web statsweb stats

Berita Terkini

1 bulan yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 1 bulan yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Sambutan Hari Kebangsaan Meriah Di Seluruh Negara, Serlah Semangat Patriotik Rakyat

Semasa Dikemaskini 10 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 31 Aug 2025 3:04PM

Gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Di sebalik kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya yang menjadi tumpuan utama, semangat patriotik dan kegembiraan meraikan ulang tahun kemerdekaan negara itu turut bergema di seluruh pelosok tanah air.

Mengangkat tema "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni", sambutan edisi ke-68 yang menyerlahkan semangat perpaduan nasional sebagai tunjang kekuatan negara, diserikan dengan pelbagai acara istiadat, persembahan berwarna-warni serta perarakan penuh semangat membabitkan pelbagai lapisan masyarakat.

Ketibaan Yang di-Pertuan Agong dengan memandu sendiri Proton Satria Neo - Gambar BERNAMA
Ketibaan Yang di-Pertuan Agong dengan memandu sendiri Proton Satria Neo - Gambar BERNAMA

Pada setiap lokasi, sambutan disemarakkan dengan kibaran Jalur Gemilang, alunan lagu-lagu patriotik serta persembahan kebudayaan pelbagai kaum dan etnik, mencerminkan keharmonian yang menjadi asas keutuhan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.

Di PERAK, kira-kira 50,000 pengunjung memenuhi pekarangan Dewan Bandaran Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri yang diwarnai dengan persembahan termasuk koir, tarian, kebudayaan dan persembahan patriotik.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berangkat ke sambutan itu yang menyaksikan perarakan dan perbarisan melibatkan 107 kontinjen terdiri daripada 5,700 peserta daripada pelbagai agensi dan jabatan, pasukan beruniform, universiti awam, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak.

Di KEDAH pula, sambutan dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 40,000 pengunjung, menyajikan acara terbang lintas hormat melibatkan aset udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), aksi penerjunan bebas oleh empat anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta perarakan dan perbarisan oleh 4,000 peserta daripada 119 kontinjen.

Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff turut berangkat pada sambutan yang diadakan di Dataran Medan Bandar, Alor Setar hari ini.

Sambutan di PERLIS juga meriah dengan penyertaan sebanyak 2,820 ahli kontinjen perbarisan dan perarakan termasuk pembawa Jalur Gemilang, selain 165 aset kenderaan di laluan hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar.

Acara itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Di PULAU PINANG, lebih 25,000 orang membanjiri pekarangan Stadium Batu Kawan seawal 7 pagi bagi menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri, melibatkan 122 kontinjen daripada jabatan, agensi negeri dan Persekutuan, badan berkanun, anak syarikat serta NGO.

Menariknya hadirin disajikan dengan persembahan khas Gendang Tiga Budaya oleh Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) di bawah inisiatif Belia Berirama atau Youth With Rythm, menampilkan elemen muzik daripada tiga kaum majoriti di Malaysia, iaitu paluan kompang, gempita gendang perang serta keunikan irama gendang dol.

Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee serta barisan kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta kenamaan negeri turut hadir pada sambutan itu.

Di PAHANG, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 bersama ribuan pengunjung yang tiba sejak awal pagi.

Acara dimeriahkan menerusi perarakan 150 kontinjen dengan 82 kontinjen perbarisan dan 68 kontinjen berkenderaan, selain penerbangan lintasan hormat empat pesawat Sukhoi SU-30МKM dan aksi payung terjun.

Sambutan di TERENGGANU pula menyaksikan keberangkatan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada acara yang diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu.

Tiga pemimpin tertinggi negara, dari kiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof - Gambar BERNAMA
Tiga pemimpin tertinggi negara, dari kiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof - Gambar BERNAMA

Turut berangkat Tengku Sri Setia Mankota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Mu'az dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra, diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan kepimpinan negeri.

Acara perarakan bermula kira-kita 9 pagi dengan menyaksikan sebanyak 3,972 peserta daripada 122 kontinjen berarak melintasi pentas diraja dan memberikan tabik 'hormat diraja'.

Sementara itu di JOHOR, Majlis Perbarisan, Perarakan dan Perhimpunan Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 disambut meriah di Batu Pahat menyaksikan penyertaan 165 kontinjen, termasuk 127 kontinjen perbarisan, 33 perarakan kenderaan dan lima pancaragam.

Sambutan bermula 8 pagi itu turut dihadiri Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Speaker DUN Johor Datuk Mohd Puad Zarkashi, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid serta kehadiran lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum.

Di MELAKA, sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri berlangsung meriah di Persiaran Jalan Merdeka Banda Hilir dengan kehadiran lebih 50,000 pengunjung dan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta barisan kepimpinan negeri, agensi dan jabatan.

Sejumlah 8,167 peserta daripada 147 kontinjen terlibat dalam perbarisan tahun ini yang diserikan dengan perarakan 442 unit pelbagai jenis kenderaan yang mempamerkan keupayaan dan kepelbagaian logistik jabatan/agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform serta sektor swasta.

Sambutan tahun ini turut mencatat sejarah apabila buat kali pertama acara lintas hormat udara melibatkan pesawat tempur Sukhoi dan pesawat angkut taktikal C130-H Hercules dilaksanakan dengan penuh gilang-gemilang, selain acara penerjunan bebas oleh Pasukan 10 Briged (Para) dan Bomba serta Tarian Perang oleh Pasukan 10 Briged (Para).

Di NEGERI SEMBILAN, lebih 30,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarakat membanjiri pekarangan dataran Majlis Bandaraya Seremban seawal 3 pagi, yang turut menyaksikan keberangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan

Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud pada 8.15 pagi.

Sebanyak 87 kontinjen membabitkan 5,000 peserta menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan itu yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan institut pengajian tinggi serta syarikat swasta.

Selain kenderaan berhias dan pertunjukan aset-aset pertahanan, sambutan kali ini turut diwarnai dengan persembahan khas menerusi sketsa Operasi Bersepadu berteraskan pendekatan Whole of Government (menyeluruh kerajaan), Whole of Society (menyeluruh masyarakat) oleh anggota keselamatan.

Di SABAH, sebanyak 169 kontinjen menyertai perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025 Peringkat Negeri yang berlangsung di Jalan Tun Fuad Stephens di sini, disaksikan ribuan pengunjung yang tiba seawal 6 pagi hari ini.

Antara kontinjen perbarisan yang menyertai sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah termasuk Institut Kemahiran Teknikal Lanjutan (ADTEC) JTM Kampus Kota Kinabalu, Komander Kesatria Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Sabah, Briged Putera Malaysia dan Persatuan Masyarakat Brunei Sabah.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin, bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag, serta Menteri Kabinet Kerajaan Salbah, Ahli Dewan Undangan Negeri, ketua jabatan Persekutuan dan negeri serta konsul-konsul negara asing menghadiri sambutan berkenaan. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Semasa 6 bulan yang lalu

Sambutan Krismas Meriah Dengan Upacara Keagamaan, Aktiviti Bersama Keluarga

2

Semasa 10 bulan yang lalu

PM Beri 'Thumbs Up' Sambutan Hari Kebangsaan 2025

3

Semasa 2 tahun yang lalu

Jangan Cemas Jika Lihat Pesawat ATM Terbang Rendah - ATM

4

Jelajah 2 tahun yang lalu

5 Masjid Di Sekitar Kuala Lumpur Anjur Sambutan Sempena Maulidur Rasul 

Sorotan

1

Tok Mat Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Rantau, Zahid Jadi Pengiring

2

PRN Negeri Sembilan: 4 Calon PH, 3 Calon BN Tiba Di Pusat Penamaan Calon

3

Mayat Kanak-Kanak Perempuan Hilang Ditemukan, 2 Lelaki Ditahan

4

Dituduh Rogol Remaja Bawah Umur, Pempengaruh Media Sosial Mengaku Tidak Bersalah

5

Diperdaya ‘Love Scam’ Di Telegram, Pelajar Universiti Rugi Lebih RM56,000

6

Tarik Diri Daripada Kerajaan Negeri, DAP Melaka Beralih ke Blok Pembangkang 

Disyorkan untuk anda

Semasa 19 jam yang lalu

Network School Forest City: Kerajan Johor Arah Tutup 1 Premis Langgar Peraturan

oleh Sophia Ahmad

Politik 18 jam yang lalu

PRN Negeri Sembilan: 4 Calon PH, 3 Calon BN Tiba Di Pusat Penamaan Calon

oleh Amirah Abu Bakar

Politik 18 jam yang lalu

Tok Mat Tiba Di Pusat Penamaan Calon DUN Rantau, Zahid Jadi Pengiring

oleh Amirah Abu Bakar

Politik 19 jam yang lalu

PRN Negeri Sembilan: Saingan Bermula, Proses Penamaan Calon Mengambil Tempat

oleh Sophia Ahmad