DOHA - Maverick Vinales, yang bakal menimang cahaya mata, memenangi perlumbaan pembuka tirai musim baharu MotoGP di GP Qatar walaupun keadaan berangin dan berpasir.
Penunggang Pramac Ducati dari Perancis, Johann Zarco pula menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan Francesco Bagnaia dari Itali di tempat ketiga.
Juara dunia bertahan, penunggang Suzuki, Joan Mir terlepas tempat di atas podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
“Saya dapat rasakan potensi kami.
“Saya cuba beraksi dengan bijak dan tenang, akhirnya saya dapat menjauhkan diri daripada pelumba yang lain,” kata Vinales.
“Saya ingin berterima kasih kepada keluarga. Saya dan isteri sedang menunggu kehadiran cahaya mata pertama kami,” tambah Vinales yang berkahwin dengan pasangannya Raquel dan mengumumkan awal bulan ini yang mereka akan menimang cahaya mata.
Vinales terpaksa mengatasi permulaan yang perlahan di mana beliau dan pelumba Yamaha yang lain ditinggalkan oleh jentera Ducati sebelum sedikit demi sedikit mengejar pengeluar Itali itu.
Beliau mendahului perlumbaan dengan tinggal lagi lapan pusingan dan terus memecut laju untuk meninggalkan Zarco, Bagnaia dan Mir bersaing untuk posisi podium.
Dalam kategori Moto2 pula, Sam Lowes menjadi pelumba Britain pertama untuk memenangi perlumbaan pembuka tirai sejak 1979.
Remy Gardner dari Australia dan Fabio Di Giannantonio dari Itali menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.
Sementara pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah tidak dapat menamatkan perlumbaan selepas jenteranya mengalami masalah teknikal.
Jaume Masia meraih kemenangan dalam kelas Moto3 di hadapan Pedro Acosta.
Pelumba Petronas Sprinta Racing, Darryn Binder dari Afrika Selatan melengkapkan podium. - AFP

