Kes serangan jantung kini kian meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia. Hakikatnya, ia bukan lagi sejenis penyakit yang hanya dikaitkan dengan warga emas, bahkan kes serangan jantung yang berlaku mencatatkan jumlah peningkatan terhadap golongan seawal usia 20-an atau awal 30-an.
Ini berikutan dengan tanggapan generasi kini yang merasakan penyakit tersebut hanya dihadapi oleh orang tua sahaja.
Malah, kajian tentang penyakit arteri koronari dalam kalangan belia Malaysia mendapati, hampir 70 peratus peserta berusia 15 hingga 24 tahun mempunyai sekurang-kurangnya satu faktor risiko kardiovaskular.
Mentaliti yang mengkaitkan serangan jantung dengan golongan orang berumur sudah lapuk. Oleh itu, golongan muda haruslah mengambil tindakan segera untuk menangani isu ini.

Pakar Perunding Kardiologi Residen di Hospital Aurelius Nilai, Dr. Nabil bin Haji Idris berkata, penyakit jantung tiada diskriminasi umur.
“Ia boleh menyerang sesiapa sahaja bila-bila masa, baik golongan muda mahupun yang tua. Tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi merupakan faktor penyumbang utama kepada penyakit jantung.
“Kami menyaksikan semakin ramai golongan muda yang mempunyai risiko-risiko ini. Sungguhpun dalam usia 20-an, sangat-sangat penting untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan faktor-faktor risiko ini.”
Berikut adalah beberapa salah tanggapan yang lazim kedengaran tentang faktor risiko penyakit jantung dalam kalangan golongan muda:

“Saya masih muda! Saya boleh makan apa-apa sahaja tidak mengira masa”
Siapa yang tidak menggemari sesi gerai mamak atau bahasa popular yang digunakan segelintir individu iaitu ‘mengeteh’ pada lewat malam ? Namun, anda perlulah berfikir baik-baik sebelum memesan makanan dan minuman. Ini kerana diet yang tidak sihat dan tinggi lemaknya boleh menyebabkan pengumpulan plak di arteri anda dan meningkatkan risiko serangan jantung.
Apabila anda merasa lapar pada lewat malam, elakkan daripada memesan makanan yang berminyak dan minuman yang terlalu manis. Cukup sekadar untuk alas perut sahaja dan bukan makan dalam kuantiti yang banyak.

“Tak perlulah kawal rokok dan alkohol. Saya masih muda lagi!”
Amalan merokok adalah faktor risiko utama kegagalan jantung kongestif kerana ia mampu menyebabkan aterosklerosis serta meningkatkan tekanan darah.
Alkohol yang diambil secara berlebihan selama beberapa tahun dapat menghasilkan kardiomiopati alkohol, iaitu satu keadaan di mana alkohol bertindak sebagai toksin untuk melemahkan otot jantung secara langsung. Inilah masanya untuk berhenti merokok!
“Orang-orang muda boleh menangani tekanan dengan baik, jadi itu bukanlah masalah besar.”
Sekalipun jika anda merasakan bahawa diri anda memiliki fizikal, emosi atau mental yang kuat, tekanan yang berterusan akan meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung. Kajian mendapati, apabila anda berasa tertekan, amigdala anda (bahagian otak yang menangani tekanan) akan memberi isyarat kepada sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah putih berlebihan.
Ini dapat menyebabkan arteri meradang, yang berupaya mencetuskan serangan jantung, angina dan strok. Sesungguhnya, kehidupan kita memang tidak lari daripada tekanan, namun anda mesti bijak membahagikan masa untuk berehat, memulihkan tenaga tubuh, dan menyegarkan tubuh untuk memerangi kesan tekanan.

“Tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi hanya melanda orang-orang yang berusia.”
Semua ini adalah faktor risiko klasik untuk penyakit jantung. Namun, golongan muda mungkin tidak sedar jika mereka mempunyai penyakit ini melainkan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan secara keseluruhan.
Tidak salahnya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti sebarang tanda masalah awal. Namun, jangan sesekali merasakan anda terlepas daripada menghidapi penyakit tiga serangkai ini.
Meskipun sesetengah faktor risiko penyakit jantung tidak dapat dikawal, misalnya umur atau sejarah keluarga, anda boleh mengambil tindakan untuk mengurangkan risiko dengan mengubah faktor yang boleh dikawal.
Perubahan kecil dalam gaya hidup anda, seperti bersenam dan membuat pilihan pemakanan yang sihat, boleh mendatangkan perubahan besar kepada kesihatan jantung anda.
Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati, jadi sebaiknya anda menjalani pemeriksaan jantung dan mengenal pasti faktor risiko anda lebih awal, serta mengambil tindakan proaktif bagi melindungi dan menguatkan jantung anda. - Getaran, 4 September 2022
Sumber: aureliushealth.com