Amalan memberi duit raya adalah perkara yang sinonim menjelang Aidilfitri dan detik ini pasti ditunggu-tunggu oleh golongan kanak-kanak yang menerimanya. Bukan itu sahaja, terdapat juga sesetengah golongan dewasa dan warga emas yang mendapat duit hasil pemberian dan sedekah daripada pihak tertentu.
Penulis mendapati pada zaman ini terdapat pelbagai cara untuk memberi duit raya dan ia tidak tertumpu kepada pemberian duit raya menggunakan sampul duit raya semata-mata . Kenali tiga cara untuk memberikan duit raya yang mungkin anda boleh cuba!
Sampul raya

Sampul raya adalah kertas yang direka dan dibentuk dengan pelbagai lukisan menarik untuk mengisi wang. Tradisi menggunakan sampul raya ini masih dilihat sebagai kaedah utama dan kebiasaanya ia berbentuk segi empat sama dan segi empat tepat.
Kini sampul raya bukan sahaja dikeluarkan dengan rekaan yang eksklusif, malah ia dijual di merata-rata tempat bagi menarik pelanggan untuk membelinya mengikut citarasa masing-masing.
Bahkan, terdapat sampul yang direka khas berdasarkan karya seni warisan budaya Malaysia misalnya sampul yang dibuat oleh Loka Made. Ia memaparkan nilai-nilai budaya yang sangat penting bagi masyarakat Malaysia serta membangkitkan semangat kebersamaan dalam hati masyarakat setempat.
Sebuku Wang Kertas
Terdapat segelintir individu yang tidak gemar memberi duit raya menggunakan sampul kerana mungkin proses memasukkan duit ke dalam sampul itu dianggap sebagai sesuatu yang merenyahkan untuk dilakukan.
Pada sambutan Aidilfitri baru-baru ini, penulis mendapati beberapa individu telah menggunakan kaedah memegang sebuku wang kertas sebagai cara untuk memberi duit raya. Mereka mengeluarkan serta memegang sebuku wang kertas bernilai RM1, RM5 dan RM10 dan ia kemudian diagihkan atau berikan secara terus kepada kanak-kanak.
Mungkin nampak mudah tetapi anda perlu berhati-hati dan ingat kerana cara ini agak berisiko kerana ia secara tidak langsung mampu mendedahkan jumlah wang yang ada pada anda.
Duit Raya Digital
.jpg)
Memandangkan dunia semakin maju, pemberian duit raya kini dilakukan dengan cara yang lebih mudah iaitu menerusi teknologi digital.
Kini, segalanya berada di hujung jari dan terdapat pelbagai aplikasi mudah alih yang boleh digunakan untuk anda memberi duit raya.
Misalnya, dengan menggunakan pengimbas QR yang hampir ada di semua aplikasi perbankan atau cara lain ialah adalah penggunaan aplikasi e-wallet.
Jika anda mahu mengetahui lebih lanjut tentang aplikasi duit raya yang lain, klik pautan ini untuk mengimbas kembali artikel yang pernah dikongsikan oleh penulis tentang duit raya digital pada tahun lepas. - Getaran, 30 April 2023