KOTA KINABALU – Di dalam sebuah bilik kecil di sini, sejarah 100 tahun Pengakap dipelihara dengan teliti, dengan pelbagai kisah yang menunggu untuk diceritakan.
Di antara timbunan artifak Pengakap, berdiri Chan Foo Keung yang berusia 64 tahun, yang dengan penuh semangat telah menghabiskan seumur hidupnya mengumpul barangan koleksi yang menceritakan kisah pergerakan Pengakap.
Merupakan seorang Pengakap yang berdedikasi sejak umur 9 tahun, Chan berjaya mengumpulkan koleksi yang mungkin boleh menjadi sesuatu yang dicemburui para ahli sejarah atau pengumpul lain.
Beberapa artifaknya berusia seawal tahun 1907, iaitu kelahiran awal Pengakap.
"Pengakap bukan sekadar hobi; ia adalah cara hidup," ujar Chan mengenai perjalanan sepanjang hidup yang bermula sebagai Pengakap Tunas atau Cub Scout di Sekolah Rendah Shan Tao di Sandakan pada akhir 1960-an.
Kediaman Chan, terutamanya tingkat atas rumah dua setengah tingkatnya, adalah bukti dedikasi beliau yang tidak berbelah-bahagi.
Ia dipenuhi dengan puluhan ribu artifak Pengakap seperti setem, buku, lencana, dan banyak lagi yang dikumpulnya dengan teliti selama bertahun-tahun, mencari di pasaran tempatan, lelongan dalam talian, dan pertukaran antarabangsa dengan pengumpul lain.
Tetapi keghairahan Chan terhadap Pengakap melangkaui koleksi semata-mata.
Ia juga melibatkan ahli keluarga. Isterinya, Smily Lee Mee Shion, bekas Pengakap Kelana, dan dua anak lelaki mereka, Chan Zen dan Chan Quan, semuanya terlibat secara mendalam dengan Pengakap.

Dedikasi bersama keluarga ini mendorong mereka untuk memperoleh dan memelihara pelbagai barangan kenang-kenangan Pengakap yang mengagumkan.
Salah satu harta karun dalam koleksi Chan yang jarang ditemui ialah salinan buku "Sketches in Mafeking & East Africa" oleh Robert Baden-Powell, pengasas Pengakap Lelaki, yang diterbitkan pada tahun 1907.
Selain itu, satu siri gambar lama dari kem percubaan pertama di Pulau Brownsea pada 1907 yang merakamkan kelahiran pergerakan Pengakap sebelum ia menjadi pergerakan global.
"Setiap tampalan menceritakan kisah," kata Chan sambil memegang tampalan dari Jambori Dunia ke-15, yang dibatalkan pada 1979 akibat Revolusi Iran.
"Sama ada ia diperoleh melalui kerja keras atau dikumpulkan sebagai cenderahati, ia adalah kepingan sejarah."
Koleksinya lebih daripada sekadar harta karun peribadi; ia adalah sumber untuk komuniti.
Baru-baru ini, Chan menyertai pameran di Singapura, di mana tampalan Jambori Pengakap Sedunia miliknya menarik perhatian dan menjadi kekaguman serta mencetuskan perbualan antara Pengakap dan pengumpul.
"Detik seperti inilah yang mengesahkan nilai dedikasi sepanjang hayat," katanya.
Ketika Chan terus mengumpul koleksi dan berkongsi pengetahuannya, beliau berharap untuk mengekalkan semangat hidup Pengakap bukan hanya untuk dirinya sendiri, tetapi agar orang ramai melihat akan nilai ketabahan, kepimpinan dan khidmat dalam Pengakap yang telah membimbing hidupnya.
Bagi perancangan masa depan, Chan menyalurkan semangatnya ke dalam projek baharu: Kelab Pengumpul Pengakap Malaysia.
Komuniti ini bertujuan untuk memelihara dan berkongsi sejarah Pengakap yang kaya di Malaysia, memastikan generasi akan datang memahami dan menghargai legasi pergerakan itu.
"Ia tentang saling melengkapi dan memastikan kenangan serta pengalaman ini diwariskan untuk masa depan," katanya. – Getaran, 19 Ogos 2024

