KUALA LUMPUR - Lima hari menjelang Aidilfitri, namun keluhan kedengaran dalam kalangan peniaga kedai emas khususnya pengusaha kecil-kecilan apabila mereka mengalami jualan merosot sehingga mencecah 50 peratus.
Menurut pemilik kedai emas di Pasar Payang, Tengku Muhaimin Tengku Mahmud, situasi itu jauh berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, dipercayai akibat ketidakstabilan harga emas.
“Pelanggan ada tapi sangat kurang membeli tak seperti tahun lepas atau tahun sebelum ini. Biasanya kalau raya itu paling menguntungkan kita.
“Tambah pula budaya pantai timur memang wanita mereka akan membeli perhiasan emas baharu pada raya. Tapi kali ini pelanggan kita berkurangan dari sejak awal mula puasa lagi,” katanya kepada Getaran.
Tambah Tengku Muhaimin, kebanyakan pelanggan yang datang hanya mahu menukar emas atau mencairkan aset mereka.
“Sekarang ini harga di Terengganu kalau RM330 bagi segram emas. Bagi caj tukar emas saya akan tolak dalam 6 -7 peratus.
“Contoh kalau harga emas RM330 segram jadi harga susut nilai yang saya ambil dalam RM310 atau RM305 segram,” katanya.
Pada masa sama, Tengku Muhaimin berkata, beliau hanya menawarkan perkhidmatan mencairkan aset kepada pelanggan tetap sahaja.
“Sebab permintaan nak cairkan aset ramai jadi kita ada hadkan untuk pelanggan tetap sahaja kerana kita bimbang akan ganggu aliran tunai modal perniagaan kalau tidak hadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai lonjakan harga emas yang kini mencatatkan rekod tertinggi apabila melepasi paras AS$2,300 (RM10,927.50) seauns atau RM351.33 segram.
Menurut laporan media, lonjakan harga aset selamat itu dipacu jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) tahun ini, selain disokong ketegangan geopolitik.
Pada masa sama Tengku Muhaimin berkata, tidak mustahil sekiranya harga emas akan terus melonjak namun kebimbangannya ia sudah tentu akan memberi kesan kepada peniaga kecil kepada mereka.
“Biasanya yang terkesan peniaga emas secara kecil-kecilan seperti kita. Sebab kita bukan perniagaan yang besar,” katanya yang sudah menguruskan perniagaan emas milik keluarganya di Pasar Payang sejak 33 tahun lalu.
Sementara itu, bagi pengeluar barang kemas terkemuka, Habib Jewel, situasi kadar aliran harga emas yang tidak menentu hanya memberi impak minimal kepada syarikat itu.
Pengurus Besar Kanan Habib, Mohd Zaruddin Mahmud, berkata ini kerana Habib biasanya membeli emas secara pukal.
Malah, beliau berkata, sambutan pengguna juga positif biarpun dengan keadaan harga emas naik.
“Kami melihat respon yang positif dalam kalangan pelanggan terutama sekali yang gemar barangan edisi terhad.
“Jadi di Habib kita tak nampak tanda ketidaktentuan harga emas menjadi penghalang untuk pelanggan terus membeli emas,” katanya.
Mohd Zaruddin berkata, walaupun harga emas mencanak tinggi, Habib tetap menggalakkan pelanggan untuk membeli emas.
“Seperti contoh wafer syiling emas 999.9, daripada pertama kali diperkenalkan sehingga kini, harganya tetap kekal iaitu pelanggan boleh mendapatkannya pada harga RM118 sekeping
“Bermaksud walaupun harga emas meningkat, harga wafer syiling emas kami tetap sama. Ini adalah salah satu usaha yang dibuat Habib,” katanya. – Getaran, 7 April 2024

