web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Kegagalan 104 Ventilator, Tiada Perjanjian Bertulis Antara KKM, PLSB - PAC 

Semasa Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 30 Oct 2023 1:48PM

gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Ketiadaan perjanjian bertulis antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pharmaniaga Logistic Sdn Bhd (PLSB) menyebabkan tiada mana-mana pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

Menurut Laporan Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE), tiada kontrak digubal antara KKM dan PLSB mengenai perolehan ventilator dan Penasihat Undang-undang KKM juga tidak dirujuk semasa proses penyediaan surat pelantikan PLSB.

Laporan yang dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu mendedahkan sehingga kini ketidaktentuan peranan PLSB dalam isu itu mengakibatkan proses mengambil tindakan undang-undang tidak dilaksanakan.

Selain itu, PAC mendapati terdapat percanggahan keterangan antara KKM dan PLSB berkaitan kewujudan waranti kesemua 136 unit ventilator.

“PLSB tidak menandatangani sebarang kontrak dengan pembekal serta memaklumkan kepada PAC bahawa semua dokumen pesanan pembelian dan dokumen sebut harga menunjukkan bahawa waranti ventilator adalah antara Kerajaan Malaysia dan pembekal.

“PLSB hanya bertindak menguruskan penghantaran ventilator ke fasiliti KKM dan membantu KKM menghubungi pengilang untuk menggunakan waranti ventilator yang tidak dapat digunakan. Pihak KKM memaklumkan bahawa tiada waranti semasa pembelian ventilator oleh PLSB.

“Waranti hanya diberikan oleh PLSB untuk ventilator yang dinaik taraf susulan daripada Mesyuarat Rundingan Harga Perolehan Darurat yang diadakan pada 1 September 2020,” menurut laporan itu.

Laporan setebal 120 muka surat itu turut mendedahkan perbincangan, penilaian dan keputusan berhubung perolehan ventilator terpaksa dilaksanakan di luar kebiasaan iaitu melalui aplikasi WhatsApp disebabkan kekangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan faktor kesegeraan serta keterdesakan situasi ketika itu.

Menurut laporan itu, disebabkan situasi luar biasa yang dihadapi dunia ketika itu, perolehan darurat telah dilaksanakan untuk mendapatkan bekalan vaksin, ventilator, PPE dan lain-lain kelengkapan bagi menangani penularan wabak COVID-19.

“Pada ketika itu, dunia berhadapan krisis kekurangan bekalan peralatan perubatan yang menyebabkan perebutan. Kegagalan untuk membuat keputusan segera akan menafikan peluang negara untuk mendapat bekalan dan seterusnya menyebabkan kehilangan nyawa,” menurut laporan itu.

PAC turut mendedahkan masih terdapat sejumlah 8.5 juta dos vaksin COVID-19 bernilai RM505 juta telah luput setakat 1 Jun 2023.

Menurut laporan itu, KKM telah melaksanakan perolehan vaksin berdasarkan unjuran keperluan vaksin, namun berlaku lebihan vaksin disebabkan penurunan permintaan terhadap vaksinasi, kelewatan penerimaan bekalan vaksin dan penerimaan sumbangan vaksin dari negara luar.

Sementara itu, sebahagian besar PPE akan dapat digunakan sebelum tarikh luput walaupun terdapat risiko lebihan 850,000 unit stok boot cover, yang akan luput pada penghujung tahun 2024 bernilai RM927,000 jika tidak dapat digunakan.

“Punca berlaku lebihan boot cover dan protective suit/coverall yang ketara disebabkan oleh semakan terhadap garis panduan pemakaian PPE selaras dengan perkembangan dan penemuan saintifik  pengurusan COVID-19 melalui Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," menurut laporan itu.

Bagi tujuan penambahbaikan, PAC mengesyorkan walaupun ketika berhadapan dengan keadaan darurat, dokumentasi hendaklah dilaksanakan dengan usaha wajar.

Jawatankuasa itu turut mencadangkan KKM perlu segera menyemak status waranti bagi kesemua 136 unit peralatan ventilator dan memastikan tindakan sewajarnya diambil kepada pihak yang bertanggungjawab, selain memastikan lebihan PPE dimanfaatkan sebaiknya sebelum tarikh luput.

“Selain itu, kerajaan seharusnya memainkan peranan dalam memastikan industri tempatan berupaya menghasilkan peralatan perubatan serta farmaseutikal bagi mengelakkan kebergantungan kepada negara luar dalam memperkasakan sistem penjagaan kesihatan awam,” menurut laporan itu.

Laporan penuh boleh diakses orang ramai mulai hari ini di laman web PAC melalui pautan  www.parlimen.gov.my/pac - BERNAMA 

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 bulan yang lalu

Jual Kanta Lekap Tidak Berdaftar, KKM Keluar 12 Notis Amaran

2

Semasa 8 bulan yang lalu

97 Kluster Jangkitan Influenza Dikesan Pada ME 40/2025

3

Semasa 8 bulan yang lalu

KKM Tawar Pemeriksaan Menyeluruh, Sokongan Psikososial Kepada Sukarelawan GSF

4

Semasa 1 tahun yang lalu

Abang Dakwa Hospital Daerah Cuai, Adik Hilang Anak Kedua 2 Hari Selepas Lahir

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Lelaki Maut Ditikam Di Perak Tengah, Polis Buru Suspek

Semasa 3 jam yang lalu

Polis Sahkan Tiada Unsur Buli Dalam Kes Pelajar Terjatuh Dari Bangunan Sekolah

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 2 jam yang lalu

Isu Rohingya Perlu Pendekatan Menyeluruh, Babit Pelbagai Agensi - Ayob Khan

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

AGC Klasifikasi Aduan Albert Tei Terhadap Azam Baki Sebagai NFA

oleh Sophia Ahmad