KUALA LUMPUR – Penggunaan istilah ‘kafir’ dalam konteks interaksi antara umat Islam dengan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah, berkata ia terutama ada keperluan kepada panggilan yang lebih harmoni, khususnya dalam penyampaian dakwah.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak untuk tidak menggunakan hukum hakam agama dengan sewenang-wenangnya sehingga ia boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata, gelaran ‘kafir’ adalah kalimah dalam bahasa Arab yang disebut di kira-kira 310 tempat dalam al-Quran dan hadis dengan pelbagai pecahan kata seperti الكافرون, الذين كفروا, يكفرون.
“Ia adalah merujuk kepada orang yang tidak beriman kepada Allah SWT dan Rasul. Oleh itu, penggunaan istilah ini telah termaktub dalam al-Quran dan hadis.
“Ia adalah istilah yang melambangkan perbezaan antara iman dan kekufuran dan ia tidak berubah penggunaannya.
“Walau bagaimanapun, penggunaan dalam konteks interaksi antara orang Islam dan bukan Islam boleh berubah mengikut keadaan, tempat dan situasi yang memerlukan kepada istilah yang lebih harmoni khususnya dalam uslub dakwah,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui satu hantaran di akaun Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, semalam.
Luqman berkata, dalam al-Quran, terdapat banyak juga ayat yang menggunakan lafaz begini seperti ayat 70 Surah Ali Imran yang berbunyi يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَأَنتُمْ تَشْهَدُونَ yang membawa maksud “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaranNya?”.
Justeru, beliau yang merujuk video yang tular, berkata tidak adil untuk mana-mana pihak terus menghukum dan mengeji berasaskan kepada potongan video tanpa melihat kepada konteks keseluruhan yang dimaksudkan dalam ucapan berkenaan.
“Masyarakat perlu mengambil sikap berhati-hati dan cuba mendapat maklumat yang lebih terperinci sebelum membuat sebarang komen. Rasulullah SAW bersabda:
كَفَى بالمرءِ كذِبًا أن يحدِّثَ بِكُلِّ ما سمِعَ (yang bermaksud) “Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar”.
“Di bulan Ramadan yang mulia ini, masyarakat dinasihatkan untuk lebih menumpukan kepada ibadah dan tidak menimbulkan banyak polemik yang berpanjangan yang membawa kepada natijah yang tidak baik kepada keharmonian masyarakat,” katanya.
Pada masa sama, Luqman menasihati umat Islam untuk mengambil iktibar daripada ayat 11 Surah Al-Hujurat, yang antara lain bermaksud, “Dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman”.
Beliau berkata, sebarang perbezaan pandangan boleh dikongsikan dengan cara yang baik dan tidak dalam bentuk kejian dan fitnah.
Selain itu, Luqman berkata, polemik yang berpanjangan tanpa mempunyai nilai ilmiah dan adab yang baik akan menambahkan lagi kekeliruan dalam masyarakat dan boleh membawa kepada perbalahan dan perpecahan.
Katanya, umat Islam yang sangat mementingkan perpaduan sebagai kekuatan ummah, juga tidak mendapat keuntungan dengan sikap sindir-menyindir, mengeluarkan kata-kata kesat serta tuduh-menuduh dengan menggunakan media sosial tanpa adab.
“Dalam isu yang melibatkan keagamaan, semua pihak perlu berhati-hati dan tidak mudah mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham masyarakat dan membuka ruang fitnah.
“Penggunaan istilah-istilah hukum hakam agama tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan kepentingan tertentu yang tidak berasaskan kepada asas ilmu Islam yang sebenar,” katanya.
Biarpun tidak menamakan sesiapa, kenyataan Luqman itu dipercayai merujuk kepada penularan satu video yang memaparkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menolak penggunaan label kafir dan mengharamkan anak-anak beliau menggunakan perkataan tersebut di rumah.
Akibatnya, Fadhlina menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen sehingga mengancam keselamatan dirinya, mendorong beliau membuat laporan polis serta mengambil tindakan mengumpulkan bukti menerusi media sosial. – Getaran, 2 April 2024

