KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu lebih RM1.18 juta.
Beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Hakim Norsalha Hamzah.
Mengikut kertas pertuduhan, tuntutan dikemukakan untuk tiket penerbangan pergi balik ke United Kingdom serta kos penginapan dan pengangkutan walaupun perjalanan itu tidak menjadi kenyataan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 2013 dan 2017 atas kapasitinya sebagai menteri besar, dan didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, lapor Free Malaysia Today.
Mahkamah membenarkan Azlan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin. Beliau juga diarahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Pertuduhan beliau adalah seperti berikut:
- membuat tuntutan palsu RM230,230 untuk tiket penerbangan pergi balik, hotel dan pengangkutan di London antara 20 Disember 2013 dan 4 Januari 2014.
- membuat tuntutan palsu RM216,260 untuk tiket penerbangan pergi balik ke London dan penginapan antara 20 November 2014 dan 18 Disember 2014.
- membuat tuntutan palsu RM241,295 untuk tiket penerbangan pergi balik ke London dan penginapan antara 30 November 2015 dan 21 Disember 2015.
- membuat tuntutan palsu RM253,195 untuk tiket penerbangan pergi balik ke London dan penginapan antara 8 November 2016 dan 29 Disember 2016.
- membuat tuntutan palsu RM244,079 untuk tiket penerbangan pergi balik ke London dan penginapan antara 8 dan 30 November 2017.
Beliau yang berpakaian kemeja biru cerah tiba di kompleks mahkamah di Kangar, Perlis sebelum jam 9 pagi dan diiringi ramai penyokong, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang Hamizan Hassan dan bekas Setiausaha Akhbarnya, Azlan Saiful Daniel Mohd Yusof.
Beliau diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid manakala pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.
Azlan, 64, menjadi ADUN Pauh pada 2013 hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lepas, sebelum tewas pada PRU15.
Beliau yang juga Menteri Besar Perlis dari 2013 ke 2022 gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar pada pemilihan parti itu, baru-baru ini. – Wartawan Getaran, 10 April 2023

