Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Raya Tetap Raya, Tapi Di Mana?

Tak boleh balik kampung? Apa kata cuba beraya di hotel pula tahun ini.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 02 May 2021 11:30AM

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sebaik sahaja Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan rentas negeri masih tidak dibenarkan sehingga raya ini, ramai yang berasa sedih dan kecewa. 

Penantian setahun nampaknya tidak berpenghujung kerana COVID-19 masih ‘bersahabat baik’ dengan komuniti di dalam negara.

Bagi yang kampung halamannya masih di dalam negeri yang sama, mungkin anda masih mampu tersenyum kerana perjalanan merentas daerah masih dibenarkan. 

Bagaimana dengan warga kota yang kampungnya nun jauh di utara, timur, barat dan selatan? Hanya satu kata yang mampu diungkapkan ketika ini – bersabarlah. Mungkin ada hikmah atau kemanisan yang Allah mahu berikan kepada hamba-hamba-Nya selepas ini.

Cubalah cipta kegembiraan tersendiri di Hari Raya nanti. Lari daripada kebiasaan, lakar memori untuk dikenang di masa hadapan nanti. 

Tahun ini apa kata anda sambut lebaran di hotel? Mungkin idea ini kedengaran merepek, tapi apa salahnya? 

Boleh ber’OOTD’ di bilik dan persekitaran hotel, berehat dengan keluarga sambil menyaksikan program-program raya yang menarik di televisyen serta menikmati hidangan raya yang semestinya ada disediakan oleh pihak hotel. 

Bagaimana pula dengan solat sunat Aidilfitri? Di sinilah anda harus bijak merencana, mungkin boleh pilih hotel yang lokasinya berhampiran dengan masjid. Jika bimbang tidak mendapat ruang kerana bukan ahli kariah, lebih baik daftar masuk ke hotel selepas selesai semuanya. 

Baiklah, berikut senarai hotel atau penginapan yang boleh anda jadikan pilihan. Hotel-hotel ini ada yang terletak berhampiran masjid, ada yang sesuai untuk seisi keluarga dan ada juga yang mempunyai promosi raya menarik.

 

1) Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel and Residences Hotel

Hotel dan residensi bertaraf lima bintang ini menyediakan pelbagai jenis penginapan yang sesuai untuk tetamu solo sehinggalah yang berkeluarga ramai. Terdapat 11 jenis penginapan kesemua, dan ini termasuklah Premium Deluxe Room, Executive Club Room, Executive Suite, 2 Bedroom Residence dan 2 Bedroom Family Residence.

Setiap bilik dan suite yang baru dinaik taraf  bersaiz luas dan memiliki pemandangan indah bandaraya Kuala Lumpur. Malah, sesetengah daripadanya berhadapan dengan Menara Petronas serta dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden dan kemudahan internet. 

Terdapat beberapa promosi raya menarik jika anda menginap di sini, pertama anda boleh ambil pakej Family Staycation di mana anda punya pilihan untuk menginap di Family Room, 2 Bedroom Residence atau 1 Bedroom Residence dengan harga RM549 bersih untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak yang berumur 8 tahun ke bawah.

Dengan pakej ini anda sekeluarga boleh menginap semalaman di bilik yang dilengkapi khemah comel untuk si kecil, sarapan pagi dan Bufet Hi-Tea Raya di Sedap Restaurant, daftar masuk seawal jam 11 pagi daftar keluar pada jam 5 petang, serta banyak lagi kelebihan lain.  

Selain itu anda juga boleh memesan ‘Bakul Raya’ yang berharga dari RM30 untuk dinikmati bersama keluarga di bilik dari jam 11 pagi hingga jam 8.00 malam. ‘Bakul Raya’ ini terdiri daripada tujuh pilihan menu seperti kuih-muih tradisional, ayam panggang, sate, gorengan dan juga beberapa pilihan kek. 

Jika anda tidak mahu bermalam di sini, boleh juga membawa keluarga atau rakan-rakan serumah menikmati Bufet Hi-Tea Raya yang tersedia hanya pada 13 dan 14 Mei 2021. Hi-Tea yang berharga RM128 bersih untuk dewasa dan RM64 untuk kanak-kanak ini menyediakan pelbagai pilihan menu tradisional, citarasa Jepun dan makanan barat yang membuka selera.

Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari laman sesawang hotel ini. 

 

2) Dorsett Putrajaya 

Bagi yang tinggal berhampiran Putrajaya, mungkin anda boleh pertimbangkan Hotel Dorsett Putrajaya sebagai lokasi penginapan. Terletak di Precint 3, hotel ini menjanjikan penginapan selesa dengan dekorasi moden untuk  218 buah bilik. Bahkan kemudahan yang tersedia juga bertaraf lima bintang demi keselesaan tetamu. Satu ciri utama Dorsett Putrajaya yang tidak dapat dinafikan ialah kedudukan lokasinya. 

Pertama, ia menghadap Tasik Putrajaya yang menawarkan pemandangan indah terutamanya pada waktu matahari terbenam. Kedua, ia juga berdekatan dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi.) Jadi mudahlah untuk anda menunaikan sunat Aidilfitri di pagi raya nanti. 

Terdapat lima jenis penginapan yang boleh dijadikan pilihan iaitu Dorsett Room, Deluxe Room, Deluxe Balcony Room, Deluxe Garden dan Studio.

Jika mahu menyaksikan matahari terbenam sambil menikmati secawan kopi di bilik, bolehlah menempah Deluxe Room, Deluxe Balcony Room atau Studio yang menghadap ke Tasik Putrajaya. Bagaimanapun, perlu cepat buat tempahan kerana bilik-bilik ini sering menjadi rebutan.

Tiada pakej istimewa Syawal yang ditawarkan oleh hotel ini. Namun anda boleh menikmati promosi 26-hour Full Stay (#Dorsett26hours). Ini bermakna anda layak menginap sehingga 26 jam dan tidak perlu mengikut polisi daftar masuk dan daftar keluar yang biasanya ditetapkan oleh pihak hotel. 

Sebaliknya waktu daftar masuk dan daftar keluar adalah fleksibel. Dengan kata lain, ia terpulang kepada anda. Contohnya, jika jika anda memilih untuk daftar masuk pada jam 8.00 malam, anda boleh daftar keluar pada jam 10 malam keesokan hari. Menarik bukan? 

Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi talian 03- 8892 8388 atau emailkan pertanyaan ke [email protected]  

 

3) Traders Hotel, Kuala Lumpur

Hotel yang terletak berhampiran mercu tanda Kuala Lumpur, KLCC ini juga berbaloi untuk disinggahi. Bayangkan anda sekeluarga mengambil gambar berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas. Sudah pasti ada yang mencemburi apabila melihat foto-foto yang dirakam ‘segak-segak’ belaka. 

Selain menjanjikan pemandangan menarik, Traders Hotel juga terletak berhampiran Masjid Asy-Syakirin, KLCC. Dengan jarak kira-kira 2 kilometer, masa memandu hanya kira-kira enam minit. Jadi mudahlah anda merancang perjalanan ke masjid. Jangan lupa periksa terlebih dahulu bagaimana proses untuk menunaikan solat di masjid ini.

Terdapat dua pilihan paling ideal jika anda ingin beraya di sini. Pertama anda boleh pilih pakej Traders Staycation yang berharga dari RM320 semalam. Dengan pakej ini anda layak mendapat sarapan untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak, parkir percuma untuk dua buah kenderaan, RM50 kredit makanan dan minuman dan beberapa kelebihan lain. 

Tawaran kedua yang berbaloi untuk anda seisi keluarga ialah Family Experience at Traders yang berharga daripada RM640 semalam. Pakej ini menawarkan pengalaman percutian di suite mesra kanak-kanak, sesuai untuk dua dewasa dan tiga kanak-kanak. Paling menarik ada katil dua tingkat untuk anak-anak melalui pengalaman menyeronokkan. 

Untuk maklumat lanjut mengenai kedua-dua promosi ini anda boleh periksa di sini.

 

4) Hotel Majestic Kuala Lumpur

Berhari raya di Hotel Majestic Kuala Lumpur pasti memberi pengalaman yang unik dan menarik. Apa tidaknya hotel yang diwartakan sebagai tapak warisan negara ini bakal membawa anda merentasi masa ke zaman kolonial. 

Lipat dan susun elok-elok baju raya anda di dalam beg, kerana sesi fotografi di hotel ini tidak boleh dilepaskan sama sekali. Jika ada pakaian yang ‘betul-betul tradisional’ (kurung pesak, kebaya nyonya, baju melayu, sampin songket) lebih bagus. Banyak sudut-sudut menarik yang boleh diabadikan sebagai kenangan.

Pada sebelah malam, bawa seisi keluarga menjamu selera di restoran Contango yang terletak berhampiran lobi hotel. Ada promosi makan malam yang boleh dinikmati sehingga 15 Mei 2021 di mana ia membariskan ratusan resipi Melayu klasik dari seluruh Malaysia untuk santapan sekeluarga. Selain itu, terdapat juga masakan dari Jepun hinggalah ke western grill dan Itali.

Anda boleh pilih untuk menginap di Majestic Wing atau di Tower Wing. Sayap Majestic adalah bangunan hotel bersejarah yang asal dan ia menempatkan 47 suite mewah yang kaya dengan elemen sejarah. Biarpun vintaj, kesemua suite dilengkapi dengan perabot moden yang menarik, gabungan masa lalu dan masa kini yang cukup sempurna. 

Tower Wing pula menempatkan 253 bilik dan suite yang memiliki nuansa yang lebih kontemporari. Dilengkapi dengan perabot moden, permaidani mewah dan tempat tidur empat tiang yang elegan. Kategori bilik merangkumi Deluxe Room, Junior Suite, Grand Suite dan Premier Suite.

Ketika ini terdapat beberapa promosi menarik untuk direbut, di mana harga bilik berharga serendah RM288++ semalam dengan pelbagai tawaran menarik. Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang hotel ini. Oh ya, Masjid Negara terletak hanya beberapa meter dari hotel. Anda boleh berjalan kaki sahaja untuk ke sana!

 Jom rancang sambutan hari raya yang penuh gaya! Janganlah berduka di hari yang mulia! – Getaran, 2 Mei 2021

Semua gambar: Laman web setiap hotel


 

Isu Pada

Membelah Suara Uyaina Arshad

01 May 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Semasa 2 minggu yang lalu

Malaysia Kutuk Serangan Rejim Israel Ke Atas Gaza Ketika Aidilfitri 

3

Video & Galeri 2 minggu yang lalu

Sambut Raya Gaya Kampung Sungai Tiram

4

Semasa 2 minggu yang lalu

Aliran Trafik Mula Perlahan Di Beberapa Lebuh Raya Utama

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi