Berita Terkini

1 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 2 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 3 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 3 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Meski Jalin Kerjasama Akrab Bersama China, Kedaulatan Malaysia Tetap Dijaga - Anwar

Semasa Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 04 Apr 2023 9:16AM

Anwar berjabat tangan dengan Xi Jinping. - Gambar PMO

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

BEIJING - Bukan perkara ‘luar biasa’ apabila pemimpin yang baharu dilantik mengadakan lawatan ke negara rakan dagang utama dalam tempoh setahun memegang jawatan itu, namun kunjungan empat hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang padat ke China memainkan peranan lebih besar dan bukan sekadar memperbaharui hubungan dua hala serta ‘merakam kenangan’.

Ketika lawatannya itu, beliau menerima sambutan meriah yang menyaksikan Anwar bertemu tiga anggota tertinggi kerajaan China di Dewan Besar Rakyat di sini, minggu lepas.

Mengenai pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping, Anwar berkata, kedua-duanya berbincang panjang mengenai konsep pentadbiran sama, iaitu masing-masing mengetengahkan Komuniti untuk Masa Depan Bersama demi Kemanusiaan dan Malaysia Madani.

Xi mengesahkan kesediaan China untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mempromosikan tamadun dan kemakmuran Asia sambil terus menghormati kepentingan ASEAN dalam isu keselamatan global serta pertikaian Laut China Selatan, terutama di tengah-tengah ketegangan bersama Amerika Syarikat.

Perbincangan kedua-dua pemimpin turut menyentuh mengenai langkah anti-rasuah, pembasmian kemiskinan dan perjuangan untuk keadilan, iaitu inisiatif yang dikongsi kedua-dua negara.

Malaysia adalah negara Asean pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China beberapa dekad lalu, dengan kedua-duanya akan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan tahun depan, manakala tahun ini turut menyaksikan tahun ke-10 perkongsian strategik komprehensif China dan Malaysia, iaitu perkara sesuatu diharapkan pemimpin Malaysia untuk dipertingkatkan dalam masa terdekat.

Selepas kunjungan hormat dengan Xi, Anwar bertemu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) Zhao Leji yang juga penggubal undang-undang tertinggi China, menyaksikan NPC menyatakan kesediaannya untuk memperluaskan lagi pertukaran dengan Parlimen Malaysia dalam mewujudkan dasar bagi mengukuhkan kerjasama dalam kalangan Ahli Parlimen.

Sementara itu, pertemuan dua hala Anwar dengan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Li Qiang membuahkan hasil apabila kedua-duanya turut menyaksikan majlis menandatangani lima memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan.

Li yang sering digambarkan sebagai sekutu Xi paling dipercayai berkata, hubungan antara kedua-dua negara berada di titik permulaan sejarah baharu selepas hampir 50 tahun hubungan diplomatik, dalam keadaan ia secara bersama menuju ke arah masa depan.

Anwar juga mengulangi sokongan terbuka dan awam Malaysia terhadap China serta kepimpinannya apabila Xi dipilih semula untuk penggal ketiga sebelum ini, serta pelantikan Zhao dan Li pada Mac.

Malaysia mengemukakan jemputan kepada Xi dan Li untuk melawat pada tahun depan bagi memperingati tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik terbabit.

Sebelum lawatan Anwar, Menteri Luar China Qin Gang semasa mengadakan pertemuan rasmi dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkongsi bahawa lawatan itu ‘sangat penting’ kerana hubungan dua hala berkenaan ‘erat dan istimewa’.

Di sebalik sokongan kuat Malaysia terhadap kepimpinan Cina, Anwar ketika berucap di universiti berprestij negara itu, Universiti Tsinghua berkata, tiada siapa yang harus menentukan keputusan untuk negara merdeka seperti Malaysia.

“Saya tidak melihat China sebagai pesaing saya atau ancaman kepada kita. Ya, ada banyak perkara yang kita persetujui, tetapi ada (juga) perkara yang kita tidak bersetuju sebagai sebuah negara.

“Memandangkan tiada ancaman langsung daripada China, kami gembira menjadi jiran yang baik, mesra dan mendapat manfaat daripada kejayaannya,” katanya.

Mengenai kritikan mungkin dicetuskan segelintir pihak, termasuk pembangkang terhadap lawatan luar negaranya ke Arab Saudi baru-baru ini, Anwar tidak terlalu gusar, sebaliknya menasihati mereka untuk berfikir secara meluas dan matang.

Penekanan kepada perdagangan dan pelaburan

Lawatan dua hala seperti itu tidak akan lengkap tanpa kemajuan ketara dalam perdagangan dan pelaburan.

Sebagai rekod, Malaysia menerima komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah dari China, berjumlah RM170 bilion dan RM2.44 bilion potensi nilai eksport ke China.

Ia berikutan mesyuarat meja bulat dengan 50 pemimpin industri China diketuai Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd, selain pemeteraian 19 MoU antara syarikat Malaysia dan China.

Jurucakap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia berkata, Perdana Menteri dan delegasinya membantu mendapatkan sekurang-kurangnya RM100 bilion komitmen daripada ahli perniagaan besar meja bulat dan RM70 bilion daripada MoU itu.

Difahamkan, jarang sekali 50 ahli perniagaan besar China berkumpul dalam satu pertemuan dengan pemimpin asing, sekali gus ia meningkatkan keyakinan dan potensi besar dalam kalangan wakil perdagangan Malaysia di sini serta pelabur China lain.

Satu daripada pelaburan tunggal terbesar ialah perjanjian antara DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely dalam usaha sama untuk pembangunan serta pengkomersilan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim, Perak.

Projek ini memberi tumpuan kepada kenderaan tenaga generasi akan datang, meliputi rantaian nilai luas penyelesaian automotif dan mobiliti.

DRB-Hicom berkata, dalam tempoh 10 tahun akan datang, pembangunan AHTV dijangka menarik pelaburan bernilai RM32 bilion, termasuk oleh pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd.

Selain daripada puluhan ribu peluang pekerjaan, projek itu akan menyaksikan keutamaan latihan dan pengambilan pekerja ditawarkan kepada rakyat Malaysia.

Dalam perkara berasingan, Anwar mengumumkan bahawa Malaysia dan China bersetuju memperluaskan lagi kerjasama dalam projek di bawah Inisiatif Belt and Road, seperti Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China dan Laluan Rel Pantai Timur.

Selain itu, lebih 250 ahli komuniti perniagaan Malaysia yang mengiringi Perdana Menteri ke China, mencerminkan kedudukan negara tuan rumah dalam ekonomi dan perdagangan.

Dalam sesi tertutup anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia bersama Perdana Menteri serta delegasi Kabinetnya, mereka berkongsi beberapa kejayaan dicapai mereka baru-baru ini dan bagaimana Kerajaan Perpaduan, boleh menjadikan urusan perniagaan lebih mudah.

Perkara itu disokong Anwar sendiri ketika mula-mula memegang jawatan. Antara isu dibangkitkan ialah keperluan visa, birokrasi di peringkat kerajaan tempatan dan insentif perdagangan.

Anwar turut menggesa perniagaan Malaysia di luar negara untuk memudahkan lebih banyak pelaburan dibawa masuk ke negara kerana fokus utama kerajaan adalah untuk membina semula Malaysia dengan bantuan pelaburan domestik dan asing.

Beliau juga mempunyai pesanan untuk anggota Kabinet yang menemaninya dalam lawatan rasmi ke China, iaitu Menteri mesti ‘melakukan apa sahaja yang diperlukan’ untuk memudahkan urusan perniagaan di Malaysia, terutama meminimumkan penangguhan dan langkah yang menimbulkan kos tambahan.

Malah, menurut seorang pemimpin kanan negara, Kerajaan Perpaduan berusaha gigih untuk memulihkan Malaysia dari segi ekonomi dalam era pasca COVID-19 dan China adalah rakan dagang terbesar negara.

“Kita tidak boleh pulih dengan cepat dari segi ekonomi tanpa pelaburan asing yang besar kerana Malaysia adalah sebuah negara agak kecil dengan populasi 32 juta. Adalah masuk akal untuk beralih kepada China kerana gergasi ekonomi dan kedua-dua negara berkongsi hubungan sejarah dan perdagangan kukuh.

“Seperti kata Perdana Menteri, China adalah jiran terdekat kita di luar ASEAN dan menawarkan banyak peluang, bukan sahaja membabitkan projek mega, malah syarikat China bersedia menawarkan latihan khusus, perkongsian pengetahuan dan pendidikan untuk meningkatkan kemahiran rakyat Malaysia dalam bidang seperti teknologi hijau, ekonomi digital, automotif dan industri STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) yang lain,” katanya.

Seorang lagi pemimpin kerajaan berkata, negara akan menyaksikan penglibatan perdagangan berterusan kerana terdapat syarikat China lain yang berminat untuk melabur di Malaysia, dengan melihatnya sebagai hab bagi rantau Asean yang lebih besar.

“MoU B2B (perniagaan-ke-perniagaan) ditandatangani setakat ini adalah yang kami percaya akan menjana hasil sebenar. Terdapat lebih banyak syarikat China yang mendekati delegasi, tetapi mereka perlu menelitinya terlebih dahulu,” katanya.

Sebelum lawatan tiga hari ke Beijing, Anwar berucap di Forum Boao untuk Persidangan Tahunan Asia 2023 di Hainan.

Semasa lawatan rasminya ke China, Anwar ditemani Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing serta Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.

China adalah satu daripada lapan negara dilawati Anwar sejak memegang jawatan kira-kira empat bulan lalu. - The Vibes, 4 April 2023

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Cadangan Setiap Pemimpin Jaga Satu Kampung Dibentang Ke Kabinet - PM

2

Semasa 1 hari yang lalu

Hadiri Perkampungan Sunnah: PM Berjiwa Besar - Penyelidik

3

Sukan 1 hari yang lalu

Tuan Rumah China Bertemu Indonesia Pada Final Piala Uber

4

Semasa 4 hari yang lalu

Malaysia Guna Hubungan Baik Pelbagai Negara Bantu Henti Kekejaman Di Gaza - PM

Sorotan

1

Kertas Siasatan Logo Mirip Kalimah Allah Pada Kasut Diserah Kepada AG

2

3 Lemas, 3 Masih Hilang Dalam Kejadian Kepala Air Di Lahad Datu

3

Agong, Raja Permaisuri Tiba Di Singapura Untuk Lawatan Negara Sulung

4

Bapa, 2 Anak Lemas Di Sungai Balak

5

Wai Ching Muncul Juara Kejohanan Larian Menara Dunia Di Taipei 101

6

TH Giat Buat Persiapan Akhir, Sedia Sambut Ketibaan Jemaah Haji

Disyorkan untuk anda

Semasa 8 jam yang lalu

Pusat Mempelam Kedah Antara Keutamaan Dalam Peta Tahun Melawat Kedah 2025

oleh Rafisqi Radhi

Semasa 16 jam yang lalu

Yang Di-Pertua Dewan Negara Terima Rawatan Lanjut Di HKL

oleh Fida Ruzki

Politik 1 hari yang lalu

Tidak Turun Bantu Kempen, Ke Mana June Leow Menghilang?

oleh Sophia Ahmad

Politik 1 hari yang lalu

Pengundi Semakin Bijak, Sudah Cekap Lihat Warna Sebenar Ahli Politik - Aktivis

oleh Sophia Ahmad