KUALA LUMPUR - “Kami tidak akan tunduk, berundur atau berkompromi dengan sebarang usaha yang cuba menjatuhkan kewibawaan Persatuan Kriket Malaysia (MCA),”.
Itu pendirian dinyatakan mantan Presiden MCA, Mohammad Iqbal Ali Kassim Ali.
Bercakap kepada Getaran hari ini, Iqbal menegaskan, beliau bersama Dr Arun Kumar Beshamber Nath dan Amarjeet Singh menolak sepenuhnya cubaan memutarbelit fakta seperti yang tersirat dalam kenyataan media MCA pada 24 Oktober lalu.
“Pendirian kami jelas, kami berpegang kepada undang-undang, mempercayai mahkamah dan tidak akan berganjak walau selangkah sehingga kebenaran ditegakkan,” katanya.
Jelas Iqbal, kenyataan MCA yang ditandatangani Setiausaha Kehormat, Richard Tan Wuu Chyau adalah usaha untuk mengalih perhatian dengan menuduh media mencipta sensasi tanpa menyelesaikan isu sebenar.
“Menuduh media tidak bertanggungjawab tidak akan mampu menutup kelemahan sendiri,” tegasnya.
Menerusi kenyataan itu, MCA antara lain mengancam mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap portal yang menyiarkan laporan tersebut, kononnya atas alasan merosakkan reputasi persatuan dan pemain.

Namun tegas Iqbal, reputasi tidak boleh ditebus dengan kenyataan kosong, lebih-lebih lagi apabila fakta undang-undang tidak menyebelahi pihak yang membuat tuduhan.
Julai lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan MCA untuk menghalang lima ahli termasuk Iqbal daripada menjalankan tugas sebagai Exco, selepas plaintif gagal menunjukkan sebarang bukti bukti konkrit.
“Hakikatnya jelas; kami difitnah konon mencampuri urusan persatuan sedangkan mahkamah tidak menemui sebarang salah laku,” katanya.
Beliau menarik perhatian, mereka tidak pernah memulakan tindakan mahkamah kerana plaintif dalam isu ini ialah Bendahari Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin, bukannya mereka.
“Kami tidak menyeret sesiapa ke mahkamah. Kami hanya mempertahankan diri. Naratif sebaliknya adalah pembohongan yang diulang berkali-kali,” katanya.
Iqbal berkata, tiada sebarang cubaan untuk mencari penyelesaian kerana ‘kebenaran tidak boleh didagangkan dan integriti tidak untuk dijual beli’.
Beliau menambah, contoh kegagalan tadbir urus sukan Malaysia mutakhir ini termasuk tindakan FIFA terhadap FAM dan isu Olahraga Malaysia harus menjadi amaran keras bahawa kelemahan sistem akan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
“Jika ini boleh berlaku dalam bola sepak dan olahraga, tidak mustahil perkara yang sama cuba berlaku dalam kriket,” katanya.
Beliau menegaskan, manipulasi naratif bukan sahaja memalukan, tetapi berbahaya kerana ia menggugat keyakinan atlet dan orang ramai terhadap kepimpinan sukan negara.
“Kami enggan menjadi sebahagian daripada budaya menutup kelemahan dengan propaganda,” tambahnya.
Jelas Iqbal, beliau dan dua lagi Exco terlibat akan terus berpegang kepada undang-undang, menghormati proses mahkamah dan menolak sebarang cubaan memintas proses tersebut.
“Kami tetap tegas. Kami tidak akan diugut, tidak akan digoyahkan, dan kami akan menyelesaikan perkara ini sampai ke titik terakhir,” katanya. - Getaran, 19 November 2025

