KUALA LUMPUR - Sarawak tidak akan menggunakan mata wang sendiri dan kekal menggunakan Ringgit Malaysia (RM), kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Beliau berkata, cadangan untuk mewujudkan mata wang sendiri di negeri itu hanyalah pandangan peribadi Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Katanya, sekiranya cadangan itu hendak dilaksanakan, ia adalah satu proses yang cukup rumit dan perlu diteliti dengan sebaik-baiknya.
"Tak tahulah, itu sekadar pandangan peribadi Nanta. Kita sudah ada mata wang Malaysia, jadi kita kena ikutlah (gunakan mata wang Malaysia)," katanya selepas merasmikan Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 Peringkat Sarawak di Auditorium Muzium Kebudayaan Borneo, di Kuching hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Nanta yang membayangkan kemungkinan Sarawak akan memperkenalkan mata wang sendiri susulan ekonomi yang tidak menentu di Malaysia.
Ahli Parlimen Kapit yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu membayangkan perkara itu dalam siaran podcast bertajuk 'Dari Malaya ke Malaysia: 60 tahun' semalam.
Memetik laporan portal Free Malaysia Today (FMT), Nanta berkata, pengenalan mata wang Sarawak antara langkah boleh dipertimbangkan jika keadaan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan ini berterusan.
Beliau berkata, jika ekonomi Sarawak begitu baik namun ekonomi negara sebaliknya, mungkin Sarawak akan mempunyai mata wang sendiri.
Namun, Nanta berharap tiada pihak menggelarnya sebagai pengkhianat negara kerana membangkitkan cadangan berkenaan. - Getaran, 2 September 2023

