KUALA LUMPUR -- Kementerian Ekonomi telah meluluskan 1,385 projek bawah platform Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) pada Ogos lalu.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, kelulusan itu diberi melibatkan seluruh negara bagi pelaksanaan projek kemudahan awam.
"1,385 projek telah diluluskan. Tiga pemohon negeri paling tinggi adalah Sabah, Negeri Sembilan, diikuti Sarawak.
"Senarai 1,385 permohonan telah dikemukakan kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) atau agensi pelaksana yang berkenaan untuk semakan sebelum penyaluran dana dibuat," kata Rafizi menerusi ciapan di laman X hari ini.
Melalui program inisiatif itu, sebanyak 366 projek baik pulih jalan, 129 projek baik pulih parit, 95 pembinaan jalan baharu telah diluluskan.
Terdapat juga projek-projek awam lain yang diluluskan IKR termasuk baik pulih dan juga pembinaan tandas awam.
IKR yang dilancarkan pada 20 Jun lalu merupakan bantuan kerajaan Persekutuan bertujuan mendemokrasikan dana kerajaan dalam membiayai pelaksanaan projek kecil seperti baik pulih dewan atau menutup jalan rosak.
Bawah program tersebut, pembiayaan sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek infrastruktur kecil yang dijangka dapat menyelesaikan pelbagai keperluan mendesak di kawasan setempat terutama membabitkan penyelenggaraan dan pembangunan infrastruktur.
Jelasnya, rakyat boleh memohon untuk menaiktaraf atau membina kemudahan awam di kawasan di seluruh Malaysia melalui laman web IKR di ikr.ekonomi.gov.my. – Getaran, 7 September 2023

