Waktu itu hujan baru turun membasahi kota Kuala Lumpur. Dari anak tangga pertama, kami disambut lagu Imogen Heap, 'Hide and Seek' seolah-olah memberi petanda bahawa pameran seni yang kami jejaki hari ini bukan biasa-biasa. Ada mesej besar tersembunyi yang perlu diteroka.
Nawwar Shukriah Ali atau Bono Stellar antara artis yang memeriahkan pameran bertajuk Pause yang bertempat di Tun Perak Co-op. Pause yang bermaksud berhenti seketika mengajak pengunjung untuk bermuhasabah pada masa-masa yang kita lalui sepanjang tempoh ujian yang mencabar ini.

Pandemik yang melanda dunia tak hanya meninggalkan kesan kepada ekonomi. Sebagai individu, kita juga merasai kesunyian dan keterasingan. Hanya dalam kesepian, kita semua seperti dipaksa untuk lebih banyak bercakap kepada diri sendiri dan jujur kepada perasaan yang selama ini tidak pernah kita hiraukan.
"Untuk pameran kali ini, semuanya mengisahkan tentang apa yang saya lalui semasa lockdown tahun 2020. Saya duduk sendiri dan menggunakan masa untuk bermuhasabah diri. Saya juga memberanikan diri untuk pergi ke sesi terapi."
"Kadangkala tanpa sedar saya terlalu berkeras dengan diri sendiri. Ada masanya kekecewaan diri yang pernah saya lalui pada masa silam menjadikan saya tak sengaja membuat orang lain terkena tempiasnya. Saya tak nak peristiwa silam yang saya lalui membuatkan saya layan orang lain dengan buruk," katanya ketika ditemui Getaran.

Warna dan cahaya dari tempat suram
Dalam karyanya, Nawwar sangat selesa menggunakan acrylic glass yang dipotong sendiri menggunakan laser. Walaupun karyanya datang dari kesuraman perasaan, namun hasilnya tidak seperti itu apabila Nawwar banyak memilih bermain dengan warna-warna menarik.

"Saya banyak bermain dengan warna kerana ia seolah-olah menceritakan tentang harapan. Saya percaya harapan ialah sebuah magis yang membuatkan semua orang terus hidup."
"Memang hidup tidak akan selalunya gembira. Tapi bila kita susah, saya selalu fikir takkanlah Tuhan bagi semua benda untuk susahkan kita. Mesti ada sesuatu yang lebih baik menanti. Memang ada masanya kita penat, tapi harapanlah yang membuatkan kita untuk tetap bertahan."
Ketika semuanya bergerak perlahan semasa tempoh kawalan pergerakan, Nawwar belajar untuk melihat dunia dari sisi yang lain. Dia semakin menghargai perkara kecil seperti keindahan alam semula jadi.
“Saya selalu tengok bulan pada waktu malam. Kadangkala tengok pokok, hujan sambil dengar lagu klasik. Saya rasa macam pokok itu seolah-olah menari mengikut lagu klasik itu,” katanya tersenyum.
Laut dan dunia bayang-bayang
Terbuka bercerita tentang terapi yang dihadirinya, Nawwar banyak berbual tentang safe space atau ruang selamat. Apakah agaknya tempat yang paling banyak memberikan kita ketenangan ketika segala yang ada di sekeliling kita terasa seperti sebuah ancaman?
Nawwar menjelaskan itu dalam installation 'Shadow Work' dalam pameran ini sebagai bayangan tempat selamat yang ada dalam fikirannya. Nawwar seperti duduk di atas pasir sambil dikelilingi ombak laut. Langit pula seakan berputar.

“Karya ini namanya 'Shadow Work'. Seolah-olah kita bercakap tentang bayang-bayang dan fikiran bawah sedar kita. Kebetulan ada beberapa bahan yang diambil daripada pameran pertama untuk diguna semula dalam pameran ini,” terangnya.
Lautan dan pantai sangat dekat dengan Nawwar. Baginya, air adalah suatu terapi dan tempat terbaik untuk bermeditasi.
"Setiap kali pergi pantai saya akan bawa cermin dan acrylic glass. Saya suka tengok refleksi air. Sebab itulah banyak hasil kerja saya bercerita tentang refleksi dan bayang-bayang."

Menjadi artis
Bercakap tentang kerjayanya sebagai seorang artis, Nawwar tidak pernah menyesal dengan pilihannya. Pada usia yang sangat muda, Nawwar sudah terbiasa berdikari. Dan dia nekad untuk mengejar impiannya dan percaya kepada kebolehan yang dimiliki.
"Dulu saya sangat pemalu, tapi saya betul-betul nak buat apa yang saya buat sekarang. Bukan untuk orang lain, tapi untuk diri saya sendiri."
"Sejak kecil, saya selalu tonton temu ramah Oprah (Winfrey) bersama-sama orang susah yang berjaya. Kemudian saya terfikir, walaupun banyak benda yang saya tiada, tapi saya boleh berjaya walaupun tanpa benda-benda itu."

Nawwar mengakui sudah jarang berkongsi pandangan dan cerita di laman sosial. Namun pameran ini sangat istimewa kerana dia telah membuat sedikit bahagian peribadinya untuk dikongsi.
“Ramai yang datang hanya sekadar ambil gambar dan balik. Saya harap pengunjung boleh benar-benar melihat. Tak semua benda yang indah datang dari tempat yang cantik,” katanya. - Getaran, 21 Mac 2021