Ya, mungkin ketika ini ada di antara anda sedang menikmati percutian tahun baharu. Bagi yang belum berkesempatan, janganlah susah hati atau kecewa walau apa jua kekangannya.
Seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini, percutian pasca COVID ke luar negara tidaklah semudah sebelum ini.
Banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum pengembaraan bermula. Bahkan, anda juga perlu pastikan poket cukup tebal kerana kos perjalanan menelan belanja bukan sedikit.
Suka atau pun tidak, anda harus bersedia dengan segala kemungkinan yang ada.
Jadi, jika anda sudah maklum dan bersedia untuk memulakan pengembaraan anda ke luar negara, jom kemas kini travel bucket list anda!
Memandangkan lebih banyak negara perlahan-lahan membuka semula sempadan mereka, anda tidak boleh menafikan bahawa nafsu bercuti kita semakin membuak-buak.
Untuk menjadikan hidup anda lebih mudah, Getaran senaraikan 10 negara di mana anda tidak perlu melalui proses kuarantin yang mengambil masa yang panjang.
1) Phuket, Thailand

Sebaik sahaja kerajaan Thailand mengumumkan tentang Phuket Sandbox pada Julai 2021, ramai rakyat Malaysia yang mula mengintai untuk menikmati percutian di destinasi popular ini.
Namun, ketika itu, Thailand tidak ‘mengalu-alukan’ kehadiran rakyat Malaysia.
Kini tidak lagi, pengembara yang telah melengkapkan dos vaksinasi dari mana-mana negara kini boleh menikmati percutian ke syurga pelancongan itu.
Malah, pengembara juga tidak perlu menjalani kuarantin wajib yang sebelum ini memerlukan belanja yang tinggi. Bagaimanapun, masih ada syarat-syarat yang perlu dipatuhi sebelum anda menjejakkan kaki ke destinasi percutian ini.
Boleh rujuk di sini untuk maklumat lengkap!
2) London, England

Ah! Jika anda pernah menjejakkan kaki ke kota London, pasti anda sudah mula merindui suasana dan kelazatan hidangan fish and chips yang memikat selera.
Kota fesyen yang menjadi tumpuan pengembara setiap kali musim panas ini sebenarnya sudah beberapa kali melalui episod perintah kawalan pergerakan.
Namun, tempohnya tidak terlalu lama dan pengembara bebas bercuti ke sini apabila tahap jangkitan COVID didapati selamat.
Jika anda peka, sebenarnya sudah ramai rakyat Malaysia sudah sampai ke London sebaik sahaja sempadan negara dibuka.
Biarpun tidak perlu menjalani kuarantin, negara ini mewajibkan pengembara menempah ujian COVID-19 yang akan dilakukan dua hari selepas ketibaan.
Selain itu, pengembara juga perlu mengisi borang pengesanan lokasi sebelum memulakan perjalanan. Semak di sini untuk maklumat lanjut.
3) Maldives

Diperakui sebagai salah satu pulau tercantik di dunia, siapa yang tidak mahu berendam di lautan Maldives yang jernih bak kristal? Sebelum varian Omicron ditemui, destinasi idaman ramai ini tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana pengembara.
Namun, kini lain cerita kerana kerajaan mereka tidak mahu merisikokan keselamatan rakyat dan pengembara yang datang bertandang.
Mereka dari Afrika Selatan, Botswana, Namibia, Zimbabwe, Mozambique, Lesotho and Eswatini tidak lagi boleh memasuki Maldives.
Pengembara Malaysia boleh terbang ke sana dengan syarat perlu buat ujian saringan COVID-19 dalam tempoh empat hari sebelum tarikh penerbangan.
Sama ada anda telah divaksin atau tidak, kedatangan anda dialu-alukan dengan syarat keputusan ujian negatif. Maklumat lanjut sila semak di sini.
4) Iceland

Iceland adalah sebuah negara kepulauan, seperti Greenland, Kepulauan Faroe dan wilayah lain. Secara teknikal, negara ini bukanlah sebahagian daripada negara-negara Scandinavia kerana faktor geografi.
Tetapi terdapat banyak hubungan budaya, sejarah dan linguistik yang meletakkan Iceland dalam kategori sebagai negara Scandinavia.
Beberapa tahun kebelakangan ini, negara yang terkenal seantero dunia dengan keajaiban glasier, air panas geoterma, gunung berapi aktif dan cahaya utara ini mula mendapat tempat di hari pengembara dari Malaysia, terutamanya pencinta alam semula jadi.
Hanya dapatkan dos vaksinasi yang lengkap, isi borang pra pendaftaran dalam talian dan serahkan keputusan ujian PCR atau antigen negatif (dalam masa 72 jam sebelum berlepas) dan anda boleh bebas mengembara ke negara ini. Maklumat lanjut di sini.
5) Cappadocia, Turki

Imej-imej pemandangan indah dengan belon-belon udara panas pastinya akan muncul setiap kali anda membuat penyelidikan dalam talian untuk destinasi ini.
Mulalah membayangkan diri berada di Cappadocia dengan mengenakan sepasang gaun merah, dilatari pemandangan belon udara yang memukau, just perfect for the gram!
Visa tidak diperlukan bagi warganegara Malaysia yang ingin memasuki Turki. Anda hanya perlu sediakan pasport dengan tempoh sah enam bulan dari tarikh ketibaan untuk mendapatkan kebenaran lawatan sosial di Turki selama 90 hari.
Semua warganegara Malaysia, tanpa mengira status vaksinasi dibenarkan melawati negara Turki. Mereka yang telah lengkap vaksinasi dikecualikan daripada ujian saringan COVID-19 Polymerase Chain Reaction (PCR) dan semua vaksin diluluskan.
Anda juga boleh menarik nafas lega kerana tidak perlu menjalani kuarantin hotel yang semestinya boleh menjimatkan perbelanjaan sepanjang tempoh percutian ke sana.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang ini.
6) Paris, Perancis

Pada 2018, Paris menduduki tangga ke enam dari 10 negara dalam senarai Top 10 City Destinations oleh Wouter Geerts. Kota romantik ini sering menjadi pilihan pasangan yang ingin berbulan madu.
Jika rancangan anda untuk ke sini sudah beberapa kali tertangguh, mungkin 2022 adalah masa untuk merealisasikannya.
Banyak tarikan yang menunggu seperti Eiffel Tower, Louvre Museum, Cathédrale Notre Dame De Paris, Arc De Triomphe dan Champs Elysees Avenue.
Tidak sukar untuk menikmati percutian ke sini. Hanya serahkan bukti status vaksinasi anda untuk pendaftaran pas kesihatan COVID.
Tiada sebarang ujian calitan akan dilakukan di negara ini sekiranya anda telah mendapat vaksin sepenuhnya! Boleh rujuk di sini untuk maklumat lengkap. - Getaran, 2 Januari 2022
Gambar : Pexels.com