Percutian yang menyeronokkan bukanlah semata-mata bergantung kepada destinasi, tetapi ia juga melibatkan beberapa faktor lain. Contohnya tarikan yang ada, aktiviti yang boleh dilakukan serta individu yang turut serta dalam percutian terbabit.
Jadi, jangan sesekali memperkecilkan mana-mana destinasi percutian. Tak kenal, maka tak cinta, kan?
Jika anda sedang mencari destinasi percutian untuk merehatkan diri buat seketika, apa kata anda ke Kampung Janda Baik, Pahang.
Destinasi yang terletak kurang daripada sejam pemanduan dari pusat bandar Kuala Lumpur ini menjanjikan sebuah percutian menyegarkan. Ini kerana Janda Baik masih kaya dengan alam semula jadi yang menghijau.
Kejernihan air sungainya sentiasa menggamit kedatangan tetamu kota. Dek itu jugalah banyak resort serta chalet yang dibangunkan di sini.
Sama ada anda mahu bercuti secara solo, bersama teman-teman, mahupun seisi keluarga, kampung Janda Baik adalah tempat yang ideal. Tak perlu ambil cuti panjang, memadai dilakukan pada hujung minggu.
Persoalannya, di mana mahu bermalam? Maklumlah bukan sedikit penginapan yang tersedia di sini.
Berikut adalah beberapa cadangan penginapan yang boleh anda jadikan pilihan. Pilih ikut bajet dan rancanglah percutian yang mampu menggembirakan hati.
1) eRYA by SURIA Janda Baik
Baiklah, salah satu penginapan yang boleh dijadikan pilihan ialah eRYA by SURIA Janda Baik atau dahulunya dikenali sebagai Suria Hills Country House.
Berkonsepkan sebuah vila moden dengan sentuhan rumah kampung Melayu, hotel ini menjanjikan sebuah percutian yang cukup privasi.
Tidur malam anda pasti lena kerana hanya 16 buah bilik yang tersedia. Setiap bilik dilengkapi dengan televisyen berskrin rata, alat pendingin hawa, pemanas air dan kemudahan Wi-Fi percuma. Malah, penginapan di sini juga mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).
Dengan keluasan 3 ekar, eRYA by SURIA Janda Baik turut dilengkapi dengan taman persendirian yang membolehkan tetamu menjalankan pelbagai aktiviti yang diingini seperti sukaneka, team-building dan BBQ.
Paling menguntungkan, sungai untuk mandi-manda hanya terletak di belakang hotel. Jadi, bolehlah berendam di sungai sepuas-puasnya.
2) Charis Janda Baik Villa 3
Vila dua bilik yang terletak berhampiran dengan sungai. Vila yang tersenarai di AirBnb ini sesuai untuk keluarga kecil atau bercuti bersama teman-teman rapat.
Hanya empat dewasa yang dibenarkan untuk menginap. Jika anda ingin membawa anak, hanya dua dewasa dan dua kanak-kanak dibenarkan.
Setiap bilik dilengkapi dengan dua katil bersaiz ‘queen’ dan keseluruhan vila mempunyai dapur kecil, ruang tamu dan ruang makan. Kedudukan vila menghadap ke sungai buatan manusia yang yang mengalir di bawah vila. Jadi tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda.
Jika anda mahu berenang atau berendam, bolehlah ke Sungai Chemperoh yang terletak hanya 30 meter dari vila.
Sebagai info, tiada kemudahan kolam renang tersedia di vila ini. Bagaimanapun, terdapat kolam dengan sumber air yang datang dari sungai. Antara aktiviti yang boleh anda lakukan di dalam kawasan vila ialah memanah, tenis mini, boule dan bola tampar.
Selain itu terdapat juga beberapa syarat yang perlu dipatuhi jika ingin menginap di sini.
Antaranya ialah hanya makanan halal yang dibenarkan dibawa masuk ke dalam vila, tidak dibenarkan merokok di dalam vila dan tetamu dikehendaki membersihkan pinggan mangkuk dan peralatan, dapur dan meja makan serta mengosongkan tong sampah sebelum meninggalkan vila.
3) Charis Janda Baik Villa 1
Vila ini berjiran dengan Charis Janda Baik Villa 3 dan sudah semestinya diuruskan oleh hos yang sama. Direka untuk mereka yang mencintai alam semula jadi dengan pelbagai keselesaan sebuah rumah percutian.
Lebih menarik lagi, vila yang satu ini mempunyai kolam renang untuk bermalas-malasan bersama teman-teman mahupun ahli keluarga. Jika mandi sungai bukanlah pilihan hati, vila ini perfect sekali.
Mempunyai tiga bilik yang menjadikannya sesuai untuk dihuni oleh lapan orang tetamu. Selain itu ia juga dilengkapi dengan dapur yang turut hadir bersama peralatan dapur asas, pinggan, gelas, mug, air mineral, teh dan kopi.
Selain itu terdapat juga kemudahan BBQ yang dikenakan bayaran RM15 untuk arang. Jika mahu bersantai di kawasan sungai berhampiran, boleh juga menyewa ‘bean bag’ dan ‘hammock’ untuk pengalaman yang lebih menyeronokkan.
Berikut cadangan itinerari dua hari satu malam yang boleh dijadikan panduan untuk percutian hujung minggu di Janda Baik :-
Hari pertama
10.00 pagi - Bertolak ke Bentong Pahang untuk makan tengah hari (atau sarapan tengah hari/brunch) di Lemang To’ki.
11.30 pagi - Tiba di Lemang To’ki . Boleh nikmati lemang dan rendang yang cukup popular atau masakan kampung yang membuka selera.
1.00 tengahari - Bergerak ke Kedai Kopi dan Ais Krim Kow Po untuk hidangan pencuci mulut (ais krim perisa mentega kacang di sini mesti dicuba).
1.30 tengah hari - Bertolak ke Janda Baik untuk menginap di penginapan pilihan.
2.30 petang - Tiba di penginapan. Daftar masuk dan rehatkan diri seketika.
4.00 petang - Minum petang di kedai-kedai di kawasan kampung untuk menikmati hidangan kuih-muih tradisional.
5.00 petang - Mandi-manda di sungai yang terletak di berhampiran penginapan.
6.30 petang - Balik ke bilik untuk berehat.
8.30 malam - Sediakan makan malam (jika memasak dibenarkan di penginapan, atau boleh adakan jamuan BBQ jika anda ke sini secara berkumpulan.
10.00 malam - Rehat
Hari kedua
8.00 pagi - Sarapan pagi di kedai-kedai kampung.
9.00 pagi - Trekking ke kawasan air terjun (ikut pakej yang disediakan oleh operator berdaftar)
11.00 pagi - Pulang ke hotel, rehat dan siap-siap untuk daftar keluar.
12.00 tengah hari - Daftar keluar dan pulang ke Kuala Lumpur - Getaran, 7 Ogos 2022