Berita Terkini

16 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Berbuat Baik Selagi Mampu

Editor Gaya Hidup dan Hiburan Getaran berkongsi kenapa perlunya kita semua berbuat baik sesama manusia.

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Feb 2021 9:00AM

Gambar: Allan Mas, Pexels

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pernahkah anda berhadapan dengan orang yang suatu ketika dahulu tidak pernah menghiraukan kewujudan anda atau malah pernah mempunyai ‘masalah’ dengan anda namun atas sebab-sebab tertentu, atau selepas jangka waktu yang lama, orang tersebut tiba-tiba berlaku baik dan cuba beramah mesra dengan anda? Saya bertanya kerana ia sudah beberapa kali terjadi kepada diri saya.

Kadang-kadang situasi seperti ini mengingatkan saya kepada filem-filem barat yang pernah saya tonton. Filem-filem ini yang pada dasarnya kelihatan lucu, bodoh dan barangkali tidak ada isi penting. Hanya hiburan semata-mata pada sekilas tontonan. Namun tidak. Sebenarnya filem-filem barat yang saya maksudkan ini pasti ada pengajaran di sebalik kisahnya. 

Filem-filem ini biasanya mempunyai jalan cerita yang sangat mudah, seperti orang yang dahulu tidak tampil ‘cantik' atau 'kacak’ tiba-tiba berubah menawan dan tampan di kemudian hari, dan disukai oleh orang yang pernah membuli mereka.

Ataupun kisah orang yang dahulu tidak penting dan bukan siapa-siapa di awal usia sehingga kadangkala menjadi bahan mulut orang atau mangsa ejekan, kemudian berjaya dalam kerjaya lantas dicari dan dicanang sebagai ‘kawan’ oleh mereka yang pernah menghinanya.

Walaupun dalam filem, tapi seperti pernah anda dengari, atau mungkin alami sendiri bukan?

Kadang-kadang saya suka bertanya pada diri sendiri, mereka yang pernah membenci atau membuli orang-orang tertentu ini, tidakkah mereka berasa malu untuk berbaik semula selepas bertahun lama? Dan apa yang membuat mereka berubah fikiran?

Pertanyaan saya sebenarnya sesuatu yang wajar, kerana manusia penuh dengan sikap ingin tahu. Panasaran. Manusia juga susah untuk lari daripada sikap suka menilai dan lebih teruk lagi menghukum orang. Namun, seperti yang saya katakan tadi, sudah tentu saya ingin tahu kenapa tiba-tiba berubah fikiran dan hati selepas beberapa tahun. (kadang ada juga yang beberapa bulan)

Pepatah Melayu yang tak akan lapuk dimakan zaman berbunyi ‘Ada udang di sebalik batu’. Zaman kita dah dimodenkan jadi, ‘Ada udang di sebalik mi’ kata orang muda sekarang. Maksudnya ada sesuatu yang tersembunyi. Benarkah begitu? Tak bolehkah kita manusia lemah ini terus bersangka baik dan menerima sahaja bahawa manusia itu mampu berubah?

Jawapannya tidak. Fitrah manusia sudah semula jadi. Mesti nak mencari tahu dan menyelidik. Kalau orang yang dulu sombong, atau tak pernah baik dengan kita tiba-tiba baik berlebihan, kita pun pasti berasa janggal dan pelik. 

“Kenapa dia ni, tiba-tiba sekarang nak baik dengan aku? Dulu jangankan tegur, senyum atau pandang pun tidak. Lebih teruk lagi kalau dulu pernah mengata, membuli atau terang-terang tidak menyukai kita sama sekali” (baik di tempat kerja, tempat belajar atau di mana sahajalah saat berkenalan dulu) 

Saya tekankan tadi dalam pertanyaan awal, tak malukah mereka? Sekarang baru hendak berbaik-baik dengan kita. Kenapa tak berbaik dengan kita dari dulu. Apatah lagi di waktu dulu, kita tidak pernah berbuat salah kepada mereka tapi mereka yang memilih untuk berkelakuan sedemikian rupa.

Mungkin di saat itu mereka berada di satu status sosial yang dianggap tinggi atau penting? Mungkin dahulu mereka ada paras rupa menawan, atau kaya raya atau juga bijak pandai dan mungkin terkenal. Jadi mereka berasa megah dan angkuh. Sombong. Berlagak. ‘Kekwat’ kata orang sekarang. Sombong tak bertempat.

Dan yang paling memalukan adalah saat mereka yang pernah ‘berlaku kejam’ atau sombong dahulu tiba-tiba memerlukan bantuan orang yang pernah mereka sakiti. Oh, manisnya dendam. Revenge is sweet kata Orang Putih.

Sehingga kadang ‘si sombong’ atau ‘tukang buli’ yang saya maksudkan terpaksa merayu atau malah menyembah meminta pertolongan daripada mangsa kesombongan atau pembuliannya dahulu. 

Bukankah lebih mudah jika dari dahulu mereka yang suka membuli dan sombong ini berbuat baik dengan semua orang yang mereka kenali? Setahu saya berbuat baik tidak perlukan usaha yang besar. Tak perlu berhabis wang ringgit. Memadailah dengan sekadar senyuman atau teguran mesra atau salam bila bertemu. Itu sahaja. Jika berkemampuan memberikan pertolongan, memang lebih bagus dan besar pahalanya. Jika tidak, just be nice. It pays

Sepanjang hidup saya, belum pernah saya dengar orang yang berbuat baik berhujung dengan kerugian. Kebaikan itu walaupun klise bunyinya biasanya pasti ada hasil positif. Seperti nasihat atau bebelan yang malas hendak didengar, tapi ini kenyataan hidup.

Ada juga pepatah bahasa Inggeris yang mengatakan ‘nice guys finish last’, yang bermakna mereka yang baik tak akan berjaya. Kononnya dalam hidup perlu sedikit nakal atau ada perangai jahat untuk mara dan berjaya.

Saya sukar hendak percaya pepatah itu. Sekali lagi mungkin kerana kepercayaan dan agama saya (serta banyak agama lain) mengajar untuk sentiasa berbuat baik. Sehingga saya sudah lihat sendiri di depan mata saya.

Tiap kebaikan yang diusahakan pasti akan dibalas dengan kebaikan. Jika bukan sekarang mungkin di masa hadapan. Kita tidak akan tahu rahsia alam dan Tuhan.

Kita tidak tahu putaran hidup namun kita harus sedar bahawa mungkin satu hari nanti kita akan perlukan bantuan orang lain. Orang yang kita baru kenal atau bisa jadi orang yang memang kita kenal tapi tidak kita sukai. Oleh itu, berbaiklah dengan semua orang supaya anda tidak perlu berada dalam situasi kekok, janggal nan malu untuk meminta bantuan di masa hadapan.

Beruntung jika orang yang anda kecam atau benci dahulu seorang yang baik dan tidak berdendam. Bayangkan jika orang yang anda benci atau sakiti dahulu menghadapi trauma gara-gara kelakuan anda. Apa yang mungkin terjadi?

Lebih-lebih lagi zaman sekarang dengan seribu satu penyakit mental dan jenis depresi, macam-macam boleh terjadi. Bukan sahaja mereka mampu membalas dendam pada anda, mungkin orang yang dekat dengan anda juga mereka akan sakiti. Tiada yang mustahil zaman moden ini.

Jadi berbaik-baiklah sesama insan. Tiada apa yang akan merugikan dengan berbuat baik. Berbuat jahat yang akan menambahkan musuh dan pasti akan membebankan. 

Buat para pembaca yang saya kasihi, khasnya yang masih muda, saya nasihatkan sekali lagi, berbuat baiklah dengan orang yang anda kenali. Baik di tempat belajar ataupun bekerja. Ia akan menjadi ganjaran di suatu hari nanti. Dan apa yang saya sampaikan ini adalah berdasarkan pengalaman hidup saya yang tidak seberapa tapi ada buktinya.

Ingat, kita tidak akan tahu pertolongan siapa yang bakal kita perlukan kelak. Ia mungkin si dia yang pernah anda cemuh atau si dia yang anda rasa satu ketika dahulu tidak penting dalam hidup anda. Jadi anda layan dia bak sampah.

Tapi sampah boleh jadi permata. Kuasa Tuhan tiada yang tahu. Lantas bepeganglah pada satu lagi kata-kata hikmat yakni, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali! - Getaran, 28 Februari 2021

Isu Pada

Syahir Rosdi

27 Feb 2021

Berita Berkaitan

1

Refleksi 2 hari yang lalu

Wanita Hari Ini, Mydin Bergabung Salur Bantuan Kepada Anggota Barisan Hadapan

2

Refleksi 1 bulan yang lalu

Self Healing’ Pada Bulan Ramadan, Bikin Ibadah Makin Khusyuk

3

Refleksi 1 bulan yang lalu

Menangani Krisis Kejantanan

4

Refleksi 2 bulan yang lalu

UAI Kata Haram Tidur Dengan Patung Seperti 'Teddy Bear', Pejabat Mufti Bagi Penjelasan Berbeza

Sorotan

1

Hampir 20,000 Buah Mangga Malaysia Dilupuskan Di Riau

2

Stoking Kalimah Allah: Jangan Ambil Tindakan Sendiri - KPN

3

PM Ziarah Menteri Agama Terima Rawatan Di Hospital Putrajaya

4

Penggunaan Nombor Bil Sebagai Rujukan Bayaran CAPL Bermula 1 April - LHDN

5

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

6

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

7

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis