Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Munif Hijjaz Tekad Teruskan Perjuangan Nasyid

Dengan moto 'Hiburan Mendidik Jiwa', Munif Hijjaz cekal berkarya dalam dunia nasyid tempatan.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 02 May 2021 9:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Munif Hijjaz bukan satu nama asing dalam industri nasyid. Merupakan vokal utama kumpulan Hijjaz yang menjadi antara artis nasyid terawal menceburkan diri dalam industri hiburan arus perdana seiring dengan Raihan dan Rabbani pada penghujung 90-an, mereka telah membuktikan irama dakwah dan ketuhanan mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Sejak itu, irama nasyid terus menjadi malar segar dan bait-bait liriknya tetap tersemat di hati para pendengarnya.

Bersama kumpulan Hiijaz melalui syarikat Hijjaz Music Entertainment pada awal tahun 2000, mereka berjaya melahirkan generasi pelapis nasyid yang juga tidak kurang hebatnya.

Sebut sahaja kumpulan Inteam, UNIC dan Mestica. Semuanya berjaya membina asas yang kukuh dalam industri hasil air tangan Hijjaz yang membentuk mereka. Sesuatu yang belum dapat ditandingi oleh kumpulan-kumpulan nasyid lain walaupun ada usaha ke arah itu.

Seiring dengan perubahan masa, era kegemilangan dan fenomena yang pernah dicetuskan irama nasyid mula menampakkan trend penurunan seawal lewat tahun 2006.

Biarpun penghasilan album dan single baharu masih lagi berjalan, namun ia tidak lagi semeriah dulu. Ditambah dengan memasuki zaman yang serba-serbinya adalah digital, penjualan album tidak lagi dilihat relevan dan masing-masing perlu berinovasi untuk kekal berada dalam industri.

Buat Munif Hijjaz atau nama sebenarnya Munif Ahmad, 47, bakat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepadanya dalam menyampaikan lagu-lagu dakwah dan ketuhanan tidak wajar untuk disia-siakan.

Sebagai individu yang sudah mula menyanyi seawal usia 13 tahun bersama-sama kumpulan nasyid legenda Nada Murni, sayang jika kebolehan dan pengalaman yang dimiliki dibiarkan tersimpan begitu sahaja. Justeru, beliau nekad untuk kembali bangkit dengan memperbanyakkan lagi karya nasyid solo di bawah jenama Munif Hijjaz.

Selain aktif menyanyi, Munif juga beralih arah dengan menceburi bidang perniagaan di bawah jenamanya sendiri iaitu Munif Hijjaz Marketing Sdn Bhd yang aktif sehingga kini dengan memasarkan produk seperti kopi, makanan tambahan, kurma dan banyak lagi.

Namun oleh kerana jiwanya yang sejak kecil sudah sebati dengan bidang nyanyian, maka sayang rasanya untuk meninggalkan apa yang telah dilakukannya selama ini begitu sahaja.

Tanpa meninggalkan kumpulan Hijjaz yang kini juga masih aktif berkarya, Munif berkata yang aktiviti solonya ini sekadar untuk mengisi ruang masa yang ada. Dengan anggota yang lain yang terikat dengan komitmen masing-masing, barangkali hanya satu atau dua karya sahaja dapat dihasilkan setiap tahun.

Berbeza jika bergerak sendirian, masa senggang yang ada mampu dimanfaatkan dengan penghasilkan lagu-lagu baharu dan dapat mencipta content yang segar untuk peminat melalui pelbagai platform digital yang ada hari ini seperti YouTube.

“Sebenarnya saya telah menyanyi secara solo sejak bersama Hijjaz Record lagi. Melalui siri album Penawar Hati, beberapa lagu solo Munif Hijjaz pernah dihasilkan seperti 'Nur Tuhan.' Diikuti dengan karya lain seperti 'Bidadari' dan 'Ku Pinta' melalui syarikat rakaman saya iaitu MH Pro,” ujarnya.

Atas sebab-sebab tertentu, syarikat Hiijaz Records dan MH Pro terpaksa ditutup beberapa tahun lalu menyebabkan kurangnya penghasilan karya-karya baharu. Jika ada sekali pun, ia adalah di bawah label syarikat rakaman lain dan hak cipta lagu tersebut dipegang oleh syarikat tersebut.

Justeru katanya, satu langkah berani perlu dilakukan. Dengan usia yang semakin meningkat, beliau ingin melihat sesuatu karya itu kekal menjadi miliknya dan dapat didengari oleh para peminat nasyid pelbagai generasi.

Dari situlah timbulnya idea penubuhan saluran YouTube Munif Hijjaz Channel dan hasil bantuan serta tunjuk ajar daripada rakan artis seperti Amar, strategi seterusnya telah diatur untuk memperbanyakkan kandungan di dalam saluran itu tanpa mengenepikan kualiti penerbitan lagu seperti yang pernah dilakukan sebelum itu.

Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada Mac 2020 menjadi pembuka jalan kepada segalanya. Oleh kerana banyak masa lapang sepanjang berada di rumah, Munif enggan duduk diam tanpa berbuat apa-apa.

Daripada masa terbazir begitu sahaja, alangkah baiknya jika ia diisi dengan sesuatu yang lebih produktif. Justeru, beberapa peralatan untuk rakaman audio dan video diperoleh dan terus merakam lagu baharu dengan muzik lebih segar bagi kandungan YouTubenya.

Jika sebelum itu, kandungan YouTube Munif Hijjaz hanya diisi dengan lagu-lagu rakan artis lain yang dinyanyikan semula.

Namun Munif beranggapan kandungan sebegitu tidak boleh pergi jauh dan bertahan lama. Tambahan pula ia terkait dengan isu hakcipta muzik asal dan sebagainya. Jadi lebih baik beliau hasilkan lagu sendiri dengan susunan muzik yang lebih segar bagi menarik peminat nasyid kembali tertarik untuk mengikuti irama ini.

Percubaan pertamanya bermula pada September tahun lalu. Menampilkan lagu ciptaannya 'Sumayyah' yang sehingga kini masih lagi diminati, Munif dengan berani menyanyikan semula lagu ini tetapi dalam versi bahasa Arab dengan susunan muzik baharu.

Malah rakaman juga hanya dilakukan di rumah manakala video muziknya pula dirakam sendiri hanya dengan menggunakan telefon bimbit.

Berhari-hari juga masa diambil hanya untuk menyunting video tersebut menggunakan telefon bimbitnya itu. Namun ia ternyata amat berbaloi di mana lagu itu kini telah mencecah lebih 120,000 jumlah tontonan di YouTube sejak ia dilancarkan 7 bulan yang lalu.

Atas maklum balas positif dan sokongan daripada rakan serta peminat, Munif tidak menoleh ke belakang lagi. Beberapa lagu lama diberi suntikan baharu yang lebih segar seperti 'Selimut Putih' dan 'Kau Guru Murabbi Sejati.' Ternyata ia juga menampakkan hasil  di mana lagu-lagu klasik ini turut mendapat jumlah tontonan yang memberangsangkan sehingga mencecah hampir 300,000 tontonan.

“Peminat hari ini mungkin tak berpeluang untuk mendengar lagu-lagu ini dulu. Yalah, ada antara mereka yang belum lahir lagi semasa lagu tersebut dihasilkan.

“Jadi apa salahnya kita nyanyikan semula untuk menggamit kembali nostalgia peminat-peminat generasi terdahulu sekali gus dapat menarik minat generasi terkini untuk sama-sama meminati nasyid.

“Cuma susunan muzik perlu diperbaharuilah. Muzik asal lagu itu mungkin hanya sesuai pada zaman itu. Jadi kita adunkan semula agar iramanya lebih segar dan kena dengan selera pendengar pada hari ini,” tambahnya lagi.

Sejak penghujung Disember 2020, boleh dikatakan setiap bulan Munif Hijjaz telah melancarkan single baharunya. Antaranya seperti lagu dedikasi untuk Rasulullah SAW iaitu 'Agung Cintamu' dan lagu bagi memperingati perjuangan Saidatina Aisyah RA melalui 'Rindu Humaira.'

Terkini, Munif telah tampil dengan single bertemakan Ramadan hasil duet bersama Zulkifli dari kumpulan Rabbani yang bertajuk 'Ramadan Kareem' dengan iringan muzik percusssion yang amat syahdu dan mendamaikan. Seakan kembali semula ke era awal nasyid di zaman Nada Murni dulu.

Belum sempat panas telinga disumbat ear bud mendengarkan single terbaharu ini, Munif Hijjaz turut akan tampil dengan satu lagi lagu baru bersempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi. Menampilkan rakan duet Ezad Exists dan Maliq Suhaimi, lagu ini telah dilancarkan pada 16 Ramadan lalu bagi menambahkan rasa kemeriahan menyambut lebaran.

Pasca Syawal berakhir kelak, beberapa lagi single baharu akan dikeluarkan dan telah pun disusun atur sehingga hujung tahun ini.

Izinkan penulis memberikan sedikit spoiler di mana antara lagu yang akan diterbitkan adalah seperti 'Pemilik Cinta 2021', 'Kering Sudah Air Mata', 'Madinah Al Munawwarah', 'Dia Kekasih Allah 2021' dan banyak lagi buah tangan baharu yang pastinya membuatkan para peminat Munif Hijjaz ternanti-nanti kemunculannya.

Kekerapan Munif melahirkan karya-karya baharu hampir setiap bulan ini turut menimbulkan tanda tanya kepada sesetengah pihak.

Manakan tidak, kos untuk menghasilkan sesebuah lagu itu boleh mencecah ribuan ringgit. Tidak termasuk jumlah yang perlu dibelanjakan untuk penghasilan video muzik. Ditambah lagi dengan Munif yang bergerak sendirian tanpa syarikat rakaman yang menaunginya.

Sebagai seorang yang cermat dan teliti dalam setiap penghasilan karyanya, Munif enggan lagu yang dihasilkan itu sekadar tangkap muat atau asal ada. Ia mestilah diterbitkan mengikut kualiti penerbitan muzik profesional termasuklah dalam perihal pembikinan muzik video.

“Sejujurnya, kos penerbitan lagu ini bukan sedikit. Kalau nak harapkan saya seorang, memang saya tidak mampu untuk menghasilkannya. Tapi Alhamdulillah, ada rakan dan pihak yang sudi menaja setiap projek lagu baharu ini dan melihatkan kejayaan lagu sebelum ini, ada juga yang dengan rela hati sudi untuk menaja buat kali kedua.

“Sebagai balasan, logo syarikat atau perniagaan mereka akan saya tampilkan di bahagian kredit pada penghujung video.

“Jika ada 100,000 yang menonton video muzik tersebut, maka 100,000 oranglah juga akan melihat logo mereka. Jadi ini adalah situasi menang-menang untuk saya dan mereka yang sudi menaja,” tambah Munif melahirkan rasa syukur kerana dikelilingi rakan dan sahabat yang sentiasa menyokongnya.

Dengan pertambahan kandungan untuk saluran YouTubenya ini, Munif berharap lebih ramai lagi akan sudi melanggan saluran tersebut selepas ini. Bukan sekadar tujuan untuk mendapat keuntungan hasil janaan monetisation di platform tersebut semata-mata.

Sebaliknya yang lebih penting, biarlah ia menjadi sahamnya di akhirat kelak dengan berdakwah melalui lagu seterusnya memartabat dan menaikkan semula industri nasyid. Seiring dengan motonya sejak dahulu iaitu 'Hiburan Mendidik Jiwa.' – Getaran, 2 Mei, 2021

Isu Pada

Membelah Suara Uyaina Arshad

01 May 2021

Berita Berkaitan

1

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

2

Luar Negara 3 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

3

Semasa 4 minggu yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

4

Sukan 4 minggu yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

Sorotan

1

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

2

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

3

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

4

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

5

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

6

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu