya idea untuk Dayang Nurfaizah mendendangkan kelapan-lapan lagu lama ini menerusi bentuk rakaman langsung (live)!

 

Rakaman Langsung ‘Belagu’ – Gurindam Jiwa dengan Hael Husaini 

Keistimewaan pada Belagu tidak hanya pada susunan muziknya, malah juga pada proses rakamannya. Dayang sendiri mahu mengalami bagaimana perasaannya merakamkan lagu dengan iringan muzik secara langsung. Persembahan ala old Hollywood ini menjadi asas idea untuk Belagu.

“Saya mahu menyanyi seperti orang lama. Mahu menangkap intipati dan emosi sesebuah lagu tersebut. Saya mahu ‘membawa’ studio rakaman ke ruang yang lebih besar dan tak mahu menyanyikannya lebih daripada tiga kali  kerana jika saya nyanyikan lebih daripada itu, mood dan nilai penyampaian lagunya akan hilang.”

“Saya mahu mood lagu yang dipersembahkan bakal mengalir bagaikan air agar emosi penyampaiannya sampai kepada yang mendengar. Saya cuba menghidupkan semula cara orang-orang dahulu merakamkan lagu, yakni ditemani pemuzik-pemuzik secara langsung,” jelas Dayang sambil tersenyum lebar. 

“Saya mahu menyanyi seperti orang lama” – Dayang Nurfaizah

Mengikut pengalamannya merakamkan lagu-lagu di studio sebelum ini, lazimnya Dayang akan menyanyikan beberapa rangkap lagu secara berulang-ulang. Sehingga ia sempurna menjadi sebuah lagu. Tetapi tidak untuk Belagu. Kami merasakan album ini cukup istimewa! 

Menurut Dayang lagi,  persiapan vokalnya untuk mendendangkan lagu-lagu di dalam album ini juga satu pengalaman menarik buatnya, “Saya sendiri bukanlah penyanyi lagu asli, jadi saya ambil masa untuk mahir dan mesra dengan lenggok lagu-lagu asli.”

“Walaupun nyanyian saya tidak seperti nyanyian asal tapi sebolehnya saya tidak mahu menghilangkan terus keaslian lagu-lagu ini,” jelasnya. 

“Gurindam Jiwa terlalu romantis untuk saya...” – Dayang Nurfaizah

Di sisi lain, Belagu turut mendampingkan suara Dayang Nurfaizah bersama Hael Husaini. Berbicara tentang pemilihan penyanyi dan komposer itu sebagai rakan duetnya, Dayang menganggap kolaborasinya bersama Hael Husaini terletak pada keserasian mereka berdua, sejak kerjasama sulung mereka menerusi lagu ‘Haram’, tiga tahun lalu.

“Hael rakan duet yang serasi. Bagi saya, ‘Gurindam Jiwa’ terlalu romantis untuk saya sampaikan secara solo, jadi saya membuat keputusan untuk mengundang Hael. Dan dia sendiri dengan sukarela mahu belajar kerana lagu ini luar forte dirinya,” jelas Dayang. 

Hasratnya hanya satu. Dayang mahu generasi muda menghargai lagu-lagu klasik. Dan diharapkan melalui pemilihan Hael Husaini, dapatlah Belagu melebarkan pengaruh dan menanam minat dalam kalangan generasi muda. Golongan lama dan baru boleh bersama-sama mendengar dan menikmati lagu-lagu klasik yang tersemat indah dalam Belagu

“Saya harap semua orang akan menghargai Belagu dan menerima mesej yang mahu disampaikan. Saya mahu semua pendengar khususnya generasi muda mengenali, lantas menghargai khazanah lagu-lagu klasik Melayu kita.”

“Jika kita sendiri tidak mengangkat seni warisan ini, lambat-laun ia akan berkubur begitu sahaja. Saya anggap penghasilan Belagu bukan saja sebagai satu penghargaan kepada orang-orang lama, tapi juga sebagai satu tanggungjawab saya sebagai anak seni,” bingkasnya dengan penuh gemalai.

 

Perancangan seterusnya

Dayang juga sempat memberitahu bahawa sambil mempromosikan album terbarunya nanti, dirinya juga sibuk mencari bahan untuk karya yang akan datang. Namun tika ini, dia sangat fokus kepada buah tangan terbarunya ini.

Apatah lagi Malaysia masih berada di fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi Dayang mengambil juga peluang untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

“Sepanjang PKP saya banyak menghabiskan masa bersama anak saudara saya selain belajar memasak beberapa resepi baharu. Namun perkara terbaharu yang saya belajar sewaktu PKP ini adalah cara-cara merakamkan vokal sendiri!

Memang susah. Selepas dua puluh tahun bergelar penyanyi baru Dayang tahu betapa sukarnya hendak merakamkan vokal sendiri di rumah. Tapi itulah pengalaman dan bukti bahawa banyak juga yang positif Dayang pelajari semasa berkurung di rumah,” katanya sambil ketawa. 

Sebelum mengakhiri bicara kami sempat bertanya apakah nasihatnya untuk bakat-bakat baru yang ingin menceburi bidang nyanyian.

“Menyanyi memang kelihatan seronok dan penuh glamor dari luar tetapi dari dalam ia sebenarnya satu kerjaya yang agak sukar. Kalau hendak menceburi bidang ini, mental dan fizikal harus kuat. Apatah lagi di zaman media sosial sekarang, jiwa dan perasaan harus kental. Niat juga haruslah betul dan lakukan kerja dengan ikhlas.

"Seorang penyanyi senior pernah berpesan kepada saya, "Singing is not about showing, it is about sharing," dan saya berpegang kepada kata-kata tersebut sampai sekarang!” akhir Dayang menutup bicara.

Yang pasti bintang Dayang Nurfaizah nampaknya bakal terus bersinar, tanpa sebarang tanda kemalapan. – Getaran, 6 Februari 2021

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Wajah TARA : Dayang Nurfaizah

Editor GETARAN.MY : M.Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks : Zaidi Che & Shah Shamshiri

Suntingan : Ili Farhana

Busana : Milik Dayang Nurfaizah

Aksesori : Milik Dayang Nurfaizah

Solekan: Dayang Nurfaizah

Jurugambar : Azim Rahman

Rekaletak : Hanif Zahari

Isu Pada

Dayang Nurfaizah

06 Feb 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 19 jam yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

2

Sukan 1 hari yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

3

Semasa 4 hari yang lalu

Malaysia Hantar 100 Kontena Bantuan Ke Gaza

4

Sukan 6 hari yang lalu

Oman Beri Harimau Malaya Kekalahan Pertama

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok