SILVERSTONE - Fabio Quartararo semakin menghampiri kejuaraan dunia MotoGP pertamanya selepas mendominasi perlumbaan GP Britain di Silverstone.
Kemenangan ini adalah yang kelima buat pelumba Yamaha itu musim ini, dan melebarkan kelebihannya di carta kejuaraan dunia kepada 65 mata.
Pelumba Perancis itu tidak menunjukkan kesan daripada kemalangan yang dialami pada Jumaat yang menyukarkan dirinya untuk berjalan.
Quartararo bermula di petak ketiga dan tergelincir satu posisi selepas permulaan yang lembap, tetapi memintas pelumba di depannya satu demi satu untuk mendahului perlumbaan di pusingan kelima.
Beliau kemudian menjarakkan diri dengan pelumba yang lain untuk melintasi garis penamat 2.6 saat di hadapan pelumba Suzuki Alex Rins dan Aleix Espargaro yang memberi Aprilia penamat podium pertama pasukan itu dalam MotoGP.
“Saya berasa sangat selesa ketika dalam perlumbaan.
“Saya memotong setiap pelumba satu demi satu. Kelajuan saya sangat baik, tetapi tidak menyangka dapat menjarakkan diri daripada pelumba lain.
“Saya dapat menikmati perlumbaan ini dengan kepantasan yang baik tanpa perlu beraksi 100 peratus,” kata Quartararo.
Dalam kelas Moto2, Remy Gardner semakin hampir menjadi juara dunia kedua dalam keluarganya.
Bapa pelumba Australia itu, Wayne, menjuarai kategori 500cc pada 1987, dan anaknya kini mempunyai kelebihan 44 mata di hadapan rakan sepasukannya Raul Fernandez yang kemalangan dalam perlumbaan semalam.
Marco Bezzecchi dan Jorge Navarro melengkapkan podium.
Romano Fenati mendahului podium Moto3 yang dikuasai oleh pelumba dari Italy dengan Niccolo Antonelli di tempat kedua dan Dennis Foggia ketiga. - AFP

