Dunia telefon pintar sejak dua bulan lepas dilihat sedang berada di waktu kemuncak berikutan pelbagai jenama peranti ini berlumba-lumba melancarkan model terbaharu mereka bagi menarik minat dan memenuhi permintaan pelanggan.
Tidak hairanlah apabila telefon pintar jenama Samsung turut melancarkan dua lagi model terbaharunya iaitu Galaxy A54 5G dan Galaxy A34 5G.
Ini merupakan tambahan terkini bagi siri Galaxy A dalam meningkatkan lagi teknologi dan barisan kategori unit tersebut.

Dengan harga bermula RM1,899, penulis kali ini berkongsi pengalaman menggunakan Galaxy A54 dahulu yang telah digunakan selama seminggu dan mari lihat apakah spesifikasi yang ditawarkan pada model Samsung kali ini.
Model ini memiliki berat sehingga 202g dan mempunyai saiz yang berukuran 158.2 x 76.7 x 8.2 mm. Ia direka dalam bentuk segi empat tepat dan telefon ini boleh dikatakan sedikit besar dan berat apabila menggenggamnya.
Selain itu, mempunyai saiz skrin berukuran 6.4 inci Super AMOLED dengan sistem sentuh layar pada kadar segar semula sehingga 120Hz. Jadi, bahagian komponen ini sahaja sudah berada ditahap gred yang bagus untuk sebuah telefon pintar.
Selain itu, model ini menggunakan cipset Exynos 1380 dan dilengkapi dengan sistem keselamatan Samsung Knox. Jadi ia masih mempunyai keupayaan untuk memuat turun pelbagai jenis permainan dalam talian.
Namun ketika penulis menstrim sebuah online game iaitu PUBG dalam tempoh hampir satu jam, di bahagian belakang badan peranti, penulis mendapati ia sedikit panas lalu berhenti seketika untuk merehatkan peranti tersebut.
Jadi di sini, model ini boleh dikatakan tidak beberapa sesuai untuk pengguna yang tegar menstrim permainan dalam talian kerana golongan ini pasti menggunakan telefon pintar untuk bermain online game untuk tempoh masa yang lama.
Selain itu, Galaxy A54 pastinya menggunakan sistem rangkaian 5G memandangkan kini hampir semua jenis telefon pintar menggunakan talian tersebut termasuklah teknologi android 13 yang dipasangkan pada model ini.

Beralih pula kepada bahagian kamera, kehebatan yang ada pada prestasi lensanya berada di tahap yang sederhana baik dan sesuai untuk digunakan oleh golongan pemula atau pertengahan.
Resolusi yang ada pada kamera utama di bahagian belakang peranti ialah 50MP, 12MP bagi mod ultra lebar dan 5MP untuk mod makro.
Manakala bagi swafoto pula mempunyai resolusi sebanyak 32MP manakala rakaman pada bahagian video boleh sehingga paparan 4K.
Namun, model ini mempunyai keupayaan teknologi Nightography dan AI terkemuka yang menawarkan imej menakjubkan dengan kualiti gambar yang cemerlang walaupun dalam keadaan pencahayaan yang terlampau terang. Pasti hasilnya tidak mengecewakan anda.

Malah, ia turut dipasangkan bateri jenis Li-Po dengan kapasiti kuasa sebanyak 5000mAh dan mempunyai sistem pengecas segera dengan aliran elektrik sebanyak 25W.
Ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua jam untuk bateri telefon pintar ini penuh semula dan diingatkan bahawa model ini tiada sistem pengecasan tanpa wayar.
Dengan menawarkan storan 128GB+ 6RAM 128GB+ 8RAM dan 256GB+ 8 RAM, Samsung Galaxy A54 menawarkan empat pilihan warna iaitu Awesome Lime, Awesome Graphite, Awesome Violet dan Awesome White.
Kesimpulannya, secara keseluruhan prestasi Samsung Galaxy A54 ini boleh dikatakan berada di tahap baik bagi kategori pertengahan dengan spesifikasi takat mencukupi seiring dengan harga ditawarkan dan berbaloi untuk dimiliki.
Jadi nantikan ulasan seterusnya tentang Galaxy A34 5G yang dilancarkan pada waktu yang sama dengan Galaxy A54 5G dalam masa yang terdekat ini. - Getaran, 23 April 2023