Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


10 Gaya Paling Diingati Sepanjang AJL: Dari Tahun 2000-2020

Singkapi gaya fesyen paling sukar dilupakan sepanjang pengelolaan Anugerah Juara Lagu dari tahun 2000 hingga 2020.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Mar 2021 8:45AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Setiap kali menjelang Anugerah Juara Lagu, cuba bayangkan diri kita berada di tempat pereka fesyen yang menghasilkan pakaian untuk peserta yang beradu nasib di atas pentas tersebut.

Apa yang dihidangkan adalah untuk mempesonakan mata yang melihat, memenuhi gaya atau konsep persembahan, malah juga mahu menyampaikan mesej kepada penonton.

Dengan rating berjuta-juta (empat ke enam juta) dan penduduk Malaysia tertuju kepada satu-satunya acara malam hari yang menentukan lagu terbaik sesuatu tahun itu, sedapat mungkin pereka-pereka fesyen tidak mahu menjahanamkan apa-apa.

Sedang kita terlena mesra mendengar penyanyi-penyanyi berlagu, terkadang tidak terfikir kisah di sebalik rekaan pakaian itu. Di tengah-tengah gegak gempita auditorium dan ia secara langsung lagi, pereka-pereka fesyen pasti memerah keringat dalam memastikan apa yang dirancang oleh mereka itu tidak terkecundang.

Bermula daripada konsep pakaian sampailah ke keberkesanannya di atas pentas. Semua itu umpama ‘congak’ yang barangkali berkeliling dalam kepala mereka. Apalagi mereka mesti bahu-membahu dengan penata gaya, jurusolek serta pendandan rambut. Segala hal menjadi perhitungan dalam menjayakan keseluruhan rupa. 

Sejujurnya, ia bukan mudah. Seperti yang dinyatakan di atas, dalam memerah keringat menghasilkan pakaian itu, beberapa perkara perlu dititikberatkan-- rekaan pakaian, konsep pakaian yang sealiran dengan makna lagu, gaya solekan serta rambut agar cocok dengan ‘jalan ceritanya.’

Jika si penyanyi itu ‘jenis’ yang suka menggelinjang di atas pentas, faktor mobility pakaian pula dipertimbangkan. 

Contohnya, pakaian rekaan Dato’ Rizalman untuk Dayang Nurfaizah ketika Anugerah Juara Lagu ke-31, tahun di mana lagu ‘Lelaki Teragung’ merangkul Anugerah Juara Lagu.

Jelas Khairul Abidin, selaku penyelaras gaya untuk Dayang Nurfaizah pada malam itu, "Tugas saya adalah untuk menyatukan gaya atau rekaan pakaian Dayang dengan konsep solekan dan rambutnya."

"Dayang masa itu memakai jumpsuit yang menyerupai rupa sut klasik lelaki. Kami sengaja menyuntik elemen maskulin pada Dayang kerana mahu keseluruhan gayanya kena dengan tema lagu ‘Lelaki Teragung’."

Kesungguhan pasukan glam Dayang dalam membangunkan imej tersebut beroleh perhatian. Gayanya itu tular dan menjadi buah butir orang.

Di samping mencocokkan penampilan dengan tema lagu dan seumpamanya, apakah penting seandainya penampilan atau gaya itu diingati? Atau dalam erti kata lain, orang kata, ikonik? Jawapannya, ya. Sudah tentu.

Sama ada penerimaannya baik mahupun kurang memuaskan di kalangan warganet, jika penampilan itu diingati, makanya usaha pereka fesyen bersama-sama penata gaya, jurusolek serta pandandan rambut dianggap berhasil. 

Seperti Anugerah Juara Lagu tahun lepas menyaksikan Ernie Zakri tampil memakai hasil rekaan Amaze – pantsuit dengan bustel yang menyerupai bentuk kepak.

Penampilannya yang bersandarkan tema ‘Metamorphosis’ itu (pada pendapat kami) antara yang berjaya terpahat dalam kepala penonton. Sampai ke hari ini, orang masih ingat lagi detik Ernie berjubah labuh, menudungi tubuhnya lalu dilepaskan dan mendedahkan baju sebenar yang berkonsepkan rerama.

Berikut beberapa gaya fesyen AJL dari tahun 2000 hingga 2020 yang tak mungkin kita lupakan.

DAYANG NURFAIZAH – ANUGERAH JUARA LAGU KE-31

Tambahan lagi, lagu ‘Lelaki Teragung’ ini didedikasikan kepada Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem, membuatkan gaya persembahan Dayang Nurfaizah membekas dalam ingatan. Apa yang menariknya lagi fasal rekaan Dato’ Rizalman ini adalah kot luar kain baldu yang terletak elok pada bahu Dayang. Hal tersebut menjadi biji butir orang kerana kegeligaan Dato Rizalman menggunakan kain bercorak plaids – kain yang sama digunakan untuk jumpsuit Dayang – untuk memastikan kot luar itu umpama ‘melekat’ pada bahu Dayang, supaya tidak terlucut. 

ERNIE ZAKRI – ANUGERAH JUARA LAGU KE-34

Menurut Yazeed Jamil (salah seorang pereka Amaze), proses percambahan minda dan pembuatan pakaian Ernie Zakri ini mengambil masa lebih kurang dua ke tiga bulan juga. Mengapa mereka memilih konsep rerama untuk lagu ‘Ku Bersuara’? Kerana mereka cuba mencocokkan rekaan pakaian Ernie dengan mesej empowerment dalam lagunya itu - jubah labuh diumpamakan sebagai kepompong yang mencerminkan ‘hidup dalam cengkaman’ dan bila dilepaskan, keluar baju sebenar Ernie yang berkepak, menggambarkan rerama bebas. 

NING BAIZURA – ANUGERAH JUARA LAGU KE-20

Cukup sekadar berbaju kurung ringkas, berkaki ayam. Ning Baizura memilih gaya ini sewaktu mendendangkan lagu ‘Awan Yang Terpilu’ di atas pentas akhir. Ning cuba mengaitkan penampilannya ketika itu dengan penceritaan dalam lagunya serta konsep video muzik. 

ELYANA – ANUGERAH JUARA LAGU KE-23

Elyana orang yang berani. Selalu muncul dengan imej tidak berkasut di mana-mana acara. Di atas pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-23, untuk lagu ‘Kalis Rindu’, Elyana tampil dalam rekaan Zery Zamry masa itu – menggunakan konsep persembahan bertemakan anak patung, rekaan pakaiannya off-shoulder, ditambah lagi dengan tulle di bawah skirt untuk menjadikan siluetnya berupa dress tutu. 

FLOP POPPY – ANUGERAH JUARA LAGU KE-17

Mengapa Flop Poppy menyanyikan lagu ‘Cinta’ di atas pentas akhir Anugerah Juara Lagu tahun 2002 dianggap memorable? Kerana Flop Poppy adalah antara kugiran rock underground pertama yang berjaya mara dan membawa genre muzik sebegitu ke Anugerah Juara Lagu. Bagi kami, ia seperti satu revolusi. Tentang gaya mereka pula? Mereka tampil memakai suit labuh, bertali leher dan pada masa itu, penggayaan mereka dianggap cool. Sebelum Hyukoh muncul dengan imej memakai sut labuh, Flop Poppy did it first

ZIANA ZAIN – ANUGERAH JUARA LAGU KE-23

Ziana Zain menggayakan Rizman Ruzaini untuk lagu ‘Dingin’. Buat pertama kalinya, Rizman Ruzaini bekerja dengan Ziana untuk pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu. Butiran lisu pada lengan dan skirt bertingkat, ditambah lagi dengan siluet moden dress Rizman Ruzaini serta dandanan rambut Ziana yang kemas, menjadikan ia antara detik fesyen yang diingati. 

STACY – ANUGERAH JUARA LAGU KE-25

Keberanian Stacy mengetengahkan fesyen oriental – kimono yang diubah polanya, kelihatan asimetri – dan dipadankan bersama seluar sendat kulit / PVC harus dipuji. Dengan  dandanan rambut high ponytail, ia menyempurnakan lagi tema lagu ‘Jahat’ di atas pentas akhir pada masa itu yang mengikut tema video muzik asalnya. Cuma kalau gaya ini diketengahkan pada masa sekarang, ia barangkali dilihat sebagai cultural appropriation atau ambil guna budaya orang. 

BUNKFACE & AMY SEARCH – ANUGERAH JUARA LAGU KE-29

Untuk persembahan ‘Rentak Laguku’ yang dinyanyikan oleh Bunkface, duet bersama Amy Search memperlihatkan dua artis rock daripada dua generasi yang berbeza. Apa yang uniknya fasal gaya Sam Bunkface masa itu adalah percubaannya meniru gaya Amy Search. Rambut panjang keriting, dipakai bersama topi kapten dan seluar ketatnya lagi, memang sebiji Amy Search! Amy pula menggayakan jaket militari serba hitam. Ringkas sahaja penampilan Amy pada masa itu, namun dia tetap mampu membawa aura bintang rock di atas pentas. 

YUNA – ANUGERAH JUARA LAGU KE-25

Penampilan Yuna menyanyikan lagu ‘Cinta Sempurna’ yang diiringi oleh piano pada masa itu mencuri perhatian. Dress asimetri berona jingga kemerah-merahan, sarat dengan jemeki emas di sebelah tangannya dan ‘teknik draping’ yang dijadikan tudung untuk menutup setengah kepalanya itu kelihatan unik. Lain daripada yang lain.

DE FAM – ANUGERAH JUARA LAGU KE-33

Moden dan menggambarkan kekinian. Penampilan De Fam menggantikan Altimet untuk lagu ‘Bunga’ di atas pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 juga adalah satu revolusi. Mereka bertiga muncul dalam persalinan serba putih dan ada pengaruh streetwear, yang sememangnya kena dengan selera moden anak muda masa kini. - Getaran, 14 Mac 2021

Isu Pada

Nuansa Baharu Hip Hop

13 Mar 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

2

Sukan 1 hari yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

3

Semasa 5 hari yang lalu

Malaysia Hantar 100 Kontena Bantuan Ke Gaza

4

Sukan 6 hari yang lalu

Oman Beri Harimau Malaya Kekalahan Pertama

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok