KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan supaya Perdana Menteri baharu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi mengesahkan keabsahan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli secepat mungkin.
Titah baginda, perkara itu adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam hal ini, Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara bertitah, baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undan-Undang.
“Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada Jumaat ini,” titah baginda seperti yang disiarkan dalam kenyataan rasmi Istana Negara, hari ini.
Titah baginda disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.
Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda turut menitahkan supaya kesemua 220 ahli Dewan Rakyat untuk mempersembahkan surat akuan (SD) yang menyatakan seorang ahli Dewan Rakyat harus diberikan kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri yang baharu.
“Kesemua ahli Dewan Rakyat hendaklah mengemukakan surat akuan masing-masing kepada pihak Istana Negara pada hari ini, 18 Ogos 2021 sebelum jam 4.00 petang,” titah baginda.
Seri Paduka Baginda dan Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan pandangan, kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus kerajaan ketika negara masih diancam pandemik COVID-19.
“Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.
“Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera,” kata Ahmad Fadil lagi.
Kemelut politik negara memuncak apabila 15 Ahli Parlimen UMNO diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik semula sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu.
Percaturan politik itu melihatkan Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatannya selaku Perdana Menteri kelapan selepas tidak lagi memiliki majoriti secukupnya untuk menduduki kerusi nombor satu negara. - Getaran, 18 Ogos 2021

