PARIS - Manchester United mengesahkan tempat mereka di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah dengan bantuan Cristiano Ronaldo dalam kemenangan 2-0 ke atas Villarreal.
Juara Eropah tiga kali United mengharungi perlawanan pertama mereka sejak memecat Ole Gunnar Solskjaer dan memerlukan kemenangan untuk mengesahkan penamat dua teratas dalam Kumpulan F.
Tetapi pasukan itu di bawah tekanan kerana kekalahan akan menyebabkan nasib mereka berada di luar kawalan diri sendiri.
David de Gea menyelamatkan dua cubaan penting dan United, yang dibimbing oleh Michael Carrick sebagai pengendali sementara, mendahului perlawanan dengan jaringan Ronaldo di minit ke-78.
Jadon Sancho, yang selalu diketepikan selepas perpindahannya dari Borussia Dortmund, melengkapkan persembahan individu yang cemerlang dengan menjaringkan gol pertamanya untuk United di minit ke-90.
“Ini bukan satu keputusan yang penting buat diri saya sahaja, tetapi untuk para pemain dan kelab ini,” kata Carrick.
Gol Ronaldo adalah yang ke-799 dalam kariernya dan ke-140 dalam Liga Juara-Juara Eropah dan yang keenam dalam pertandingan musim ini.
Juara bertahan Chelsea juga layak ke pusingan seterusnya dengan membenam Juventus di laman sendiri 4-0.
Gol-gol dari Trevoh Chalobah, Reece James, Callum Hudson-Odoi dan Timo Werner memastikan kelab London itu masih mempunyai peluang untuk mempertahankan kejuaraan mereka.
“Kami beraksi dengan baik, menjaringkan gol menentang Juventus adalah perkara yang sukar dan kami mencipta banyak peluang.
“Tahniah kepada para pemain untuk satu persembahan yang mantap,” kata pengurus Chelsea Thomas Tuchel. - AFP
Keputusan lain:
Dynamo Kyiv 1 Bayern Munich 2
Barcelona 0 Benfica 0
Sevilla 2 Wolfsburg 0
Malmo 1 Zenit 1
Lille 1 RB Salzburg 0
Young Boys 3 Atalanta 3

