KUALA LUMPUR -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mendesakMuhyiddin Yassin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepadanya, berkaitan pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Menerusi satu kenyataan ringkas, Anwar mengotakan kata beliau dengan mengemukakan sebahagaian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Felda yang ditandatangani beliau sebagai Menteri Kewangan.
Tiga helaian berkaitan FSRA itu menunjukkan ia ditandatangani pada 26 Jun oleh Anwar bagi pihak kerajaan, dengan Pengerusi Felda ketika itu Tan Sri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Felda Datuk Amiruddin Abdul Satar.
Pemeteraian dokumen itu disaksikan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Pada satu majlis di Tanjong Karang, Selangor semalam, Anwar berkata beliau akan mengemukakan bukti telah menandatangani dokumen bagi penghapusan hutang peneroka Felda itu, hari ini.
Ia bagi menjawab tuntutan Muhyiddin kepada Perdana Menteri agar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis, susulan kenyataannya yang mendakwa hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak pernah dilupuskan di bawah pentadbiran Muhyiddin.
Tuntutan Muhyiddin itu dikemukakan dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.
Anwar sebelum ini mendakwa, Belanjawan 2021 dan 2022 di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini tidak mempunyai peruntukan untuk menyelesai dan melupuskan hutang Felda.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa FSRA telah ditandatangani oleh Anwar pada 26 Jun 2023.
Menurut kenyataan itu perjanjian FSRA tersebut melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada Felda, bertujuan menstruktur semula pinjaman agensi itu melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda. -- BERNAMA

