KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta memberi tempoh lebih panjang kepada peniaga sebelum menguatkuasakan larangan mempamerkan produk tembakau yang bakal dilaksanakan April tahun depan.
Presiden Persatuan-Persatuan Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM), Hong Chee Meng berkata, tempoh lanjutan enam bulan diberikan tidak memadai kerana golongan terbabit terpaksa menanggung kos yang amat tinggi.
Menurut beliau, peniaga runcit bakal berdepan kos sehingga RM300 juta untuk mematuhi larangan tersebut, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko kerugian.
“Ramai antara kami melihat tempoh lanjutan itu sebagai ‘pelekat sementara’ yang bakal mencetuskan masalah lebih besar, antaranya peningkatan kos dan kekeliruan mengenai kaedah pelaksanaan larangan tersebut.
“Mereka bimbang memikirkan kemungkinan, apakah perniagaan dijalankan mampu bertahan dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar,” katanya kepada Getaran di sini.

Jelas Chee Meng, keputusan ditetapkan kerajaan itu bermakna setiap kedai perlu membelanjakan sehingga RM6,000 bagi mengubah suai rak sedia ada, tanpa sebarang bantuan kewangan.
Hal ini katanya, adalah beban kepada peniaga runcit yang sedia terkesan dengan pelbagai kos dan cukai.
“Peruncit kecil kini berdepan kesukaran mencari dana untuk membuat perubahan yang diminta.
“Selain itu, mereka juga perlu menambah bilangan pekerja, khusus menangani produk yang disembunyikan bagi mengelakkan berlakunya gangguan perkhidmatan kepada pelanggan atau masalah operasi. Sekali lagi, kos bertambah buat mereka,” katanya kesal.
Beliau memberitahu, larangan terbabit akan memberi impak secara keseluruhan kepada perniagaan dijalankan.
“Kos pematuhan sahaja dah cecah RM300 juta untuk seluruh negara. Perniagaan kecil macam kami memang tersepit,” katanya.

Chee Meng memberi ingatan, lambakan peniaga pasaran gelap juga akan berleluasa, serentak dengan pelaksanaan larangan berkenaan.
Katanya, perintah supaya menyembunyikan produk tembakau menyebabkan pelanggan akan beralih kepada produk pasaran gelap yang lebih mudah diakses.
“Kita dah tengok fenomena di atas talian apabila vape dijual dalam bentuk menyerupai batang pen, gam UHU, dan coklat KitKat. Kalau barang sah disembunyikan, pelanggan takkan susah-susah mencari. Mereka akan beli yang haram. Susah nak beza produk sah dengan seludup bila dua-dua tak boleh nampak.
“Kerajaan perlu fikir balik strategi ni. Kami setuju untuk ikut undang-undang, tapi kena bagi masa dan sokongan yang lebih,” katanya. - Getaran, 16 Oktober 2024

