KUALA LUMPUR: Orang ramai berpeluang menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerusi slot khas dalam Buletin Utama di TV3 malam ini.
Berita itu dikongsi menerusi akaun aplikasi X, Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Kamaruddin Mape.
"Saksikan penampilan khas Tuanku Agong dan Raja Permaisuri Agong dalam Buletin Utama malam ini, 17 Jan 2024," katanya.
Sementara itu, memetik laporan portal Bharian, pasangan diraja itu berkenan melawat Sri Pentas, hari ini.
Dalam lawatan berkenaan baginda berdua turut diberikan taklimat berkaitan operasi Media Prima Berhad (MPB) dan dibawa ke lawatan eksklusif melihat studio radio dan berita.
Ketika dibawa ke Studio A, Al-Sultan Abdullah dan Permaisuri Agong turut berkenan mencemar duli membaca berita dan ia akan ditayangkan dalam Buletin Utama jam 8 malam ini, menerusi slot khas Buletin Diraja.
Al-Sultan Abdullah akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini, selepas bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia selama lima tahun, bermula 31 Januari 2019. - Getaran, 17 Januari 2024

