Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Azlan Man Didakwa Lagi Atas Lima Pertuduhan Terima Wang Haram RM1.06 Juta

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 12 Apr 2023 10:18AM

Azlan tiba di Mahkamah Sesyen hari ini. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta.

Azlan, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Azlan.

Mengikut kelima-lima pertuduhan, Azlan didakwa telah menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM1,059,675.25 daripada Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd, Aidil Travel & Tours Sdn Bhd dan Abdul Rahim Halim yang mewakili syarikat Aidil Travel.

Kesemua wang itu diterima tertuduh melalui tiga keping cek Maybank dan sekeping cek CIMB yang dibayar ke dalam akaun Maybank dan CIMB milik tertuduh serta secara tunai daripada Abdul Rahim.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di sini, antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azlan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh pada 2013 hingga 2018, sebelum memenangi kerusi DUN Bintong dari 2018 hingga tahun lepas, sebelum tewas pada Piihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang merupakan Menteri Besar Perlis dari 2013 ke 2022 turut gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar pada pemilihan parti itu, baru-baru ini.

Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 9 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan memohon tarikh sebutan kes pada 9 Jun ini.

“Kesalahan yang dipertuduhkan ke atas tertuduh dalam kategori tidak boleh dijamin dan ada undang-undang yang mengikatnya mengikut Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah.

“Bagaimanapun, pihak kami tidak membantah jika hakim melaksanakan kuasa budi bicara untuk melepaskan tertuduh dengan jaminan, oleh itu saya mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Akram berkata beliau tidak memohon syarat tambahan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah kerana ia telah diserahkan kepada Mahkamah Sesyen Kangar setelah Azlan dituduh di mahkamah berkenaan Isnin lepas. 

Beliau juga akan memohon supaya kes dihadapi tertuduh di Mahkamah Sesyen Kangar dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Sementara itu, peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan berkata pihaknya telah berbincang dengan pendakwaan dan kedua-dua pihak bersetuju dengan wang jaminan yang ditawarkan.

Pada Isnin lepas (10 April), Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar terhadap lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 57 minit yang lalu

Muat Naik Hantaran Jelik, Peniaga Didenda RM23,000

2

Semasa 1 minggu yang lalu

Мahkamah Tetapkan 27 Jun Keputusan Badan Peguam Berhubung Kes DNAA Ahmad Zahid

3

Semasa 1 minggu yang lalu

Stoking Tertera Kalimah Allah: Mahkamah Tinggi Batal Hukuman, Sabitan Terhadap Juruteknik 

4

Luar Negara 1 bulan yang lalu

Bekas Menteri Pengangkutan Singapura Hadapi 8 Lagi Pertuduhan Baharu

Sorotan

1

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

2

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

3

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

4

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

5

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

6

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

7

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

Disyorkan untuk anda

Semasa 20 jam yang lalu

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

Semasa 4 jam yang lalu

3 Beranak Terselamat Dari Maut, Kereta 'Total Loss' Jatuh Gaung

oleh Rafisqi Radhi

Semasa 1 hari yang lalu

Nahas Helikopter : Laporan Awal, Penuh Diserah Dalam Tempoh 14, 30 Hari Bekerja 

oleh Wartawan Getaran

Politik 10 jam yang lalu

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB