KUALA LUMPUR - Syarikat minyak nasional, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mengesahkan satu insiden berlaku sekitar 12.50 tengah hari semalam, yang meragut tiga nyawa petugasnya.
Kejadian berkenaan berlaku sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan membabitkan sebuah bot penyelamat dijalankan di unit Sepat Floating Storage and Offloading (FSO), yang terletak di medan minyak Sepat, luar pantai Terengganu.
Kesemua mangsa ketika itu berada di dalam bot penyelamat tersebut untuk membuat persiapan turun ke bahagian bawah platform luar pesisir bagi menjalankan kerja penyelenggaraan, sebelum bot itu tiba-tiba terlucut lalu terhempas ke laut.
Tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Taman Merdeka Batu Berendam di Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Jalan Kampung Jawa di Kuantan, Pahang; serta Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 37, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan.
Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor, dilaporkan terselamat namun mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang, dan kini masih menerima rawatan serta berada di bawah pemantauan pihak perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Dalam satu kenyataan, PETRONAS memaklumkan, kesemua mangsa yang terlibat merupakan pekerja kontraktor.
“Dengan penuh dukacita, tiga kakitangan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kira-kira jam 5.57 petang semalam, manakala seorang lagi mangsa yang cedera telah dipindahkan untuk menerima rawatan lanjut dan masih berada di bawah pemerhatian,” menurut kenyataan itu.
PETRONAS turut memaklumkan, siasatan berhubung punca kejadian sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
“PETRONAS merakamkan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarga, rakan-rakan serta rakan sekerja mangsa yang terkorban.
“Keutamaan segera syarikat ketika ini adalah memastikan kebajikan semua pihak yang terjejas terus diberikan perhatian dan sokongan sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor, berkata kejadian berlaku ketika keempat-empat mangsa berada di dalam bot penyelamat yang ditempatkan di platform tersebut, sebelum turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah struktur berkenaan.
“Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang menampung bot itu dipercayai tiba-tiba terlucut.
“Insiden tersebut menyebabkan bot berkenaan bersama semua mangsa terjatuh ke laut,” katanya.
Beliau berkata, pasukan penyelamat kemudiannya dikerahkan ke lokasi kejadian dan berjaya mengeluarkan kesemua mangsa dari laut sebelum membawa mereka semula ke platform.
Mangsa kemudian diterbangkan menggunakan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud kira-kira jam 4 petang sebelum dikejarkan ke unit kecemasan hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Tiga daripada mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi mengalami kecederaan serius,” katanya.
Menurut Azli, kes berkenaan kini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut sementara menunggu hasil siasatan lanjut.
Beliau berkata, bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa dijadualkan dijalankan pagi ini. - Getaran, 25 Mei 2026

.jpg)