Suatu ketika dahulu telefon pintar digunakan oleh individu tertentu sahaja.
'Simon' merupakan nama teknologi telefon pintar yang pertama dikeluarkan oleh International Business Machine Corporation (IBM) pada 1992. Ia dicipta dengan pelbagai fungsi bagi memudahkan manusia untuk menguruskan kehidupan seharian.
Teknologi telefon pintar kini sudah semakin maju dan pelbagai model dikeluarkan oleh syarikat-syarikat pengeluar dari seluruh dunia dalam masa yang singkat.
Kini telefon pintar menjadi keperluan penting dan ia dimanfaatkan oleh orang ramai termasuk kanak-kanak. Mari kita lihat lima sebab mengapa telefon pintar menjadi keperluan pada masa ini.

Komunikasi
Telefon pintar merupakan peranti yang paling penting untuk berkomunikasi pada bila-bila masa.
Malah telefon awam yang satu ketika dulu berada di kawasan umum sudah tidak digunakan lagi.
Komunikasi mengunakan telefon pintar lebih efektif kerana ia menjimatkan masa. Malah, kini sudah terdapat pelbagai pelan komunikasi yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi dengan harga yang berpatutan dan mengikut kemampuan pelanggan.
Selain itu, sudah terdapat pelbagai aplikasi yang menarik dan menjimatkan wang boleh digunakan jika mahu menyampaikan sesuatu maklumat dalam bentuk bertulis.
Ia juga membantu penyampaian maklumat menjadi lebih pantas dan membolehkan maklumat disimpan di ruang penyimpanan khas (Cloud).

Kerja dan Pembelajaran
Dari segi kerja pula, anda boleh melaksanakan tugas walau di mana sahaja anda berada dengan menggunakan telefon pintar.
Kebanyakan sistem perisian boleh digunakan dalam telefon pintar bagi memudahkan urusan kerja.
Selain itu, pembelajaran dalam talian(PDPR) telah menjadikan telefon pintar sebagai keperluan masa kini juga. Ini jelas kelihatan pada era pandemik masa kini.
Para pendidik hari ini menggunakan telefon pintar untuk menghantar tugasan sekolah, penilaian pelajar dan seumpamanya.

Nota Peringatan
Setelah saban tahun teknologi telefon pintar berkembang maju, hampir semua jenis telefon pintar mempunyai aplikasi untuk membuat nota peringatan atau membuat catatan penting di dalamnya.
Ia jelas telah menggantikan fungsi buku nota atau diari fizikal.
Malah berbanding buku nota fizikal, telefon pintar mempunyai sistem penggera yang efektif untuk membantu mengingatkan pengguna tentang sesuatu perkara atau janji temu.
Fungsinya bagi mengelakkan pengguna terlupa dan boleh sentiasa menyemak maklumat yang telah dicatat.

Keselamatan
Seterusnya, dari sudut keselamatan pula telefon pintar memudahkan pengguna menghubungi talian kecemasan sekiranya perlu.
Anda boleh menghubungi talian kecemasan atau sesiapa sahaja yang boleh membantu dengan pantas jika berlaku perkara buruk seperti jenayah atau kemalangan jalan raya.
Malah dengan telefon pintar anda boleh merakam pelbagai video dan audio jika berlaku sebarang kecemasan.

Penunjuk Arah
Kini dengan kehadiran telefon pintar, mencari jalan dan arah ke sesuatu destinasi menjadi lebih mudah.
Ini kerana ia mampu menyatakan setiap arah dan simpang perjalanan dengan suara arahan yang dikeluarkan melalui peranti.
Malah dengan menggunakan aneka aplikasi penunjuk arah, pengguna juga mampu mencari jalan di dalam kawasan hutan dan tempat terpencil. - Getaran, 12 Mac 2022
Semua gambar hiasan: Unsplash